Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/774700
Title: | Aktiviti kemopencegahan kanser oleh ekstrak daun Canarium odontophyllum Miq. kaya terpenoid (TRCO) dalam model kanser kulit teraruh UVB secara in vitro dan in vivo |
Authors: | Muhammad Wahizul Haswan Abdul Aziz (P96722) |
Supervisor: | Ahmad Rohi Ghazali, Prof. Dr. Dayang Fredalina Basri, Prof. Madya. Dr. Fathiah Masre, Dr. |
Keywords: | Skin Neoplasms Ultraviolet Rays Plants, Medicinal Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 2-May-2024 |
Abstract: | Kanser kulit adalah sejenis kanser yang paling umum, terutamanya disebabkan oleh kesan berbahaya sinar ultraungu-B (UVB) dari matahari. Kemopencegahan kanser bertujuan untuk menghalang perkembangan kanser dalam usaha berterusan melawan penyakit ini. Canarium odontophyllum Miq. atau dikenali sebagai "dabai" merupakan tumbuhan asal di Sarawak, Malaysia. Setakat ini, tiada kajian terdahulu dijalankan ke atas daunnya dalam kemopencegahan kanser kulit aruhan UVB. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji aktiviti kemopencegahan ekstrak daun Canarium odontophyllum Miq. kaya terpenoid (TRCO) dalam model in vitro dan in vivo kanser kulit yang diaruhkan oleh 30 dan 180 mJ/cm2 UVB masing-masing. Model in vitro melibatkan sel selanjar keratinosit manusia (HaCaT) dan in vivo melibatkan mencit BALB/c (umur 6 minggu, n=6). Kapasiti anti-oksidan ekstrak diukur menggunakan asai kuasa anti-oksidan penurunan ferik (FRAP) dan terpenoid dikenalpasti melalui analisis spektrometri jisim kromatografi gas (GC-MS). Sitotoksisiti TRCO terhadap HaCaT yang diaruh UVB dinilai menggunakan kaedah MTT. Kedua-dua model kanser kulit aruhan UVB diberikan rawatan 500 μg/ml TRCO (TRCO500) dan 1 000 μg/ml TRCO (TRCO1000). Hasil kajian mendapati ekstrak mempunyai kuasa anti-oksidan dalam unit kapasiti antioksidan setara asid askorbik (AEAC) tanpa perbezaan signifikan (p>0.05) diantara TRCO500 (5.00 ± 0.35 AEAC) dan TRCO1000 (5.70 ± 0.29 AEAC) dan kaya dengan terpenoid terutamanya fitol (8.74%) dan spatulenol (7.16%). Ujian sitotoksisiti mendapati nilai IC50 TRCO melebihi 1 000 μg/ml dan dos ini seterusnya digunakan pada HaCaT. Pendedahan kronik UVB (30 mJ/cm2) dalam model in vitro (n=9) menunjukkan pleomorfisme sel, namun pra-rawatan dengan TRCO berjaya melindungi sel dari transformasi onkogenik. Dalam model in vivo (n=6) yang diaruh UVB kronik (180 mJ/cm2), pra-rawatan dengan TRCO secara topikal mengurangkan eritema pada kulit mencit. Histologi kulit menunjukkan pengurangan signifikan (p<0.05) ketebalan epidermis dan hiperplasia, di mana analisis biokimia menunjukkan penurunan signifikan (p<0.05) aktiviti tirosinase dan kandungan melanin berbanding kumpulan UVB+TRCO0. Dalam kedua-dua model, pra-rawatan dengan TRCO secara signifikan meningkatkan (p<0.05) aras protein tumor p53 (TP53), menurunkan aras protein proliferasi KI-67 (KI67) dan faktor pertumbuhan endotelial vaskular (VEGF) berbanding kumpulan UVB+TRCO0. Walaupun pra-rawatan TRCO menunjukkan penurunan signifikan (p<0.05) aktiviti enzim-enzim anti-oksidan (superoksida dismutase total, katalase, glutation peroksidase dan glutation-S-transferase) berbanding kumpulan UVB+TRCO0, namun aras tekanan oksidatif (lipid peroksida dan protein karbonil) dapat dikurangkan dengan signifikan (p<0.05) berbanding kumpulan UVB+TRCO0. Pra-rawatan dengan TRCO mungkin bertindak dengan lebih awal sebagai anti-oksidan eksogen untuk meneutralkan radikal bebas justeru menyebabkan tiada peningkatan dalam aktiviti enzim-enzim anti-oksidan. Kandungan terpenoid yang tinggi dalam TRCO berfungsi sebagai anti-oksidan eksogen yang melawan radikal bebas, mengurangkan keradangan dan menghalang kerosakan pada sel dan tisu. TRCO menunjukkan aktiviti kemopencegahan yang menjanjikan potensi besar sebagai agen kemopencegahan kanser kulit yang diaruh oleh UVB dengan cara menurunkan aras tekanan oksidatif, menggalakkan pembaikan sel dan mengurangkan aras proliferasi dan angiogenesis dalam model kanser kulit. Kesimpulannya, hasil kajian ini boleh menjurus kepada pembangunan C. odontophyllum Miq. yang endemik di Sarawak sebagai agen kemopencegahan kanser yang berpotensi. |
Pages: | 184 |
Publisher: | UKM, Kuala Lumpur |
Appears in Collections: | Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
Aktiviti kemopencegahan kanser oleh ekstrak daun Canarium odontophyllum Miq. kaya terpenoid (TRCO).pdf Restricted Access | Full-text | 7.96 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.