Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499408
Title: Pembangunan sensor kimia dan biosensor untuk penentuan racun serangga perosak permetrin
Authors: Mohamad Nasir bin Mat Arip (P52176)
Supervisor: Lee Yook Heng, Prof. Dr.
Keywords: Biosensor
Sensor kimia
Biosensors
Issue Date: 5-Feb-2013
Description: Racun permetrin biasanya digunakan untuk melindungi bahan tanaman dan juga produk kayu daripada serangan serangga, kulat dan organisma lain. Dalam kajian ini, sensor kimia optik dan biosensor elektrokimia untuk penentuan kuantitatif bahan racun permetrin telah dibangunkan. Untuk sensor kimia optik, reagen Gibbs yang terpegun dalam filem hibrid silikat nafion/sol-gel digunakan untuk merekabentuk sensor. Tindak balas antara permetrin dan reagen Gibbs menyebabkan warna bertukar daripada kuning kepada biru pada pengukuran serapan pada panjang gelombang 680 nm. Hubungan linear antara serapan dan kepekatan permetrin diperhatikan dalam julat kepekatan 2.56–383.00 μM (R2 = 0.9900) dan had pengesanan (LOD) adalah 2.50 μM. Walau bagaimanapun, sensor kimia ini tidak memilih dan memberikan rangsangan terhadap sebatian fenol. Biosensor potentiometri menggunakan enzim karboksilesterase telah dibangunkan untuk penentuan permetrin dengan memegunkan enzim ke atas transduser yang peka kepada perubahan pH. Transduser pH direkabentuk daripada membran polimer metakrilik-akrilik bebas pemplastik yang mengandungi ionofor hidrogen dan garam lipofilik. Membran poli(2-hidroksietil metakrilat) (pHEMA) telah digunakan untuk memegunkan enzim karboksilesterase di atas filem transduser. Rangsangan linear biosensor berdasarkan enzim ini ialah 1.99–79.43 μM permetrin (R2 = 0.9912). LOD biosensor ini ialah 1.99 μM. Biosensor yang dibangunkan didapati hanya spesifik kepada racun jenis piretroid dan tidak ada rangsangan terhadap racun jenis organofosfat. Untuk biosensor potentiometri berasaskan sel kulat, dua biosensor direkabentuk secara pemegunan sel kulat dalam campuran alginat dengan pHEMA. Kedua-dua jenis sel kulat ialah Lentinus sajor-caju (Fr.) Fr. - (A) dan Pycnoporus sanguineus (Fr.) Murr. telah digunakan dan biosensor yang dihasilkan dapat mengesan permetrin masing-masing pada julat kepekatan 1.00–100.00 μM (R2 = 0.9901), (LOD = 1.00 μM) dan 0.39–100.00 μM (R2 = 0.9932), (LOD = 0.39 μM). Biosensor ini memberikan rangsangan terhadap racun sipermetrin dan deltametrin tetapi tidak ada rangsangan kepada racun jenis organofosfat. Biosensor dengan LOD yang lebih rendah untuk penentuan permetrin dapat direkabentuk menggunakan DNA secara pemegunannya ke atas mikrosfera akrilik pada elektrod bercetak skrin jenis karbon. Dua jenis DNA, iaitu DNA organisma terubahsuai gen dan DNA timus anak lembu digunakan dalam pembinaan biosensor. Didapati biosensor mengesan permetrin masing-masing pada julat kepekatan 2.00–51.11 nM (R2=0.9951), (LOD=2.00 nM) dan 3.00–25.56 nM (R2=0.9932), (LOD=3.00 nM). Kedua-dua biosensor DNA yang dibangunkan sangat memilih dan hanya boleh mengesan analit permetrin sahaja. Biosensor permetrin berasaskan DNA ini telah menghasilkan LOD yang jauh lebih rendah berbanding biosensor yang lain dikaji. Kajian validasi menggunakan sampel kayu dan sayur-sayuran telah mengenal pastikan bahawa biosensor ini jitu dalam penentuan permetrin. Keputusan keseluruhan menunjukkan bahawa biosensor yang direkabentuk berasaskan enzim, kulat dan DNA setanding dengan kaedah HPLC dalam penentuan permetrin.,Ph.D
Pages: 223
Call Number: TP159.E37 -- M843 2013
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_71624+Source01+Source010.PDF
  Restricted Access
4.42 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.