Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500375
Title: Sensor ion potensiometri berasaskan sebatian bis-tiourea baru untuk pengesanan aluminium
Authors: Kook Shih Ying (P83933)
Supervisor: Lee Yook Heng, Prof. Dr.
Keywords: Toxicology
Toxins
Poisons
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 19-Sep-2019
Description: Aluminium (Al) merupakan elemen yang penting terhadap pembangunan sosial-ekonomik manusia. Namun, kepekatan ion Al3+ yang tinggi dilaporkan menyebabkan ketoksikan terhadap manusia dan alam sekitar. Kaedah-kaedah konvensional yang lazim digunakan untuk menganalisis ion Al3+ mempunyai kelemahan seperti masa analisis yang panjang dan kos operasi yang tinggi. Ionofor-ionofor Al yang telah digunakan dalam reka bentuk dalam sensor ion potensiometri juga masih menghadapi masalah kepilihan dan had pengesanan yang tinggi. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneliti beberapa jenis sebatian bis-tiourea sebagai ionofor Al untuk sensor ion potensiometri yang baru dan juga membangunkan satu sistem pengesanan ion Al3+ mudah alih dengan menggunakan elektrod pseudo-rujukan jenis keadaan pepejal. Tiga jenis sebatian bis-tiourea baru iaitu N1,N3-bis[[3,5-bis(trifluorometil)fenil]karbamo-tioil]isoftalamida (TPC), N2,N6-bis[(4-fluorofenil)karbamotioil]piridin-2,6-dikarbo-samida (FPC) dan 1,1'-[(metilazanediyil)bis(etana-2,1-diyil)]bis[3-(naftalen-1-yil)tiou-rea] (ACH) telah dikaji sebagai ionofor Al. Sebatian-sebatian ini dipegunkan bersama garam anion lipofilik tetrakis[3,5-bis(trifluorometil)fenil]borat dalam membran terawatfoto poli(n-butil akrilat) pada elektrod bercetak skrin Ag/AgCl terubahsuai poli(2-hidroksiletil metakrilat). Kaedah potensiometri dengan elektrod rujukan konvensional Ag/AgCl digunakan dalam pencirian sensor. Hanya sebatian ACH menghasilkan prestasi rangsangan sensor yang baik untuk ion Al3+ dengan rangsangan Nernstian iaitu 18.67±0.56 mV/dekad pada julat kelinearan dari 10-6 hingga 10-1M dan had pengesanan serendah 8.07×10-7 M telah diperolehi. Berdasarkan kaedah larutan berasingan (SSM), sensor ion tersebut memberikan kepilihan yang baik terhadap ion Al3+ berbanding beberapa kation monovalen, divalen dan trivalen. Kajian penggunaan sensor ion Al dalam sampel air dari loji perawatan air juga memaparkan prestasi analisis yang setanding dengan kaedah piawai Eriokrom Cyanin R untuk analisis ion Al3+. Untuk membangunkan sistem analisis potensiometri mudah alih pengesanan ion Al3+, elektrod pseudo-rujukan jenis keadaan pepejal direka bentuk. Oleh kerana sensor ion Al kurang diganggu oleh ion kalium, maka satu elektrod pseudo-rujukan jenis keadaan pepejal berasaskan sensor ion kalium telah dikaji. Hasil kajian menunjukkan bahawa dalam 0.050 M KNO3, keupayaan elektrod pseudo-rujukan tersebut berjaya ditetapkan dan tiada gangguan ke atas keupayaan elektrod pseudo-rujukan pada julat kepekatan ion Al3+ dari 10-8 hingga 10-1 M. Sistem sensor ion Al dengan elektrod pseudo-rujukan ini memberikan rangsangan Nernstian iaitu 17.70±0.13 mV/dekad pada julat kelinearan 10-6 hingga 10-2 M ion Al3+. Sifat kepilihan, had pengesanan dan kestabilan yang setanding dengan elektrod rujukan konvensional Ag/AgCl untuk sensor ion Al juga dipaparkan. Untuk memahami tentang asas ACH sebagai ionofor Al, kajian pengkompleksan juga dijalankan. Nisbah stoikiometri kompleks yang terbentuk di antara ligan ACH dengan ion Al3+ adalah 3:1 dengan formula [Al(ACH)3]3+ dalam campuran pelarut 15% H2O-85% EtOH. Atom sulfur pada ACH merupakan tapak utama yang melibatkan dalam proses pengkompleksan dan nilai pKa ialah 5.42±0.023. Sebagai kesimpulan, sebatian ACH adalah sesuai dijadikan sebagai ionofor Al yang memilih dalam sensor ion potensiometri. Satu sistem analisis potensiometri mudah alih dalam pengesanan ion Al3+ juga berjaya dibangunkan dengan menggunakan elektrod pseudo-rujukan pepejal jenis sensor ion kalium.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Ph.D.
Pages: 268
Call Number: RA1226.K636 2019 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_117735+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
1.45 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.