Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499764
Title: Pengubahsuaian permukaan tatasusunan nanorod ZnO dengan pewarna organik melalui kaedah salutan berputar untuk sel suria hibrid jenis songsang
Authors: Lim Eng Liang (P62615)
Supervisor: Yap Chi Chin,Dr.
Keywords: Solar cells.
Issue Date: 4-Feb-2015
Description: Tatasusunan nanorod ZnO (ZnO NRAs) satu dimensi telah digunakan secara meluas dalam sel suria hibrid jenis songsang (IHSC). Walau bagaimanapun, kesebatian antara polimer semikonduktor yang bersifat hidrofobik dan ZnO NRAs yang bersifat hidrofilik adalah kurang baik mengakibatkan kawasan antara muka yang kecil antara penderma dan penerima untuk proses penceraian eksiton. Secara tidak langsung, kecekapan penukaran kuasa (PCE) IHSC menjadi rendah. Tesis ini melaporkan kesan pengubahsuaian permukaan ZnO NRAs dengan Eosin-Y (0.05 mM, 0.2 mM, 2.0 mM, 5.0 mM) dan DCJTB (10 mM, 15 mM) pada kepekatan larutan yang berbeza terhadap prestasi IHSC. ZnO NRAs ditumbuhkan di atas substrat fluorin timah oksida (FTO) yang telah disalut dengan nanobenih ZnO dengan menggunakan kaedah hidroterma. Daripada menggunakan kaedah rendaman yang umum, pengubahsuaian permukaan ZnO NRAs dilakukan dengan kaedah salutan putaran. Peranti difabrikasikan dengan menyalut poli (3-heksithiofena-2,5-dil) P3HT pada ZnO NRAs tersalut pewarna. Akhir sekali, pemendapan elektrod perak dilakukan dengan menggunakan percikan magnetron. Imej mikroskopi elektron imbasan pancaran medan (FESEM) menunjukkan bahawa morfologi ZnO NRAs tidak mengalami perubahan selepas disalut dengan Eosin-Y dan DCJTB. Pengukuran sudut sentuh menunjukkan bahawa sudut sentuh air ZnO NRAs meningkat secara ketara dengan penyalutan pewarna Eosin-Y dan DCJTB. Peningkatan sifat hidrofobik permukaan ZnO NRAs meningkatkan kesebatian antara ZnO NRAs tersalut pewarna organik/P3HT dan seterusnya menghasilkan kawasan antara muka yang besar antara ZnO/P3HT. Berbeza dengan Eosin-Y, DCJTB yang tersalut pada ZnO NRAs hampir dihilangkan sepenuhnya selepas penyalutan P3HT yang dapat dibuktikan melalui pengukuran spektroskopi penyerapan dan spektroskopi inframerah transformasi Fourier. Pengukuran ketumpatan arus-voltan di bawah pencahayaan menunjukkan bahawa kedua-dua ketumpatan arus litar pintas (Jsc) dan voltan litar terbuka (Voc) meningkat dengan penyalutan Eosin-Y dan DCJTB, dan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam PCE berbanding dengan peranti asal. Peningkatan Jsc boleh dikaitkan dengan kecekapan penceraian eksiton yang tinggi pada permukaan antara ZnO/P3HT sepertimana yang dicadangkan oleh pengurangan masa hayat pereputan eksiton yang diekstrakkan daripada pengukuran fotoluminesen resolusi masa. Selain itu, Eosin-Y yang masih tersalut pada permukaan ZnO NRAs memberikan sumbangan dalam penyerapan cahaya dan seterusnya meningkatkan penghasilan pembawa cas yang dijana cahaya. Sementara itu, pengurangan penggabungan cas semula dan penyekatan kebocoran arus lohong dari P3HT ke FTO dipercayai memainkan peranan yang penting dalam peningkatan Voc. Nilai PCE yang tertinggi dicapai dengan 0.2 mM Eosin-Y dan 10 mM DCJTB, yang masing-masing mencatatkan nilai 0.33 ± 0.02 % dan 0.27 ± 0.01 %, lebih tinggi berbanding peranti normal 0.15 ± 0.04 %. Kesimpulannya, pengubahsuaian permukaan dengan penyalutan pewarna pada kepekatan yang optima merupakan satu pendekatan yang mudah dan bernilai untuk meningkatkan prestasi IHSC.,Ph.D
Pages: 119
Call Number: TK2960 .L537 2015
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_82263+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
5.21 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.