Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/774718
Title: Kemopencegahan kanser oleh pterostilbene secara oral ke atas pelbagai tahap karsinogenesis dan tapak jalan inflamasi pada kanser kulit jenis karsinoma sel skuamus (SCC) dalam model mencit aruhan DMBA/TPA
Authors: Omchit Surien (P110053)
Supervisor: Ahmad Rohi Ghazali, Prof. Dr.
Siti Fathiah Masre, Dr.
Dayang Fredalina Basri, Prof Madya Dr.
Keywords: Carcinoma, Squamous Cell
Skin Neoplasms
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 23-May-2024
Abstract: Kanser kulit karsinoma sel skuamus (SCC) merupakan kanser kulit manusia kedua paling lazim dijumpai dan mempunyai potensi bermetastasis yang menyebabkan kematian. Pterostilbene merupakan sebatian semulajadi yang mempunyai pelbagai kesan perubatan yang berkaitan pencegahan kanser seperti aktiviti anti-inflamasi, antioksidan dan anti-proliferasi. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji aktiviti kemopencegahan kanser pterostilbene secara oral ke atas model mencit kanser kulit jenis SCC aruhan 7,12-dimethylbenz[a]anthracene (DMBA)/ 12-Otetradecanoylphorbol- 13-acetate (TPA). Sebanyak tiga puluh (N=30) mencit betina daripada jenis Institute Cancer Research (ICR) dibahagikan kepada lima kumpulan secara rawak (n=6): Dua kumpulan kawalan : (1) kawalan agen pengangkut, (2) kawalan kanser yang telah diaruh oleh DMBA/TPA dan tiga kumpulan rawatan pterostilbene secara oral iaitu 50 mg/kg bersama dengan DMBA/TPA dalam pelbagai tahap karsinogenesis, iaitu semasa (3) inisiasi, (4) promosi, and (5) berterusan. Selepas 24 minggu, kesemua mencit dikorbankan dan sampel kulit diambil untuk analisis makmal. Keputusan menunjukkan bilangan dan isipadu tumor menurun secara signifikan pada kumpulan rawatan pterostilbene berbanding kumpulan kawalan kanser. Pemerhatian histopatologi untuk kumpulan kawalan kanser menunjukkan ciri-ciri histologi SCC seperti pembentukan mutiara keratin dan pencerobohan pada membran basal ke dalam lapisan dermis. Kumpulan rawatan pterostilbene menunjukkan kurang pleomorfisme atau perubahan sel nukleus tetapi membran basal tidak runtuh. Ketebalan lapisan epidermis menurun secara signifikan pada kumpulan rawatan pterostilbene. Pewaranaan imunohistokimia penanda proliferasi sel (Ki-67) menunjukkan penurunan aras ekspresi protein yang signifikan pada kumpulan rawatan pterostilbene berbanding kumpulan kawalan kanser. Pterostilbene mengurangkan proses pengaktifan NF-κB dan ekspresi pengantara pro-inflamasi dan meningkatkan ekspresi protein pengantara antiinflamasi. Pterostilbene juga menurunkan penghasilan nitrik oksida. Ekspresi onkogenik miRNA-21-5p diturunkan oleh pterostilbene dan ekspresi gen perencat tumor miRNA-204-5p ditingkatkan oleh pterostilbene. Kesimpulanya, pterostilbene yang diberi secara oral mengurangkan pembentukan kanser kulit jenis SCC dalam pelbagai tahap karsinogenesis aruhan DMBA/TPA pada model mencit melalui perencatan tapak jalan inflamasi NF-κB.
Pages: 203
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.