Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/772720
Title: Mengkaji hubungan antara ketidakjaminan makanan dengan status ferum dan vitamin B12 dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Semenanjung Malaysia
Authors: Wan Siti Fatimah Wan Abdul Rahman (P99921)
Supervisor: Siti Balkis Budin, Prof. Dr.
Poh, Bee Koon, Prof.Dr.
Tang, Swee Fong, Prof. Madya
Keywords: Food Insecurity
Iron
Eating
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 11-Jan-2024
Abstract: Ketidakjaminan makanan telah dikaitkan dengan kekurangan mikronutrien termasuklah ferum dan vitamin B12. Kajian keratan rentas ini yang bertujuan untuk mengkaji hubungan antara ketidakjaminan makanan dengan status ferum dan vitamin B12 dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Semenanjung Malaysia, merupakan sebahagian daripada kajian South East Asian Nutrition Surveys II (SEANUTS II). Seramai 337 kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun terlibat dalam kajian ini. Borang soal selidik telah digunakan untuk menentukan profil sosiodemografi, tabiat makan, dan faktor persekitaran. Pengukuran antropometri termasuk berat dan tinggi. Pengambilan makanan dinilai menggunakan borang ingatan diet 24-jam. Status ketidakjaminan makanan diukur menggunakan Radimer/Cornell Hunger and Food Insecurity Instrument versi Bahasa Melayu yang telah divalidasi. Sampel darah diambil dan diuji untuk paras kepekatan hemoglobin, feritin serum, vitamin B12 serum, protein C-reaktif, dan glikoprotein α-1-asid. Dengan menggunakan skor-z indeks jisim tubuh-untukumur, 10.1% dan 33.8% kanak-kanak masing-masing berada dalam kategori kurus/kurus teruk dan berat badan berlebihan/obes. Seramai 40% kanak-kanak berada dalam kategori ketidakjaminan makanan. Terdapat perbezaan yang signifikan antara kategori ketidakjaminan makanan dengan kawasan tempat tinggal (p<0.05), pendapatan bulanan isi rumah (p<0.001), dan tahap pendidikan ibu (p<0.001). Prevalens kekurangan ferum, kekurangan vitamin B12, dan anemia masing-masing 3.6%, 0%, dan 2.4%. Hasil kajian menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan antara kepekatan hemoglobin, feritin serum, vitamin B12 serum, protein C-reaktif, dan glikoprotein α-1- asid berdasarkan jantina (p=0.877), tempat tinggal (p=0.152), pendapatan bulanan isi rumah (p=0.239), ataupun tahap pendidikan ibu (p=0.591). Ujian regresi logistik binari menunjukkan faktor-faktor perkaitan yang signifikan dengan ketidakjaminan makanan termasuk umur bapa kategori 35 - 44 tahun (OR 0.26 95% CI 0.08, 0.84), pendidikan bapa menengah ke bawah (OR 0.48 95% CI 0.25, 0.92), pendapatan bulanan isi rumah B40 (OR 10.44 95% CI 3.29, 33.15), dan bilangan anak melebihi enam orang (OR 24.62 95% CI 2.43, 249.68). Model ujian regresi linear pelbagai telah menentukan faktorfaktor perkaitan yang signifikan bagi status ferum termasuk bapa yang tidak bekerja (p<0.05), kanak-kanak Melayu (p<0.01), dan kanak-kanak India (p<0.001) manakala faktor-faktor yang berhubung kait dengan kategori status vitamin B12 termasuklah kanak-kanak berumur 10-12 tahun (p<0.001), bapa berpendidikan menengah rendah ke bawah (p<0.05), dan kanak-kanak yang mengambil suplemen atau vitamin (p<0.01). Tiada perkaitan dapat dilihat antara kategori ketidakjaminan makanan dengan status ferum (p=0.818) dan vitamin B12 (p=0.410). Kesimpulannya, kanak-kanak sekolah rendah di Semenanjung Malaysia mempunyai prevalens kekurangan ferum dan vitamin B12 yang rendah. Ketidakjaminan makanan tidak mempunyai hubung kait secara langsung dengan status ferum dan vitamin B12. Faktor sosioekonomi mempunyai perkaitan dengan ketidakjaminan makanan serta mempengaruhi status ferum dan status vitamin B12 dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Semenanjung Malaysia. Oleh yang demikian, penemuan kajian ini mencadangkan untuk menyasarkan sekuriti pendapatan yang berkemungkinan lebih berkesan daripada menyasarkan ketidakjaminan makanan dalam usaha untuk mencegah kekurangan ferum dan vitamin B12.
Pages: 220
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.