Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/487154
Title: Pencirian perambatan retak lesu keluli fasa dual menerusi pendekatan entropi
Authors: Roslinda Idris (P70492)
Supervisor: Shahrum Abdullah, Prof. Ir. Dr.
Keywords: Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Keluli
Keretakan
Issue Date: 18-Mar-2021
Description: Kajian ini membentangkan kaedah pencirian perambatan retak lesu keluli fasa dual di bawah beban spektrum menerusi pendekatan entropi. Perambatan retak lesu pada bahagian struktur sebenar pada umumnya melibatkan beban amplitud boleh ubah yang menyebabkan wujudnya kesan interaksi beban dan kadar perambatan retak lesu sukar diramalkan. Suatu kaedah yang komprehensif serta mudah diperlukan bagi ramalan kelakuan perambatan retak lesu serta hayat lesu di bawah beban amplitud boleh ubah. Salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk meramalkan hayat lesu sesuatu bahan dengan tepat adalah melalui pendekatan penghasilan entropi. Kajian menunjukkan bahawa permulaan dan perambatan retak lesu membebaskan tenaga yang tidak berbalik dalam bentuk haba dan meningkatkan suhu bahan tersebut. Haba ini seterusnya menjadi petunjuk kepada penilaian kadar perambatan retak lesu sesuatu komponen. Walaupun pelbagai kajian telah dijalankan, namun, penyelidikan terperinci berkenaan keupayaan penghasilan entropi dalam penilaian penganggaran kelakuan perambatan retak lesu dan hayat lesu khususnya bagi beban spektrum masih kurang. Selain itu, penghasilan entropi yang tidak bergantung kepada jenis beban yang dikenakan merupakan motivasi kepada penyelidikan ini. Justeru, objektif utama kajian ini adalah menentukan hubungan penghasilan entropi dengan kadar perambatan retak lesu di bawah beban spektrum menggunakan ungkapan matematik khususnya bagi bahan yang mempunyai nilai pekali eksponen hukum Paris perambatan retak lesu m = 2. Oleh itu, keluli fasa dual telah dihasilkan bertujuan bagi mendapatkan pelbagai nilai m kerana nilai ini sangat berkaitan dengan mikrostruktur sesuatu bahan. Ujian perambatan retak lesu dijalankan pada tiga jenis beban yang berbeza iaitu beban malar, beban blok rendah kepada tinggi dan tinggi kepada rendah berdasarkan kepada piawaian ASTM E647. Bacaan suhu pada permukaan spesimen, panjang retak dan bilangan kitaran telah direkodkan secara serentak sepanjang ujian perambatan retak lesu dijalankan. Model retak lesu entropi telah dihasilkan berasaskan model entropi Amiri dan Khonsari khususnya bagi bahan yang mempunyai nilai m bersamaan atau menghampiri 2.0. Penentusahan model retak lesu entropi yang dihasilkan dilakukan dengan membuat perbandingan antara nilai kadar perambatan retak lesu daripada ujian serta nilai daripada model entropi Amiri dan Khonsari. Berdasarkan kepada analisis kebarangkalian yang dijalankan, taburan data daripada model retak lesu entropi, didapati semua data berada dalam julat berdasarkan tahap keyakinan 95% dengan pekali penentuan R2 melebihi 0.90. Ketepatan data ujian terhadap model retak lesu entropi yang dihasilkan ditentukan menggunakan nilai ralat punca kuasa dua min dinormalkan (NRMSE) dengan nilai penganggaran hayat lesu yang diperolehi adalah antara 0.0416 hingga 0.2305, dan ia menunjukkan ralat yang kecil dan boleh diterima. Keputusan yang diperolehi menunjukkan bahawa model retak lesu entropi berupaya meramalkan kelakuan perambatan retak lesu serta menghasilkan anggaran hayat lesu yang mempunyai ketepatan tinggi dan berpontensi sebagai suatu model alternatif dalam peramalan kelakuan perambatan retak lesu dan hayat lesu. Justeru, melalui model retak lesu entropi ini, penilaian ramalan kelakuan perambatan retak lesu serta hayat lesu di bawah beban spektrum dapat dijalankan dengan tepat, mudah serta pantas dan ini merupakan sumbangan utama kepada penyelidikan ini.,Ph.D.
Pages: 270
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Engineering and Built Environment / Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_123448+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
6.58 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.