Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/776941
Title: Pembangunan modul latihan penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran Pendidikan Islam berasaskan metakognitif melalui pedagogi terbeza
Authors: Hainora Hamzah (P109338)
Supervisor: Mohd Isa Hamzah, Dr.
Hafizhah Zulkifli, Dr.
Keywords: Creative thinking
Islamic education
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 1-Mar-2024
Abstract: Penguasaan guru dalam pengajaran Pendidikan Islam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) berasaskan metakognitif melalui pedagogi terbeza diakui boleh meningkatkan kemahiran berfikir murid. Namun begitu, didapati guru Pendidikan Islam (GPI) mempunyai masalah pengetahuan, kemahiran dan tidak cukup latihan untuk mengaplikasikannya. Justeru kajian ini bertujuan untuk membangunkan modul latihan penerapan KBAT dalam pengajaran Pendidikan Islam berasaskan metakognitif melalui pedagogi terbeza atau Modul Latihan Meta Terbeza. Kajian ini menggunakan pendekatan reka bentuk dan pembangunan atau Design and Development Research (DDR) merujuk kepada Model Pembinaan Modul Sidek (2001) melibatkan tiga fasa utama kajian iaitu fasa satu analisis keperluan, fasa dua reka bentuk dan pembangunan dan fasa tiga penilaian dan kebolehgunaan modul. Fasa satu analisis keperluan menggunakan kaedah temu bual ke atas 6 orang guru cemerlang Pendidikan Islam sekolah menengah yang dipilih secara bertujuan bagi meneroka masalah dan keperluan kepada pembangunan Modul Latihan Meta Terbeza. Dapatan fasa satu mendapati terdapat 2 tema permasalahan penerapan KBAT dalam pengajaran yang dihadapi oleh GPI sekolah menengah iaitu (1) guru dan (2) murid. Bagi tema guru terdapat 4 sub tema iaitu kemahiran, sikap, kekangan silibus dan kekurangan pengetahuan metakognitif. Manakala bagi tema murid pula terdapat 3 sub tema iaitu sikap murid, sukar berfikir dan kepelbagaian aras pengetahuan. Sementara itu, terdapat 1 tema keperluan kepada pembinaan Modul Latihan Meta Terbeza iaitu latihan guru. Di bawah tema latihan guru terdapat 2 sub tema iaitu modul latihan dan bengkel latihan. Fasa kedua reka bentuk dan pembangunan terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat pertama reka bentuk kandungan modul latihan diperolehi berdasarkan dapatan tema fasa satu analisis keperluan, teori, model dan kajian literatur berkaitan. Dapatan fasa reka bentuk kandungan modul latihan menunjukkan sebanyak 103 item berjaya direka bentuk. Manakala peringkat kedua pembangunan modul latihan ini dilaksanakan melalui kaedah Fuzzy Delphi Method (FDM) untuk mendapatkan kesepakatan 20 orang pakar terhadap reka bentuk kandungan modul latihan. Dapatan menunjukkan pakar telah mencapai kesepakatan bagi 103 item kandungan modul yang telah direka bentuk dengan nilai threshold kurang 0.2 dan peratus kesepakatan pakar melebihi 75%. Seterusnya, fasa tiga adalah penilaian dan kebolehgunaan modul. Penilaian dan kebolehgunaan modul latihan ini dilaksanakan melalui pendekatan perbincangan kumpulan berfokus atau focus group discussion (FGD) bagi mendapatkan pandangan 25 orang GPI sekolah menengah yang telah mengikuti bengkel latihan yang telah dijalankan. Dapatan fasa tiga menunjukkan terdapat 5 tema terbentuk bagi kebolehgunaan Modul Latihan Meta Terbeza iaitu (1) membantu perkembangan profesionalisme, (2) perancangan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), (3) terkini, (4) kekangan dan (5) kepuasan. Bagi tema kepuasan terdapat empat sub tema iaitu persediaan kepada guru, aktiviti praktikal, emosi positif dan memberi idea. Kesimpulannya, dapatan kajian ini berjaya menghasilkan Modul Latihan Meta Terbeza dan memberi implikasi terhadap amalan pengajaran GPI menerapkan KBAT serta membantu GPI menjana idea-idea baru dalam mengembangkan kemahiran berfikir murid.
Pages: 464
Call Number: LB1062.H335 2024 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Social Sciences and Humanities / Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.