Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/519485
Title: Penilaian Kuantitatif Analisis Ketakfungsian Ventrikel Kiri Secara Automatik Untuk Mengesan Penyakit Jantung Iskemik
Authors: Adhi Harmoko Saputro (P52364)
Supervisor: Mohd. Marzuki Mustafa, Prof. Dr. Ir.
Keywords: Penilaian Kuantitatif Analisis Ketakfungsian Ventrikel Kiri
Analisis Ketakfungsian Ventrikel Kiri Secara Automatik
Ketakfungsian Ventrikel Kiri Secara Automatik Untuk Mengesan Penyakit Jantung Iskemik
Receiver operating characteristic curves
Issue Date: 2-Apr-2013
Description: Penyakit jantung iskemik (ICD) merupakan punca kematian paling biasa di kebanyakan negara maju termasuk Malaysia. Penyakit ini berpunca daripada kekurangan bekalan darah ke jantung. Masa kini, diagnosis ICD dilakukan secara manual oleh pakar jantung berdasarkan penilaian ketakfungsian ventrikel kiri pada ekokardiografi dua dimensi (2DE). Perkara ini merupakan prosedur biasa bagi mengesan penyakit jantung yang mengambil masa yang panjang serta bersandarkan pengendali. Oleh itu, objektif utama kajian ini ialah untuk membangunkan suatu kaedah penilaian kuantitatif yang automatik lagi persis untuk mendiagnosis ICD secara objektif menggunakan pendekatan pemprosesan imej dan model matematik. Kaedah yang dicadang melibatkan empat bahagian utama iaitu, i) penjejakan titik sepanjang miokardium berasaskan teknik aliran optik, ii) segmentasi untuk menyari hasil penjejakan kepada setiap segmen LV, iii) penilaian indeks perubahan bentuk untuk mengesan anomali fungsi jantung secara sejagat dan iv) penilaian miokardium serantau untuk menyetempatkan segmen tak normal. Anak gelombang multi skala dan strategi ledingan digabungkan untuk menjana vektor halaju dengan kejituan tinggi daripada dua buah bingkai imej ultrabunyi berkualiti rendah yang berturutan. Seterusnya, teknik semi-automatik dilaksanakan untuk menyari anjakan, halaju dan kadar tarikan di sepanjang miokardium sebagai menangani masalah segmentasi automatik dalam 2DE. Analisis perubahan bentuk melibatkan pengukuran geometri dan pengiraan indeks penanda keadaan LV baru. Anjakan, halaju dan kadar tarikan daripada setiap segmen dikira dalam sistem koordinat tempatan baru untuk menyetempatkan kawasan segmen LV yang tak normal. Sebuah pemerihal berbilang pembolehubah (MVD) yang menggabungkan tiga buah parameter lokal (anjakan, halaju dan kadar tarikan) digunakan untuk mewakili fungsi miokardium. Pengesanan ketakfungsian didasarkan pada model yang dikembangkan dengan menggunakan Sigmoid dengan nilai μ dan  dikira daripada agihan Gaussian data normal untuk setiap segmen. Pengujian dan pengesahan dilakukan pada empat pandangan jantung manusia iaitu pandangan paksi panjang parasternal, paksi pendek parasternal, apikal 4-kebuk dan apikal 2-kebuk. Data sintetik dan data klinikal telah digunakan untuk menguji keberkesanan kaedah yang dicadangkan. Ukuran kuantitatif prestasi aliran optik menggunakan data sintetik 2DE telah menghasilkan ralat sudut 4.2%. Prestasi pengesanan sempadan miokardium dinilai berasaskan ukuran ralat jarak bentuk menggunakan kedua-dua data sintetik dan klinikal yang menghasilkan keputusan ralat piksel, masing-masing 0.08 dan 2.05. Prestasi cadangan indeks sejagat menunjukkan hasil yang memberangsangkan untuk membezakan kelainan LV daripada kasus normal. Dengan menggunakan analisis lengkung ciri operasian penerima (ROC), prestasi pengelasan LVI ialah 0.95 yang dikira menggunakan luas kawasan di bawah lengkung ROC. Sebuah uji keertian dilakukan untuk menilai prestasi MVD untuk mengesan segmen sama ada normal atau tak normal. Keputusan menunjukkan bahawa 95 peratus segmen memiliki nilai keertian P di bawah 0.001. Di samping itu, pakar jantung turut dirujuk untuk nasihat dan tujuan pengesahan. Ringkasnya, kajian ini telah berjaya membangunkan satu kaedah berkesan untuk mendiagnosis ketakfungsian LV secara automatik yang membolehkan penilaian dilakukan secara objektif berasaskan ukuran kuantitatif serta melalui visualisasi pergerakan jantung.,PhD
Pages: 232
Call Number: QA279.2 .S245 2013 3
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Engineering and Built Environment / Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Files in This Item:
There are no files associated with this item.


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.