Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/779950
Title: Pembangunan dan penilaian keberkesanan intervensi pelbagai domain iAGELESS 1.0TM terhadap profil pemakanan dan pengaktifan otak dalam kalangan warga emas yang mengalami keuzuran kognitif
Authors: Norhayati Mustafa Khalid (P109132)
Supervisor: Hasnah Haron,Prof. Madya Ts. Dr.
Suzana Shahar, Prof. Dr.
Mazlyfarina Mohamad, Prof. Madya Dr.
Chin Ai-Vyrn, Prof. Dr.
Keywords: Cognitive Aging
Elderly
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 28-Jan-2025
Abstract: Peningkatan populasi warga emas di Malaysia meningkatkan risiko kepada keuzuran kognitif (CF). Walau bagaimanapun, intervensi yang menyasarkan kepada CF adalah terhad. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan modul intervensi pemakanan yang akan digabungkan ke dalam modul intervensi pelbagai domain iAGELESS 1.0TM serta menilai keberkesanan modul iAGELESS 1.0TM terhadap profil pemakanan dan pengaktifan otak dalam kalangan warga emas yang mengalami CF. Kajian ini dijalankan dalam dua fasa. Fasa 1 adalah ulasan skop mengenai kaitan kekurangan mikronutrien dengan CF, pembangunan modul intervensi pemakanan, penilaian kesahan kandungan oleh 9 subjek (3 pakar geriatrik, 2 pensyarah perubatan, 1 pakar kesihatan awam, 1 pensyarah dietetik, 1 pegawai sains pemakanan dan 1 pegawai dietetik) dan penilaian tahap penerimaan modul oleh 38 subjek (12 profesional kesihatan, 13 warga emas yang mengalami CF dan 13 penjaga). Fasa 2 adalah kajian percubaan terkawal rawak selama 12 bulan melibatkan dua kumpulan (intervensi dan kawalan) dengan 53 warga emas yang mengalami CF dari Lembah Klang dalam setiap kumpulan. Fasa 2 adalah untuk menentukan keberkesanan modul iAGELESS 1.0TM dalam meningkatkan status pemakanan, pengambilan makanan, petunjuk bionutrien dan pengaktifan otak. Hasil Fasa 1 menunjukkan terdapat kaitan yang signifikan (p<0.05) antara tahap folat, vitamin B12, vitamin D, vitamin A, vitamin E, omega-3, albumin dan antioksidan yang rendah dengan kecelaan kognitif ringan, keuzuran fizikal dan CF. Modul intervensi pemakanan mempunyai nilai indeks kesahan kandungan yang baik iaitu 0.82. Kesemua penjaga, 92% warga emas yang mengalami CF dan 83% profesional kesihatan berpuas hati terhadap modul intervensi pemakanan. Hasil fasa 2 menunjukkan kesan intervensi yang signifikan bagi pengambilan sayur-sayuran (ƞp2=0.389, p= 0.000), buah-buahan (ƞp2=0.169, p=0.000), ikan (ƞp2=0.066, p=0.029), legum (ƞp2=0.211, p=0.000), susu dan produk tenusu (ƞp2=0.085, p= 0.010), serum praalbumin (ƞp2= 0.037, p= 0.028), sel darah merah folat (ƞp2= 0.081, p= 0.001), serum vitamin B12 (ƞp2=0.031, p= 0.049), serum vitamin A (ƞp2=0.055, p=0.004), serum vitamin E (ƞp2=0.091, p=0.000), plasma jumlah asid amino perlu (ƞp2=0.037, p=0.025), plasma jumlah omega-3 (ƞp2=0.214, p=0.000), pengaktifan otak di bahagian kiri dorsolateral prefrontal cortex (DLPFC) semasa menjalankan ujian Stroop Colour Word Test (Sepadan) (ƞp2=0.148, p=0.016) dan pengaktifan otak di bahagian kanan (ƞp2=0.296, p=0.002) dan kiri (ƞp2=0.246, p=0.006) DLPFC semasa menjalankan ujian Flanker (Tidak sepadan). Selain itu, terdapat penurunan yang signifikan dalam aras serum homosistin dan serum asid metilmalonik dalam kumpulan intervensi berbanding dengan kumpulan kawalan (p<0.05). Secara kesimpulannya, modul iAGELESS 1.0TM didapati berjaya meningkatkan pengambilan makanan, petunjuk bionutrien dan pengaktifan otak di bahagian DLPFC dalam kalangan warga emas yang mengalami CF. Pengaktifan otak di bahagian DLPFC yang terlibat dalam memori kerja dan fungsi eksekutif memainkan peranan penting dalam menyokong pembalikan keuzuran kognitif. Oleh itu, modul iAGELESS 1.0TM ini berpotensi untuk diimplementasi di pelbagai institusi bagi pembalikan keuzuran kognitif dalam kalangan warga emas.
Notes: e-tesis
Pages: 465
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/779950
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.