Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/519728
Title: Kepelbagaian dan sebaran makroinvertebrat bentik di Janda Baik, Bentong, Pahang
Authors: Hanisah Ibrahim (P63263)
Supervisor: Ahmad Abas Kutty, Prof. Dr.
Keywords: Makroinvertebrat -- Pahang
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 29-Mar-2021
Description: Kepelbagaian makroinvertebrat bentik di tanah tinggi Malaysia sangat kurang dikaji dan maklumat mengenai faktor yang mempengaruhi sebarannya juga adalah terhad. Sehubungan itu, satu kajian kepelbagaian dan sebaran makroinvertebrat bentik serta faktor yang mempengaruhi sebarannya telah dijalankan di Janda Baik, Pahang yang mempunyai ketinggian melebihi 400 m dari aras laut. Kajian ini menumpukan kepada penentuan kualiti air sungai berdasarkan indeks WQI, pengukuran ciri fizikal habitat dan kepelbagaian dan kelimpahan makroinvertebrat bentik dalam ekosistem di tanah tinggi. Sebanyak tujuh sungai di Janda Baik iaitu Sg. Benus, Sg. Sum Sum, Sg. Cemperuh, Sg. Ceringing, Sg. Luruh, Sg. Kerul dan Sg. Tampik telah disampel. Pensampelan air sungai dan makroinvertebrat bentik telah dijalankan sebanyak empat kali dalam tempoh 12 bulan pada tahun 2013. Sebanyak 700 sampel air sungai telah dianalisis untuk parameter permintaan oksigen biokimia (BOD5), permintaan oksigen kimia (COD), ammoniakal nitrogen (NH3-N), nitrat, ortofosfat, magnesium (Mg), kalsium (Ca), kalium (K) dan natrium (Na), manakala, sebanyak 420 sampel air sungai telah dianalisis untuk parameter jumlah pepejal terampai (TSS). Kesemua pengukuran dan analisis dijalankan menurut kaedah piawai yang diperkenalkan oleh APHA dan data terhasil digunakan untuk pengiraan nilai indeks WQI. Makroinvertebrat bentik telah disampel menggunakan jaring Surber dan sebanyak 1120 sampel unit telah disampel dan dianalisis dalam kajian ini dan pengecaman telah dilakukan sehingga ke peringkat genus. Berdasarkan pengkelasan WQI, kesemua sungai berada diantara kelas I hingga II iaitu dalam kategori bersih. Ujian ANOVA satu hala menunjukkan kesemua parameter kualiti air sungai kajian tidak berubah dengan ketara dalam tempoh 12 bulan kajian (p>0.05, α=0.05). Hasil kajian telah merekodkan 86535 individu makroinvertebrat bentik yang terdiri daripada empat filum, tujuh kelas, 20 order, 99 famili dan 266 genus. Order Diptera didapati mendominasi kawasan kajian dengan 34668 individu (40%) daripada keseluruhan sampel, manakala order Trichoptera adalah kedua tertinggi iaitu 17200 individu (20%) dikuti oleh order Ephemeroptera iaitu sebanyak 17127 individu (20%). Genus Polypedilum spp. (Chironomidae) merupakan genus yang paling banyak dijumpai iaitu sebanyak 17653 individu, diikuti Simulium spp. (Simuliidae) dengan jumlah individu sebanyak 8708 individu dan Baetis spp. (Baetidae) 4734 individu. Ujian CCA yang dijalankan menunjukkan faktor fizikal habitat iaitu parameter substrat berpasir, ortofosfat, Na, K, konduktiviti, detritus, Ca dan oksigen terlarut (DO) mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehadiran dan kepadatan makroinvertebrat bentik tertentu. Indeks kepelbagaian Shannon (H��) mencapai nilai di antara 2.16-2.68, indeks keseragaman Pielou (J) 0.14-0.23 dan indeks kekayaan Margalef (DMg) 6.55-7.50 yang mengambarkan keseimbangan ekosistem yang sederhana baik sehingga baik. Indeks biotik BMWPThailand yang dikira bernilai 232-277, ASPT 3.63-4.18, EPT 23-31, EPT/C 0.79-2.80 dan FBI 4.02-5.66 yang juga menggambarkan kebanyakan sungai di Janda Baik, Pahang berada di dalam keadaan baik. Takson makroinvertebrat bentik yang mendominasi kawasan kajian adalah Polypedilum spp. (Chironomidae), Simulium spp. (Simuliidae) dan Baetis spp. (Baetidae) merupakan penunjuk kualiti ekosistem akuatik air tawar yang bersih. Faktor fizikal persekitaran seperti habitat dan sumber makanan didapati mempengaruhi kepelbagaian dan kehadiran makroinvertebrat bentik di kawasan kajian berbanding dengan parameter kualiti air. Kebanyakan takson yang ditemui adalah organisma penunjuk untuk ekosistem alokton yang merupakan ciri utama habitat kajian.,Ph.D
Pages: 143
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Kepelbagaian dan sebaran makroinvertebrat bentik di janda baik bentong pahang.pdf
  Restricted Access
Partial900.83 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.