Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/609858
Title: Kesan pemberian timun laut (stichopus chloronotus) ke atas penyembuhan luka pada model tikus
Authors: Mazliadiyana Mazlan (P70143)
Supervisor: Isa Naina Mohamed, Prof. Madya. Dr.
Ahmad Nazrun Shuid, Prof. Dr.
Keywords: Plant Extracts -- therapeutic use
Dissertations, Academic -- Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Issue Date: 25-Nov-2016
Abstract: Proses penyembuhan luka yang normal melibatkan 3 fasa iaitu fasa inflamasi, fasa proliferasi dan fasa baikpulih. Ketiga-tiga fasa ini adalah bersambungan dan saling bertindihan antara satu sama lain. Objektif utama dalam pengurusan luka adalah untuk menyembuhkan luka pada masa yang pendek, meminimumkan parut dan mengurangkan rasa kurang selesa kepada seseorang pesakit. Terdapat beberapa faktor yang dapat mempengaruhi proses penyembuhan luka antaranya penyakit, status nutrisi dan faktor umur. Anti-oksidan, anti-inflamasi dan anti-mikrobial juga merupakan faktor penting mempercepatkan proses penyembuhan luka. Di Malaysia, timun laut lebih dikenali sebagai Gamat. Di kalangan kaum Melayu, gamat sering digunakan sebagai ubat tradisional untuk melegakan kesakitan, merawat luka dan kesan terbakar. Ianya juga digunakan sebagai tonik untuk memberi sumber tenaga tambahan. Kajian ini dilakukan untuk penentuan kesan ekstrak akues Stichopus chloronotus emulsi salap ke atas luka eksisi pada model tikus. Sejumlah 125 ekor tikus jantan Spraque-dawley dibahagikan secara rawak kepada 5 kumpulan iaitu Kumpulan Kawalan Normal (NO) - haiwan dibiarkan tanpa rawatan, Kumpulan Kawalan Positif (PC) - haiwan diberi rawatan flavin sahaja, Kumpulan Kawalan Negatif (NC) - haiwan diberi rawatan emulsi salap sahaja, Kumpulan Stichopus chloronotus (SC) - haiwan diberi 0.5% ekstrak akues Stichopus chloronotus emulsi salap sahaja dan Kumpulan Kombinasi (C) - haiwan diberi rawatan 0.5% ekstrak akues Stichopus chloronotus emulsi salap dan Flavin. Kesemua rawatan diadministrasi secara topikal sekali sehari. Penentuan perubahan pada luka diambil pada hari ke-1, hari ke-3, hari ke-6, dan setiap hari bermula pada hari ke-10 sehingga pada hari luka tutup sepenuhnya. Gambar dan tisu kulit diambil pada hari ke-1, hari ke-3, hari ke-6, hari ke-10 dan hari ke-14 selepas pembentukan luka untuk parameter pemerhatian makroskopik dan pemerhatian histologi menggunakan pewarnaan Hematoksilin dan Eosin (H&E) dan pewarnaan Masson Trichrome (MT) masing-masing. Hasil kajian mendapati kesemua kumpulan menunjukkan pengurangan dalam saiz luka dengan peningkatan sela masa. Pada hari ke-1 dan hari ke-3 selepas pembentukan luka, pengurangan saiz luka pada kesemua kumpulan adalah sama tanpa perbezaan secara signifikan dinyatakan. Namun, luka yang dirawat dengan kumpulan SC menunjukkan pengurangan saiz luka yang signifikan lebih cepat berbanding kumpulan yang lain bermula pada hari ke-6 selepas pembentukan luka. Pemerhatian berikutnya mendapati kumpulan SC dan kumpulan C menunjukkan penutupan luka sepenuhnya pada hari ke-12 . Manakala kumpulan yang lain menunjukkan penutupan luka sepenuhnya pada hari ke-14 selepas pembentukan luka. Pemerhatian histologi dengan perwarnaan H&E dan MT, mendapati sampel tisu kulit kumpulan SC dan kumpulan C menunjukkan epitelisasi dan pemendapan kolagen yang lebih baik berbanding kumpulan yang lain. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa Stichopus chloronotus dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka melalui kapasitinya meningkatkan peratusan pengurangan luka, epitelisasi dan pemendapan kolagen. Oleh itu, ekstrak Stichopus chloronotus boleh dijadikan satu piawai yang baru dan lebih baik untuk merawat luka kecil.
Pages: 117
Call Number: QV20.5.M476k 2016 9HUKMPRA tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Kesan pemberian timun laut (stichopus chloronotus) ke atas penyembuhan luka pada model tikus.pdf
  Restricted Access
Full-text4.31 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.