Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463657
Title: Potensi alelopati Mucuna Bracteata dc. Ex Kurz dan Pueraria javanica Benth. ke atas Eleusine indica (L.) Gaertn, Cyperus iria L. dan Chromolaena odorat (L.) King & Robinson
Authors: Nur Syamimi Halim Shah (P73155)
Supervisor: Ismail Sahid, Prof. Dato' Dr.
Keywords: Herbisid
Alelopati
Rumpai
Pencemaran
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Issue Date: 6-Dec-2016
Description: Penggunaan herbisid secara berlebihan dalam aktiviti pertanian untuk mengawal pertumbuhan rumpai telah mengakibatkan pencemaran sumber air dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan manusia. Penggunaan konsep alelopati di dalam aktiviti pertanian dapat mengurangkan penggunaan herbisid dan lebih mesra alam. Alelopati adalah kesan daripada satu tumbuhan kepada yang lain (termasuklah mikroorganisma) sama ada secara langsung atau tidak melalui penghasilan sebatian kimia yang dibebaskan ke persekitaran. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji kesan alelopati daun dan biji benih Mucuna bracteata dan Pueraria javanica terhadap pertumbuhan tiga spesies rumpai yang sering mendatangkan masalah kepada petani iaitu Eleusine indica, Cyperus iria dan Chromolaena odorata. Kesan alelopati ekstrak akuas daun dan biji benih M. bracteata dan P. javanica dilaksanakan di dalam makmal dengan menggunakan tiga kepekatan rawatan iaitu 66.7 g/L, 33.3 g/L dan 16.7 g/L. Kajian kesan sarap daun dan biji benih pula dijalankan di rumah hijau menggunakan tiga kepekatan sarap yang berbeza (2.5, 5 dan 10 g / 500 g tanih). Kesan alelopati tanih yang dicemari M. bracteata dan P. javanica juga dikaji dan dibandingkan dengan pertumbuhan spesies bioasai pada tanih yang tidak dicemari oleh M. bracteata dan P. javanica. Aktiviti larut lesap daun dan biji benih M. bracteata dan P. javanica terhadap spesies bioasai pula dikaji dengan menggunakan kaedah 'sandwich' dengan menggunakan dua kepekatan rawatan yang berbeza (10 dan 50 mg). Ekstrak akuas daun dan biji benih M. bracteata dan P. javanica mengandungi bahan fitotoksik larut air yang boleh mempengaruhi pertumbuhan E. indica, Cy. iria dan Ch. odorata. Pengaruh yang diberikan adalah sama ada kesan perencatan ataupun perangsangan berdasarkan perbezaan kepekatan atau kuantiti alelokimia yang terlarut di dalam air. Pada kepekatan yang rendah (16.7 g/L), ekstrak daun mahupun biji benih mampu merangsang pertumbuhan spesies bioasai manakala pada kepekatan yang tertinggi (66.7 g/L), ekstrak mampu merencatkan pertumbuhan rumpai yang diuji. Sarap daun dan biji benih M. bracteata dan P. javanica mempunyai kesan perencatan terhadap pertumbuhan E. indica, Cy. iria dan Ch. odorata. Kesan perencatan tersebut jelas kelihatan pada akar kebanyakan spesies bioasai yang diuji, namun kesan perangsangan juga jelas ditunjukkan terutama pada berat basah dan berat kering. Tanih yang dicemari M. bracteata dan P. javanica dilihat memberi kesan perencatan terhadap pertumbuhan berat basah dan kering Cy. iria tetapi tidak kepada E. indica dan Ch. odorata. Larut lesap daun dan biji benih M. bracteata dan P. javanica menunjukkan kesan perencatan terhadap pertumbuhan akar dan pucuk spesies bioasai. Setiap spesies bioasai memberi tindak balas yang berbeza terhadap rawatan di dalam setiap eksperimen yang dilakukan. Mucuna bracteata dilihat memberi kesan perencatan yang lebih tinggi terhadap spesies bioasai berbanding P. javanica. Sebagai tumbuhan yang berasal dari genus Mucuna, M. bracteata terkenal dengan kandungan L - Dopa (L-3, 4 dihydroxy phenylalanine) yang tinggi. Dengan menggunakan teknik kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC), kuantiti L - Dopa di dalam daun dan biji benih M. bracteata telah dikenal pasti. Daun M. bracteata mengandungi 2.389 ppm manakala biji benihnya pula mengandungi 2.862 ppm L - Dopa. Berdasarkan kajian ini, M. bracteata dan P. javanica mempunyai potensi alelopati yang melibatkan kesan negatif (merencat pertumbuhan) dan positif (merangsang pertumbuhan) terhadap spesies bioasai yang mana kesan ini bergantung pada dos atau kepekatan rawatan yang digunakan.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 104
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_97808+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
302.88 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.