Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/514590
Title: Penyeludupan migran dan keselamatan insan: kajian kes orang pelarian Rohingya di Lembah Klang, Malaysia
Authors: Andika Ab. Wahab (P64773)
Supervisor: Rashila Ramli, Prof. Dato' Dr.
Keywords: Penyeludupan
Migran
Rohingya
Pelarian
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Issue Date: 30-Mar-2017
Description: Penyeludupan migran sering kali dikaitkan dengan kemasukan orang pelarian dan pencari suaka politik Rohingya ke Malaysia secara haram, seterusnya dianggap sebagai ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara. Oleh itu, Malaysia cenderung untuk melihat isu penyeludupan migran Rohingya ke negara ini dari kaca mata jenayah terhadap negara dan mengabaikan aspek risiko dan ancaman keselamatan yang dihadapi mereka. Sebagai sebuah negara yang masih belum menyertai Konvensyen Mengenai Status Orang Pelarian 1951 dan Prokotolnya 1967, Malaysia tidak mengiktiraf status orang pelarian Rohingya. Ini seterusnya menimbulkan persoalan mengenai keupayaan dasar dan perundangan anti-penyeludupan migran bagi membela dan melindungi mangsa penyeludupan Rohingya di Malaysia. Kajian ini memfokus kepada ancaman keselamatan yang dihadapi oleh Rohingya dan strategi penanganan yang diambil menerusi lensa keselamatan insan - akibat kemasukan mereka ke Malaysia secara tidak sah. Kajian ini mempunyai tiga objektif seperti berikut; pertama, menentukan pola migrasi dan penglibatan Rohingya dalam aktiviti penyeludupan migran; kedua, mengenal pasti ancaman keselamatan insan yang dihadapi mereka dan; ketiga, menilai strategi perlindungan dan pemerkasaan yang telah diambil oleh organisasi berdasarkan komuniti (OBK) Rohingya dalam menangani ancaman keselamatan insan. Satu kerangka analisis implikasi keselamatan insan dibangunkan berdasarkan tiga model iaitu Suruhanjaya Keselamatan Insan (2003), Tadjbakhsh dan Chenoy (2007) dan Rashila et al. (2012). Seramai 48 orang pelarian dan pencari suaka politik Rohingya telah dikaji selidik. Daripada jumlah tersebut, seramai 27 responden telah ditemu bual secara mendalam. Sementara itu, sebanyak 38 sesi temu bual yang melibatkan pegawai dari agensi kerajaan, organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tiga sesi perbincangan kumpulan fokus dengan pemimpin komuniti Rohingya telah dijalankan. Kerja lapangan dilakukan dari Disember 2012 sehingga Disember 2013 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Hasil kajian mendapati tujuh jenis ancaman keselamatan personal-komuniti yang dihadapi oleh Rohingya seperti pemerdayaan, pemerasan, keganasan fizikal, penahanan dan pemenjaraan, buruh paksa, penganiayaan kanak-kanak dan eksploitasi wanita bagi tujuan kahwin paksa. Sementara itu, terdapat tiga jenis ancaman keselamatan sosio-ekonomi yang dihadapi oleh Rohingya iaitu keterbatasan dari aspek akses kepada khidmat pekerjaan dan pendapatan, pendidikan serta kesihatan di Malaysia. Untuk menangani ancaman keselamatan insan tersebut, kajian ini mendapati OBK Rohingya telah mengambil langkah proaktif menerusi strategi perlindungan dan pemerkasaan dalam usaha membela hak, martabat serta meneruskan kemandirian mereka di Malaysia. Pembinaan kerangka analisis implikasi keselamatan insan dalam kajian ini merupakan sumbangan kepada korpus ilmu yang berkaitan dengan kajian keselamatan bukan tradisional khususnya yang melibatkan isu rentas sempadan seperti orang pelarian dan penyeludupan migran. Penemuan kajian empirikal pula diharap dapat menampung kelompangan kajian sedia yang berkait dengan orang pelarian Rohingya dan pembabitan mereka dalam aktiviti penyeludupan migran. Hasil kajian ini diharap dapat memberi perspektif baru dan relevan kepada pembuat dasar dalam menangani isu orang pelarian khasnya kaum Rohingya dan penyeludupan migran sesuai dengan perkembangannya di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 365
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Institute of Malaysian and International Studies / Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS)

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_97804+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
589.04 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.