Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/457876
Title: Pembangunan zirkonia mesra antagonis: pencirian sifat haus bagi aplikasi dental
Authors: Muhammad Sufiyan Amril (P88859)
Supervisor: Andanastuti Muchtar, Prof. Dr.
Keywords: Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Zirkonia
Aplikasi dental
Biomedical engineering.
Issue Date: 15-Aug-2022
Description: Zirkonia telah digunakan secara meluas dalam memulihkan kerosakan gigi sejak akhirakhir ini. Sifat mekaniknya yang cemerlang serta mempunyai sifat estetik dan keserasian-bio yang bagus merupakan faktor utama yang telah menyumbang kepada peningkatan popularitinya sebagai bahan dalam menghasilkan korona gigi. Walau bagaimanapun, kebimbangan berkenaan dengan kemungkinan berlakunya haus pada antagonis zirkonia telah meningkat. Peningkatan kepada kebimbangan ini disebabkan oleh sifat mikrostruktur zirkonia seperti ketakhomogenan pada iranya serta kekasaran permukaannya. Bahan restorasi dental terdedah kepada pelbagai jenis persekitaran mulut yang boleh menyebabkan berlakunya degradasi pada permukaannya. Perubahan nilai pH pada persekitaran mulut daripada pengambilan makanan berasid merupakan faktor utama yang boleh membawa kepada degradasi permukaan zirkonia, yang boleh mengubah topografi permukaannya dan dapat meningkatkan risiko berlakunya haus pada gigi bersetentang. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menghasilkan zirkonia monolitik yang mempamerkan kadar haus yang rendah terhadap gigi bersetentang dengannya dan berupaya dalam menahan perubahan nilai pH yang berlaku dalam persekitaran mulut. Dalam menghasilkan sampel zirkonia, zirkonia terstabil yttria 3 mol% digunakan. Parameter pertama yang dikaji dalam kajian ini ialah suhu pensinteran zirkonia. Proses pensinteran dilakukan dengan kaedah pensinteran dua peringkat dengan tiga suhu akhir pensinteran yang berbeza (1400 °C, 1500 °C, dan 1600 °C). Mikrostruktur sampel yang telah disinter diperiksa, dan ketumpatan, kekerasan dan keliatan patah diukur. Seterusnya, ujian haus pada sampel yang telah disinter dijalankan dengan menggunakan steatit sebagai bahan antagonisnya dengan 50 N beban kenaan dan 5 mm jarak geseran untuk 2280 kitaran pada frekuensi 1 Hz di dalam air suling sebagai pelincir. Perubahan pada kekasaran permukaan zirkonia dan kehilangan berat steatit diukur bagi menilai sifat haus zirkonia dan antagonisnya. Seterusnya, suhu pensinteran yang terbaik bagi 3YSZ dicadangkan. Selepas itu, ujian haus dijalankan dengan menggunakan mesin ujian haus dengan asid sitrik pada nilai pH berbeza (2.3 dan 3.6) dan air suling (pH neutral) sebagai medium pelincir bagi mensimulasikan persekitaran mulut sebenar semasa proses mengunyah makanan. Perubahan pada kekasaran permukaan zirkonia dan kehilangan berat diukur. Analisis pembelauan sinar- X dijalankan selepas ujian haus dilakukan bagi mengesan sebarang perubahan fasa dari degradasi serangan kimia. Suhu pensinteran didapati memberikan kesan yang ketara terhadap saiz ira. Pensinteran pada suhu 1600 °C menghasilkan zirkonia dengan purata saiz ira 380 nm, ketumpatan relatif 98.8 %, nilai kekerasan 14.3 GPa dan keliatan patah 12.82 MPa√m. Daripada ujian haus, zirkonia yang disinter pada suhu 1500 °C menunjukkan perubahan kecil pada kekasaran permukaannya apabila dibandingkan dengan zirkonia yang disinter pada suhu 1400 °C dan 1600 °C. Bagi sampel tersinter pada suhu tinggi, terdapat perbezaan yang tinggi pada sifat mekanik antara zirkonia dan steatit dan ini meningkatkan risiko haus steatit. Kehilangan berat steatit 0.43 g dapat diukur apabila ia bersetentang dengan zirkonia disinter pada suhu 1600 °C dan terdapat perbezaan kecil pada kehilangan berat steatit iaitu masing-masing 0.32 g dan 0.35 g apabila bersetentang dengan zirkonia disinter pada suhu 1400 °C dan 1500 °C. Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa zirkonia berpotensi digunakan sebagai korona pergigian monolitik dan mempunyai risiko yang rendah dalam menghauskan gigi yang bersetentang dengannya.,Sarjana Sains
Pages: 109
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Engineering and Built Environment / Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_130961+Source01+Source010.PDF
  Restricted Access
4.16 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.