Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/460273
Title: | Pembentukan dan penilaian tahap penerimaan menu sihat tersuai menggunakan pengaturcaraan linear untuk penuaan berjaya |
Authors: | Intan Hafizah Ishak (P72734) |
Supervisor: | Zahara binti Abdul Manaf, Prof. Madya Dr. |
Keywords: | Malpemakanan Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 26-Jul-2018 |
Description: | Malpemakanan biasanya terjadi dalam kalangan warga emas terutamanya golongan berpendapatan rendah disebabkan pilihan makanan terhad dan tidak seimbang. Maka, pendidikan pemakanan yang bersesuaian penting untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta amalan warga emas tentang pemakanan sihat. Objektif kajian ini adalah membentuk dan menguji tahap penerimaan warga emas, penjaga warga emas dan profesional kesihatan terhadap menu sihat tersuai untuk penuaan berjaya dengan menggunakan pengaturcaraan linear yang diaplikasikan di dalam laman sesawang WeSihat2.0TM (panduan menu sihat). Kajian ini terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama adalah kajian keperluan yang terdiri daripada kajian lapangan, pembentukan kandungan WeSihat2.0TM (panduan menu sihat) dan analisa pengaturcaraan linear. Fasa kedua adalah pembangunan dan penilaian yang terdiri daripada pembangunan kandungan dalam bentuk laman sesawang, kajian kesahihan kandungan dan penilaian penerimaan laman sesawang WeSihat2.0TM (panduan menu sihat). Pada fasa pertama, seramai 308 orang warga emas (154 orang penuaan berjaya dan 154 orang penuaan biasa) dengan purata umur 66.1±4.7 tahun (penuaan berjaya) dan 68.6±5.2 tahun (penuaan biasa) dipilih secara persampelan rawak berperingkat di negeri Perak, Kelantan, Johor dan Selangor dalam kajian berbentuk perbandingan hirisan lintang. Pengambilan diet peserta kajian dinilai menggunakan Soal Selidik Sejarah Diet dan dianalisa untuk memprofil corak pengambilan makanan warga emas yang mengalami penuaan berjaya untuk digunakan sebagai panduan menghasilkan menu sihat. Purata peratus yang mencapai saranan RNI 2005 oleh peserta kajian penuan berjaya dan penuaan biasa untuk pengambilan tenaga harian (35.7%,24.7%)(p<0.05) serta peratus sumbangan karbohidrat (49.4%,40.9%)(p>0.05); protein (66.9%,53.9%)(p<0.05) dan lemak (50.0%, 50.6%)(p>0.05) kepada pengambilan tenaga. Secara keseluruhannya, peserta kajian penuaan berjaya membuat pilihan makanan utama serta menggunakan kaedah masakan lebih sihat berbanding penuaan biasa. Dalam fasa kedua, laman sesawang WeSihat2.0TM (panduan menu sihat) dibangunkan terdiri daripada sembilan cadangan menu sihat untuk tiga bangsa utama di Malaysia, tip pemakanan bajet serta kuiz pemakanan. Menu sihat yang dibangunkan memenuhi saranan Pemakanan Sihat Warga Emas Malaysia dengan harga purata RM10.41±0.32/hari bagi 1400 kcal/hari, RM11.23±0.31/hari bagi 1600 kcal/hari dan RM13.71±0.99/hari bagi 1800 kcal/hari. Kajian kesahihan kandungan dan kefungsian laman sesawang dilakukan oleh ahli-ahli profesional iaitu tiga orang pensyarah dietetik, dua orang pensyarah teknologi maklumat dan seorang pensyarah psikologi. Penambahbaikan dilakukan berdasarkan maklum balas yang diberikan. Penilaian penerimaan terhadap kandungan, grafik dan reka bentuk WeSihat2.0 TM (panduan menu sihat) dilakukan dalam kalangan 30 orang warga emas, 31 orang penjaga dan 12 orang profesional kesihatan. Hasil penilaian penerimaan menunjukkan kesemua peserta kajian warga emas, penjaga dan kebanyakan peserta kajian profesional kesihatan (67.0%) memahami kandungan laman sesawang tersebut. Kesemua peserta kajian warga emas, penjaga serta 91.7% profesional kesihatan berpendapat laman sesawang ini boleh membantu meningkatkan pengetahuan pemakanan bagi mengaktifkan penuaan berjaya dalam kalangan warga emas. Kesimpulannya, corak pengambilan makanan peserta kajian penuaan berjaya adalah lebih sihat berbanding penuaan biasa dan menu sihat tersuai untuk warga emas diterima sepenuhnya oleh warga emas. Kajian lebih lanjut perlu dijalankan untuk menentukan keberkesanan laman sesawang WeSihat2.0 TM (panduan menu sihat) ini dalam meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan amalan pemakanan dalam kalangan warga emas.,Sarjana Sains Kesihatan |
Pages: | 301 |
Call Number: | QU145.3.I61p 2018 9 |
Publisher: | UKM, Kuala Lumpur |
Appears in Collections: | Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_99883+Source01+Source010.PDF Restricted Access | 904.41 kB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.