Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500086
Title: Pembangunan kaedah pengekstrakan fasa pepejal - kromatografi cecair - spektrometri jisim dan penilaian risiko bagi analisis bahan farmaseutikal dalam sampel akuatik
Authors: Nurfaizah Abu Tahrim (P57531)
Supervisor: Md. Pauzi Abdullah, Prof. Dr.
Keywords: Bahan cemar
Aquatic ecology
Issue Date: 2-Feb-2018
Description: Penggunaan farmaseutikal telah meningkat secara konsisten di Malaysia. Ini adalah selaras dengan perubahan ketara dalam gaya hidup di samping peningkatan terhadap perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan. Walau bagaimanapun, bahan farmaseutikal ini boleh memasuki semula ke dalam ekosistem melalui sistem perairan dan berpotensi memberi kesan negatif. Loji rawatan kumbahan (STP) yang sedia ada khususnya di Malaysia tidak direka untuk menyingkirkan bahan farmaseutikal ini. Bahan farmaseutikal yang masih ada dalam efluen air kumbahan ini akan dilepaskan ke dalam sungai yang berhampiran dan akhirnya berkemungkinan hadir di dalam air minum. Oleh kerana farmaseutikal yang hadir dalam persekitaran akuatik ialah pada kepekatan yang sangat rendah iaitu dalam julat bahagian per bilion dan trilion, satu kaedah pengekstrakan dan analisis yang peka perlu dibangunkan. Dalam kajian ini, kaedah analisis berdasarkan pengekstrakan fasa pepejal (SPE) diikuti dengan kromatografi cecair-spektrometri jisim masa penerbangan (LC-TOF-MS) menggunakan mod pengionan secara semburan elektro positif telah berjaya dibangunkan untuk menentukan kehadiran sepuluh farmaseutikal terpilih dalam persekitaran akuatik. Farmaseutikal yang dikaji termasuk acetaminophen, theophylline, caffeine, metoprolol, sulfamethoxazole, carbamazepine, prednisolone, ketoprofen, norgestrel dan simvastatin. Proses pengoptimuman SPE ini merupakan satu tugas yang sukar memandangkan farmaseutikal ini juga tergolong dalam kumpulan yang berbeza (asid, bes dan neutral). Walau bagaimapun, satu kaedah SPE menggunakan langkah pengekstrakan tunggal yang menggunakan isipadu sampel yang rendah sebanyak 100 mL dan pelarut elusi yang minimum telah berjaya dicapai. Selain itu, set fasa bergerak dan program kecerunan telah dioptimumkan untuk mendapatkan pemisahan kromatografi yang baik. Jangkamasa analisis termasuk masa imbangan adalah selama 25 minit dengan menggunakan suntikan sampel 20 μL. Prosedur SPE bersama-sama dengan kaedah analisis yang telah dibangunkan menghasilkan had kuantifikasi (LOQ) dalam lingkungan 0.031 - 0.882 μg/L untuk sampel STP dan 0.030 - 0.926 μg/L untuk sampel air sungai. Kajian pemantauan selama setahun dijalankan di satu STP terpilih yang mana ia merupakan kawasan tadahan pembetungan yang terbesar di Kuala Lumpur dan sungai-sungai berhampirannya. Julat kepekatan maksimum bagi semua farmaseutikal yang dikesan dalam sampel efluen STP ialah pada 0.145 hingga 6.065 μg/L manakala di antara 0.163 dan 6.8 μg/L di dalam sampel air sungai. Hasil kajian menunjukkan bahawa masih terdapat farmaseutikal yang tidak dapat disingkirkan daripada loji rawatan kumbahan. Analisis multivariat menerusi analisis kelompok dan analisis kumpulan utama yang digunakan dapat melihat hubungan di kalangan bahan farmaseutikal dan stesen persampelan serta menentukan pengelasan. Penilaian risiko alam sekitar mendapati sulfamethoxazole menunjukkan risiko yang tinggi ke atas organisma akuatik dengan nilai darjah risiko 3.95 dalam efluen STP. Hasil kajian tentang risiko terhadap manusia mendapati bahawa batas keselamatan minimum untuk carbamazepine dan simvastatin adalah agak rendah dan berkemungkinan boleh memberi kesan buruk kepada pengguna. Kajian ini dibuat berdasarkan risiko secara individu. Namun masih belum dipastikan kesan secara keseluruhan apabila bahan ini hadir secara serentak dalam air. Kajian semasa ini secara keseluruhannya telah membuktikan bahawa persekitaran akuatik di Malaysia terdedah kepada kehadiran bahan cemar farmaseutikal.,Tesis ini tidak ada 'Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah'
Pages: 150
Call Number: QH541.5.W3N837 2018 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_100573+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
667.64 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.