Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/488033
Title: Perkembangan hubungan perkahwinan pasangan kekal berkahwin dalam kitaran perkembangan keluarga
Authors: Salmi Jalina Jalil (P87328)
Supervisor: Norhayati Mohd Noor, Dr.
Keywords: Marriage
Marriage customs and rites
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 6-Jan-2020
Description: Perspektif perkembangan merupakan salah satu elemen yang diambil kira dalam melihat perkembangan hubungan perkahwinan dalam kitaran perkembangan keluarga kerana berupaya menjelaskan proses perubahan yang dilalui oleh pasangan kekal berkahwin mengikut kronologi daripada sebelum berkahwin sehingga kepada penuaan. Oleh itu, fokus kajian ini adalah untuk meneroka proses perkembangan hubungan perkahwinan, tugasan perkembangan dan cabaran yang dilalui oleh pasangan kekal berkahwin dalam kitaran perkembangan keluarga melalui tiga persoalan kajian iaitu, (i) Apakah proses perkembangan hubungan perkahwinan pasangan kekal berkahwin dalam kitaran perkembangan keluarga?; (ii) Bagaimanakah tugasan perkembangan hubungan pasangan kekal berkahwin dalam setiap fasa perkembangan?; dan (iii) Apakah cabaran yang dilalui oleh pasangan kekal berkahwin dalam setiap fasa perkembangan?. Seterusnya, untuk menjawab semua persoalan kajian tersebut pengkaji menggunakan penyelidikan kualitatif serta reka bentuk fenomenologi hermeneutik. Pengkaji menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Kajian ini melibatkan 12 pasangan bandar dan luar bandar yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Tiga sumber data digunakan oleh pengkaji iaitu data temu bual mendalam, pemerhatian dan dokumen yang dianalisis menggunakan perisian Nvivo Plus 12 melalui kaedah lingkaran hermeneutik. Keseluruhannya, dapatan kajian telah menemui 179 tema yang menjelaskan proses perkembangan hubungan perkahwinan, tugasan perkembangan serta strategi pelaksanaan tugasan perkembangan dan cabaran yang dihadapi oleh pasangan kekal berkahwin mengikut kronologi perkembangan hubungan perkahwinan dalam kitaran perkembangan keluarga. Kajian ini mencadangkan empat fasa perkembangan hubungan perkahwinan dalam kitaran perkembangan keluarga iaitu (i) fasa perkembangan praperkahwinan; (ii) fasa perkembangan awal perkahwinan; (iii) fasa perkembangan pertengahan perkahwinan; dan (iv) fasa perkembangan kekal berkahwin. Keempat-empat fasa perkembangan tersebut mengandungi lapan elemen peralihan, sepuluh peranan dan 22 matlamat hubungan perkahwinan. Selain itu, pasangan kekal berkahwin telah melaksanakan 22 tugasan perkembangan dalam keempat-keempat fasa perkembangan. Tugasan perkembangan merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam perkahwinan. Antara tugasan utama yang dilaksanakan oleh pasangan kekal berkahwin dalam setiap fasa perkembangan ialah tugasan mengekalkan hubungan perkahwinan, tugasan keibubapaan dan hubungan dengan orang lain. Pelaksanaan tugasan perkembangan melibatkan 96 strategi pelaksanaan. Strategi utama yang digunakan oleh pasangan untuk melaksanakan tugasan perkembangan ialah agama, cinta dan kasih sayang serta bertanggungjawab. Pasangan kekal berkahwin juga menghadapi 21 cabaran mengikut kronologi fasa perkembangan hubungan perkahwinan. Cabaran paling kerap dihadapi ialah campur tangan orang ketiga, kewangan dan peristiwa tidak dijangka. Kejayaan pasangan melalui setiap fasa perkembangan digambarkan melalui pelaksanaan tugasan perkembangan secara dyad iaitu kerjasama suami isteri dalam perkahwinan mereka. Justeru berdasarkan dapatan kajian, model konseptual perkembangan hubungan perkahwinan pasangan kekal berkahwin dalam kitaran perkembangan keluarga dibina sebagai rujukan dan panduan dalam penyelidikan bidang perkahwinan dan keluarga. Kajian ini turut mengemukakan cadangan yang signifikan untuk mengembangkan penyelidikan pengekalan hubungan perkahwinan pada masa akan datang.,Ph.D.
Pages: 480
Call Number: HQ503 .S235 2020 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Education / Fakulti Pendidikan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_121033+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
720.73 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.