Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/485651
Title: Inisiatif ketelusan harga ubat untuk mekanisme kawalan harga di sektor kesihatan swasta di Malaysia
Supervisor: Ernieda Md Hatah, Dr.
Keywords: Medicine
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 20-Aug-2020
Description: Harga ubat dan perbelanjaannya dilaporkan meningkat setiap tahun dan ini menimbulkan cabaran bagi akses kepada ubat mampu milik. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji inisiatif ketelusan harga ubat bagi mekanisme kawalan harga di sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia. Kajian pertama menilai data harga yang dilaporkan oleh industri farmaseutikal ke Program Perkhidmatan Farmasi mulai 2011 hingga 2015. Sejumlah 2527 data harga ubat telah dianalisis dan terdapat hubungan yang signifikan antara harga ubat yang dilaporkan dengan harga runcit ubat. Jenis ubat, lokasi runcit, jenis pengeluar, indikasi ubat, pelaporan harga borong dan runcit mempengaruhi secara signifikan nisbah median harga ubat pengguna melebihi 2.5 kali harga rujukan antarabangsa (MPR>2.5). Dalam kajian kedua, ulasan skop dilakukan untuk menyiasat inisiatif ketelusan harga ubat di seluruh dunia. Daripada 4382 artikel yang berkaitan, 12 kajian memenuhi kriteria inklusi untuk inisiatif ketelusan harga ubat. Hanya tiga kajian melaporkan hasil kawalan harga ubat. Dua kajian di Afrika Selatan menunjukkan bahawa inisiatif ketelusan harga ubat tidak semestinya mengurangkan harga ubat. Satu lagi kajian di Filipina menunjukkan pengurangan harga ubat berdasarkan harga akses yang dimediasi oleh kerajaan. Limitasi dan halangan dalam inisiatif ketelusan harga ubat adalah sistem penjagaan kesihatan yang tidak bersepadu dan pemberian diskaun, rebat dan bonus yang tidak didedahkan oleh industri farmaseutikal. Dalam kajian ketiga, persepsi pihak berkepentingan dalam industri mengenai inisiatif ketelusan harga ubat telah disiasat dengan menggunakan kajian kualitatif yang melibatkan wawancara separa berstruktur ke atas 28 responden. Terdapat persepsi yang pelbagai mengenai inisiatif ketelusan harga dengan kekuatannya termasuk penyeragaman harga ubat-ubatan, memberi rujukan kepada orang ramai, mencegah pencatutan dan meningkatkan pemerkasaan pengguna dalam pembelian berasaskan nilai. Kelemahan inisiatif termasuklah membahayakan perniagaan, menghapuskan harga yang baik bagi fasiliti tertentu dan mengurangkan harga percanggahan geografi. Inisiatif ini dilihat sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama industri farmaseutikal dan kerajaan, mencegah kenaikan harga perubatan yang tidak munasabah dan menggalakkan persaingan sihat dalam penjagaan pesakit. Ancaman termasuk ianya boleh meningkatkan kos penjagaan kesihatan, manipulasi harga, monopoli pasaran, mengurangkan inovasi produk baru dan harga yang baik kepada negara kurang maju. Pengetahuan, sikap, dan amalan para pengguna terhadap ketelusan harga ubat dan faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pembelian ubat yang baik telah dijalankan dalam kajian akhir menggunakan keratan rentas soal selidik. Sebanyak 679 pengguna mengambil bahagian dalam kajian ini. Skor peratusan min bagi pengetahun, sikap dan amalan adalah 70.49 (SD =18.2), 79.85 (SD=9.9) dan 52.50 (SD=13.3), masing-masing. Responden lelaki, Cina, skor pengetahuan dan sikap yang tinggi dan kos ubat-ubatan yang tinggi mempengaruhi amalan ketelusan harga ubat yang baik. Keseluruhannya kajian ini mendapati bahawa inisiatif ketelusan harga ubat berpotensi untuk mengawal harga ubat tetapi pelaksanaan yang baik adalah diperlukan. Ini termasuk rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang seperti meningkatkan pendidikan dan pemerkasaan pengguna, mewajibkan inisiatif pelaporan harga ubat, kerjasama antara kerajaan dan industri, dan dasar harga yang tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan industri farmaseutikal dan pada masa yang sama meningkatkan akses pengguna kepada ubat-ubatan mampu milik.,Ijazah Doktor Falsafah
Pages: 252
Call Number: 9 Tesis QV20.5.N974i 2020
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Pharmacy / Fakulti Farmasi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_118647+Source01+Source010.PDF
  Restricted Access
2.76 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.