Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/782409
Title: Penyediaan sistem mikroemulsi berasaskan terbitan selulosa sebagai penghantar ubat isotretinoin secara topikal
Authors: Muhammad Asri Abdul Sisak (P73232)
Supervisor: Suria Ramli, Dr.
Rusli Daik, Prof. Dr.
Mohd Hanif Zulfakar, Dr.
Keywords: Cellulose
Isotretinoin
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 7-Mar-2020
Abstract: Isotretinoin merupakan ubat yang efektif untuk merawat jerawat. Pelbagai kajian untuk menghantar ubat tersebut telah dilakukan bagi meningkatkan keberkesanannya. Namun, sistem yang dibangunkan setakat ini adalah terhad kerana pensetempatan ubat pada kulit yang rendah dan kesan sampingan kepada pesakit apabila ubat menembusi ke saluran darah. Kajian ini dijalankan untuk membangunkan sistem mikroemulsi berasaskan terbitan selulosa sebagai penghantar isotretinoin yang efektif ke dalam kulit. Dalam kajian ini, selulosa yang diekstrak daripada tandan kosong kelapa sawit (TKKS) digunakan untuk sintesis terbitan selulosa melalui dua langkah iaitu pengeteran untuk menghasilkan selulosa quaternized (QC) dan interaksi elektrostatik antara benzalkonium klorida dengan QC untuk menghasilkan kompleks BKC-QC. Pencirian terhadap BKC-QC dilakukan menggunakan spektroskopi inframerah transformasi Fourier (FTIR), spektroskopi resonans magnet nukleus proton (1H NMR), analisis termogravimetri (TGA), mikroskopi elektron transmisi (TEM), hamburan cahaya dinamik (DLS) dan analisis unsur (CHNS). Selepas itu, formulasi baru untuk sistem mikroemulsi dibangunkan dengan mentitrat air ternyahion (fasa akueus) ke dalam campuran isopropil miristat (fasa minyak), Brij 97 (surfaktan) dan transkutol (ko-surfaktan) pada nisbah yang telah ditetapkan. Pencirian fizikokimia terhadap sistem telah dilakukan yang merangkumi saiz partikel, konduktiviti, kelikatan dan ujian kestabilan. Perbandingan bagi sistem terisi ubat yang mengandungi dan tidak mengandungi BKC-QC (0.1 wt. %) dilakukan untuk melihat kadar pelepasan dan retensi kulit melalui ujian pelepasan in vitro menggunakan alat sel difusi Franz dengan kulit tikus sebagai membran. Rajah fasa ternari yang dibina menunjukkan nisbah antara surfaktan dan ko-surfaktan (S/KoS), Km = 1:1 memberikan kawasan mikroemulsi yang lebih besar berbanding Km = 2:1 dan Km = 3:1. Selain itu, nisbah antara minyak dan S/KoS, 1:9 stabil sehingga mencapai kandungan air yang tinggi iaitu 95 wt. %. Seterusnya ia dipilih untuk pencirian selanjutnya. Pembentukan mikroemulsi telah disahkan apabila tidak menunjukkan dwibiasan di bawah mikroskopi cahaya terkutub-satah. Saiz partikel untuk sistem mikroemulsi adalah dalam lingkungan 10-130 nm. Sistem yang dibangunkan juga stabil pada suhu 4, 25, dan 40 °C selama 6 bulan penyimpanan tanpa berlaku pemisahan fasa. Melalui ujian konduktiviti dan kelikatan, sistem mikroemulsi yang dibangunkan mengalami perubahan fasa daripada air-dalam-minyak (A/M) kepada minyak-dalam-air (M/A) melalui fasa dwiselanjar (D/S). Sistem yang mengandungi 10 wt.% (A/M), 40 wt.% (D/S), dan 70 wt.% (M/A) air dipilih untuk ujian pelepasan ubat secara in vitro. Hasil ujikaji menunjukkan sistem A/M yang mengandungi BKC-QC memberikan kadar retensi kulit yang tinggi (52.14 ± 8.03 µg) dan kadar penembusan ubat yang rendah (1.15 ± 0.04 µg/cm2 /h). Oleh itu, sistem air-dalam minyak (A/M) yang mengandungi BKC-QC dilihat berpotensi digunakan dalam penghantaran ubat isotretinoin ke dalam kulit kerana kadar retensi kulit yang tinggi dan penahan di dalam stratum korneum yang lebih lama, membawa kepada bioketersediaan yang lebih baik dan pengurangan penyerapan sistemik yang boleh membawa kesan sampingan yang buruk kepada pesakit.
Notes: Tesis ini tidak ada " Perakuan Tesis Sarjana / Doktor Falsafah "
Pages: 92
Call Number: QD321.M834 2020 tesis
Publisher: UKM, Bangi
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/782409
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Penyediaan sistem mikroemulsi berasaskan terbitan selulosa sebagai penghantar ubat isotretinoin secara topikal.pdf
  Restricted Access
Partial710.58 kBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.