Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784794
Title: Prevalens kesanggupan menggunakan dan membayar kemudahan penjagaan warga emas serta faktor-faktor yang berkaitan dalam kalangan kumpulan pra warga emas dan warga emas di Utara Semenanjung Malaysia
Authors: Muhammad Al-Amin Shaharuddin
Supervisor: Mohd Rizal Abdul Manaf, Prof. Dr.
Faiz Daud, Dr.
Keywords: Aged
Health Services for the Aged
Home Care Services
Financing, Personal
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 12-Aug-2026
Abstract: Kebanyakan negara-negara di seluruh dunia sedang mengalami peralihan dalam taburan penduduk ke arah usia yang lebih tua. Di Malaysia, menjelang 2030, dianggarkan 15.3% daripada jumlah penduduk akan berumur lebih daripada 60 tahun. Peningkatan kelemahan fizikal dan kognitif seiring dengan pertambahan usia dalam kalangan warga emas meningkatkan risiko penggunaan perkhidmatan penjagaan warga emas. Kajian ini bertujuan untuk menentukan prevalens kesanggupan menggunakan dan kesanggupan membayar pilihan kemudahan penjagaan warga emas, dan faktor-faktor berkaitan. Kajian kaedah campuran urutan penjelasan ini melibatkan temu bual bersemuka dengan individu berusia 50 tahun dan ke atas di negeri Perlis dan Kedah. Data daripada kajian kuantitatif dan kualitatif yang diperoleh seterusnya dianalisis menggunakan perisian SPSS dan ATLAS Ti. Seramai 439 responden telah ditemu bual dengan majoritinya adalah wanita (57.4%), berbangsa Melayu (94.1%), berkahwin (67.4%) dan tidak bekerja (53.3%). Purata umur responden ialah 65.94 tahun. Daripada tiga jenis penjagaan untuk warga emas, jagaan di rumah mencatatkan prevalens kesanggupan untuk menggunakan yang tertinggi (49.9%) berbanding dengan pusat jagaan harian (22.3%) dan rumah jagaan (18.2%). Responden berbangsa Melayu empat kali ganda lebih berkemungkinan sanggup menggunakan perkhidmatan jagaan di rumah (OR 4.07, 95%CI 1.53, 10.81), manakala, peserta perempuan yang tidak mempunyai kebergantungan dalam aktiviti instrumental kehidupan harian mempunyai lebih empat kali ganda lebih berkemungkinan sanggup menggunakan pusat jagaan harian berbanding dengan perempuan yang mempunyai kebergantungan dalam aktiviti instrumental kehidupan harian (OR 4.50, 95%CI 2.40, 8.44). Responden daripada kumpulan umur 50-59 tahun masing-masing mempunyai lebih daripada tiga dan lima kali ganda berkemungkinan sanggup menggunakan rumah jagaan dan jagaan di rumah (OR 3.31 95%CI 1.06, 10.32, OR 5.71 95%CI 2.26, 14.43). Purata nilai kesanggupan untuk membayar rumah jagaan, pusat jagaan harian dan jagaan di rumah adalah masing- masing RM 577.05, RM 483.50 dan RM 490.00. Tahap pendidikan berkait secara positif dengan nilai kesanggupan membayar untuk perkhidmatan rumah jagaan dan jagaan di rumah. Manakala, pendapatan isi rumah berkait secara positif dengan nilai kesanggupan membayar untuk rumah jagaan dan pusat jagaan harian. Kajian kualitatif pula berhasil menjelaskan faktor-faktor keperluan, pemboleh dan psikososial yang mempengaruhi kesanggupan untuk menggunakan pilihan penjagaan untuk warga emas. Prevalens kesanggupan menggunakan penjagaan untuk warga emas berasaskan dalam komuniti lebih tinggi berbanding dengan penjagaan berasaskan institusi dan perlu diberikan perhatian dalam merangka polisi dan dasar berkaitan warga emas. Rancangan pembiayaan penjagaan warga emas yang komprehensif dan lestari perlu diwujudkan kerana masih terdapat perbezaan yang besar antara nilai kesanggupan membayar untuk perkhidmatan penjagaan warga emas dan kos sebenar.
Notes: e-tesis
Pages: 385
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784794
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.