Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463784
Title: Pencirian molekul tapak jalan waktu pembungaan dalam Rafflesia cantleyi
Authors: Khadijah Rosli (P85912 )
Supervisor: Ng Chyan Leong, Dr.
Keywords: Rafflesia cantleyi
Pembungaan
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 20-Jun-2019
Description: Dalam tumbuhan, kunci bagi kejayaan pembiakan dan kemandirian spesies adalah waktu pembungaan, dan Rafflesia tidak terkecuali daripada perkara ini. Peralihan fasa daripada fasa vegetatif kepada fasa reproduktif dikawalatur oleh tapak jalan waktu pembungaan yang terdiri daripada dua komponen utama, iaitu lima tapak jalan pengisyaratan dan pengamir utama. Aspek molekul bagi tapak jalan waktu pembungaan dalam Rafflesia masih tidak jelas. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mencirikan tapak jalan waktu pembungaan dalam Rafflesia cantleyi. Kajian ini dijalankan bagi menentukan fasa perkembangan kudup bunga R. cantleyi. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti dan mencirikan gen tapak jalan waktu pembungaan dalam tumbuhan R. cantleyi serta menentukan pengekspresan gen waktu pembungaan yang terpilih selepas proses ini berlaku. Analisis morfologi terhadap keratan rentas kudup bunga menunjukkan fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 kudup bunga R. cantleyi masing-masing berpadanan kepada fasa peralihan, fasa 12 perkembangan bunga, dan fasa 13/14 perkembangan bunga A. thaliana. Selain itu, penghimpunan bacaan berkualiti secara de novo menggunakan perisian Trinity telah menghasilkan 215, 272 transkrip. Pencarian gen waktu pembungaan terhadap pangkalan data FLOR-ID menjumpai sejumlah 305 transkrip menunjukkan persamaan kepada 97 gen waktu pembungaan. Sebanyak 57 gen adalah daripada tapak jalan fotokala/jam sirkadia, 18 gen daripada tapak jalan vernalisasi, lapan gen daripada tapak jalan asid giberelik, tujuh gen daripada tapak jalan autonomi dan lima gen daripada tapak jalan penuaan. Tambahan pula, sembilan gen dikenal pasti sebagai gen pengamir dan perkembangan bunga. Analisis pengekspresan berbeza yang telah dijalankan terhadap gen waktu pembungaan yang telah ditemui melalui analisis data transkriptom tersebut menyokong hasil analisis morfologi dalam menentukan fasa perkembangan kudup bunga R. cantleyi. Selain itu, analisis kelimpahan telah memberikan maklumat lanjut tentang tapak jalan waktu pembungaan dalam R. cantleyi. Seterusnya, pengenalpastian pengamir pembungaan menunjukkan AGL24 sebagai calon berpotensi dalam R. cantleyi. Penentuan pengekspresan gen terpilih melalui kaedah RT-qPCR menunjukkan gen waktu pembungaan tidak lagi diekspres pada fasa perkembangan kudup bunga R. cantleyi. Hasil kajian ini menunjukkan waktu pembungaan berlaku pada kudup bunga fasa 1 dan isyarat utama pengaruhan waktu pembungaan dalam R. cantleyi adalah daripada tapak jalan fotokala/jam sirkadia. Tambahan lagi, AGL24 dikenalpasti sebagai pengamir tapak jalan waktu pembungaan berpotensi dalam R. cantleyi berbanding FT yang telah dikaji secara mendalam. Selain itu, gen waktu pembungaan tidak lagi diekspres apabila bunga terus mengalami perkembangan. Pola pengekspresan ini adalah berbeza dengan A. thaliana, iaitu gen waktu pembungaan masih diekspres pada fasa perkembangan. Kajian ini menjangkakan kebanyakan gen waktu pembungaan hanya diekspres semasa proses ini berlaku dalam tumbuhan R. cantleyi. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini dapat memberikan fahaman baru berkenaan pengawalaturan waktu pembungaan dalam R. cantleyi.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Sarjana Sains
Pages: 108
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_111719+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
5.85 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.