Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/464259
Title: Pemprofilan metabolomik nepenthes ampullaria, nepenthes rafflesiana dan nepenthes x hookeriana
Authors: Muhammad Aqil Fitri Rosli (P80429)
Supervisor: Goh Hoe Han, Dr.
Keywords: Nepenthes
Botany
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 18-Sep-2018
Description: Nepenthes adalah tumbuhan karnivor berkendi yang lebih dikenali sebagai periuk kera. Genus ini amat menarik untuk dikaji kerana mampu hidup di kawasan tanah tandus dan mempunyai diet yang unik. Kebanyakan spesies periuk kera adalah karnivor, namun terdapat sebahagian spesies periuk kera telah berevolusi menjadi detritivor. Seterusnya, mungkin mengakibatkan perbezaan dalam metabolisme periuk kera yang memiliki ciri-ciri berlainan. Penghibridan memainkan watak penting dalam proses evolusi dan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan, terutamanya dalam penghasilan metabolit sekunder baru atau kombinasi baru sebatian sekunder. Penghibridan adalah meluas dalam kalangan Nepenthes, sama ada semula jadi atau buatan. Namun demikian, kajian terhadap komposisi kimia dalam Nepenthes masih kurang dan pengetahuan yang terperinci berkenaan ciri-ciri biokimia dan biomolekul tumbuhan ini masih lagi terhad. Oleh itu, tujuan kajian ini dijalankan untuk memprofil taburan dan komposisi kimia kendi spesies hibrid, Nepenthes x hookeriana serta spesies induk, Nepenthes ampullaria yang merupakan tumbuhan detritivor iaitu pengurai sisa daun, dan N. rafflesiana yang berdiet karnivor dengan memerangkap serangga. Tisu kendi daripada spesies induk dan hibrid diekstrak dengan pelarut metanol:kloroform:air (3:1:1) menggunakan teknik pengekstrakan bantuan sonikasi. LC-TOF-MS berjaya memprofil 1,441 metabolit dalam ekstrak ketiga-tiga spesies. Analisis multivariat menunjukkan bahawa profil metabolit spesies hibrid mempunyai persamaan yang lebih banyak terhadap N. rafflesiana berbanding N. ampullaria. Fenol merupakan kelas metabolit sekunder tertinggi di dalam ketiga-tiga spesies, hasil daripada kandungan flavonoid yang tinggi, terutamanya dalam N. rafflesiana. Tapak jalan metabolit sekunder yang dipetakan dengan metabolit yang siginifikan secara statistik dapat memberi pendedahan yang lebih baik mengenai biosintesis dan metabolisme metabolit sekunder dalam tisu kendi. Astragalin pula merupakan metabolit sekunder yang signifikan secara statistik dan mempunyai nilai tertinggi dalam analisis VIP. Aktiviti antioksidan daripada ekstrak kasar N. ampullaria berpotensi sebagai pelupus radikal DPPH terbaik dengan kuasa penurunan ferik tertinggi di antara ketiga-tiga spesies, namun jumlah kandungan fenolik tertinggi terkandung dalam ekstrak kendi N. rafflesiana. Asai antioksidan mempamerkan jumlah kandungan fenolik yang tinggi dalam ekstrak kendi berkorelasi dengan nilai FRAP yang lebih tinggi dan nilai IC50 yang lebih rendah untuk DPPH. Melalui pemprofilan metabolomik, pengetahuan dan pemahaman tentang Nepenthes dapat dipertingkatkan, terutamanya tentang variasi komposisi sebatian dalam spesies yang berbeza. Kajian ini juga dapat menyumbang kepada pemahaman terhadap pengekspresan sebatian melalui tapak jalan metabolit di dalam kendi hibrid dan juga induk. Sebatian yang bertanggung-jawab kepada aktiviti antioksidan dan mempunyai aktiviti biologi yang tinggi juga dapat dikenal pasti daripada metabolit yang diprofil. Seterusnya, sebatian ini mungkin berpotensi sebagai sebatian bioaktif baru yang berharga dan tinggi nilai komersial.,Tesis ini tidak ada 'Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah',Sarjana Sains
Pages: 120
Call Number: QK495.N35M834 2018 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Institute of Systems Biology / Institut Biologi Sistem (INBIOSIS)

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_109859+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
820.89 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.