Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/464003
Title: | Kesan ekstrak etanol Gynura Procumbens terhadap status oksidatif, inflamasi, reaktiviti vaskular dan profil metabolik tikus pascamenopaus diberi diet tinggi lemak. |
Authors: | Khuzaidatul Azidah Ahmad Nazri |
Supervisor: | Zakiah Jubri @ Mohd Zufri, Prof. Madya. Dr. Qodriyah Haji Saad, Prof. Madya. Dr. Norsyahidah Mohd Fauzi, Dr. |
Keywords: | gynura procumbens Therapeutic Uses Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 27-Aug-2021 |
Abstract: | Menopaus merupakan satu keadaan yang dialami oleh wanita apabila kitar haid terhenti secara kekal akibat kegagalan ovari bertindak balas dengan hormon gonadotropin untuk menghasilkan estrogen. Estrogen mempunyai pelbagai kesan pelindung termasuk ateroprotektif terhadap sistem kardiovaskular. Penurunan aras estrogen pada wanita menopaus meningkatkan risiko mereka mendapat penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis. Aterosklerosis tercetus apabila inflamasi berlaku disebabkan tekanan oksidatif yang akhirnya mengganggu fungsi normal salur darah. Pengambilan diet tinggi lemak juga meningkatkan risiko aterosklerosis. Pada masa ini, statin digunakan sebagai rawatan aterosklerosis tetapi mungkin memberikan kesan samping jika diambil untuk jangka masa panjang. Rawatan alternatif dengan Gynura procumbens (GP) dicadangkan kerana mengandungi antioksidan seperti kaempferol, kuersetin dan asid klororogenik yang mempunyai kesan antihipertensi, antihiperlipidemia dan anti-inflamasi. Kajian ini bertujuan untuk menentukan kesan pelindung kardio ekstrak etanol Gynura procumbens terhadap status oksidatif, inflamasi, reaktiviti vaskular dan profil metabolomik pada tikus pascamenopaus diberi diet tinggi lemak (PM). GP diekstrak dengan 80% etanol dan komponen bioaktif ditentukan menggunakan LCMS. Tikus dibahagi kepada lapan kumpulan iaitu kawalan, 250GP (250 mg/kg GP), 500GP (500 mg/kg GP), ATV (10 mg/kg atovarstatin), PM, PM+250GP, PM+500GP dan PM+ATV. Atovarstatin adalah kawalan positif. GP dan ATV diberi secara oral sekali setiap hari selama 6 bulan. Tekanan darah sistolik (SBP) diukur menggunakan kaedah kuf ekor dan darah diambil di awal kajian dan setiap bulan melalui sinus orbital. Reaktiviti vaskular aorta diukur menggunakan mandian organ, pengumpulan titik lemak pada tisu aorta diukur dengan pewarnaan minyak merah O, sementara pewarnaan Verhoeff van Gieson mengukur ketebalan tunika media, intima serta lumen. Profil lipid, aktiviti enzim antioksidan, aras penanda inflamasi, ujian fungsi hepar dan ginjal serta malondialdehid (MDA) plasma diukur. Profil metabolit aorta ditentukan menggunakan LCMS-MS. Hasil kajian menunjukkan SBP kumpulan PM meningkat dengan signifikan pada bulan pertama hingga akhir kajian dan menurun ke julat normal dengan suplementasi GP dos 250 dan 500 mg/kg. GP dan ATV mengurangkan penimbunan lemak di media tunika aorta PM. Aras aspartart transaminase, alamin transaminase, alkalina fosfatase, bilirubin, asid urik, urea dan kreatinin yang meningkat pada PM menurun ke aras normal dengan suplementasi GP. Penurunan vasodilasi dan peningkatan vasokonstriksi PM diperbaiki dengan suplementasi GP, selaras dengan peningkatan aras nitrik oksida dan nitrik oksida jenis endotelium plasma. Suplementasi GP menurunkan aras kolesterol jumlah, triasilgliserol jumlah, lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) dan MDA ke aras normal pada bulan ketiga dan keenam, dan meningkatkan aras lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) kumpulan PM. Aktiviti enzim antioksidan PM meningkat dengan suplementasi GP pada bulan ketiga dan keenam. Suplementasi GP menurunkan ekspresi molekul lekatan intersel terlarut 1 (sICAM-1), molekul lekatan vaskular terlarut-1 (sVCAM-1), faktor nekrosis tumor-alfa, interlukin-6 dan protein C reaktif kumpulan PM. Sebanyak 21 metabolit berubah dalam PM berbanding kawalan, 15, 26 dan 11 metabolit dalam kumpulan PM+250GP, PM+500GP dan PM+ATV masing-masing berbanding kumpulan PM. Diet tinggi lemak meningkatkan perubahan lipatan (FC) asid 20-hidroksikosatetraenoik, 2-metoksiestradiol dan lipoksin A5 masing-masing sebanyak 7.18, 3.4 dan 5.28 kali ganda dan menurunkan FC glutation (GSH) dan sfinganina 4.4 dan 5.2 kali ganda berbanding kawalan. Suplementasi GP meningkatkan FC GSH dan sfinganina 7.1 dan 4.7 kali ganda serta menurunkan FC asid 20-hidroksikosatetraenoik, 2-metoksiestradiol dan lipoksin A5, 3.6, 2.84 dan 4.8 kali ganda berbanding PM. Kesimpulannya, Gynura procumbens menurunkan kerosakan oksidatif melalui peningkatan aktiviti enzim antioksidan dan perencatan inflamasi yang meningkatkan fungsi endotelium dan mengekalkan reaktiviti vaskular serta menormalkan aras tekanan darah. Kesan atheroprotektif ini mungkin melibatkan tapak jalan eikosanoid dan glutation. |
Pages: | 215 |
Publisher: | UKM, Kuala Lumpur |
Appears in Collections: | Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
Kesan ekstrak etanol gynura procumbens terhadap status oksidatif, inflamasi, reaktiviti vaskular dan profil metabolik tikus pascamenopaus diberi diet tinggi lemak..pdf Restricted Access | Full-text | 7.1 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.