Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/456145
Title: Pembangunan kitosan amfifilik biomimetik sebagai agen antibakteria yang bertindak melalui mekanisme aktiviti membranolitik
Supervisor: Fazren Azmi, Dr.
Keywords: Biomimetics
Chitosan
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 17-Sep-2021
Description: Peptida antimikrob (PAM) menjadi salah satu inspirasi agen antibakteria baharu yang menarik uintuk dibangunkan. PAM menghasilkan tindakan antibakteria melalui mekanisme gangguan integriti membran dan mampu merencat bakteria dengan pantas; seterusnya berupaya untuk mengurangkan kadar rintangan bakteria. Sifat amfifilik yang dimiliki oleh PAM memainkan peranan yang penting untuk keberkesanan aktiviti antibakteria. Namun, pembangunan PAM untuk kegunaan klinikal terhambat kerana mempunyai kadar pengedaran tisu dan profil farmakokinetik yang lemah disebabkan kecenderungan terhadap degradasi enzim. Kajian ini memfokuskan kepada penghasilan polimer antibakteria yang diinspirasikan daripada sifat amfifilik PAM. Beberapa siri terbitan kitosan yang difungsikan dengan rantaian sisi arginina dan/atau asid oleik telah dihasilkan bagi mengkaji hubungan kuantitatif strukturaktiviti. Aktiviti antibakteria setiap terbitan dinilai terhadap pelbagai jenis bakteria termasuklah strain merintang antibiotik dan pencilan klinikal. Ujian ketoksikan dan aktiviti hemolisis terhadap sel mamalia dan eritrosit turut dinilai. Tambahan lagi, kesan gangguan membran bakteria oleh sebatian kitosan amfifilik yang disintesis telah dianalisis melalui pengimejan mikroskop elektron transmisi (TEM). Keupayaan terbitan kitosan menyebabkan kebocoran komponen bakteria hasil daripada kesan membranolitik telah dinilai melalui asai integriti membran. Kesemua terbitan kitosan membentuk nanopartikel secara swa-atur bersaiz di antara 202 - 1107 nm dan memiliki cas di antara +20 - +37. Kitosan yang difungsikan dengan rantaian sisi arginina dan asid oleik (CH-Arg-OA) menunjukkan aktiviti antibakteria berspektrum luas, terutamanya terhadap strain Gram-negatif (0.125 - 0.5 mg/mL) berbanding strain Gram-positif (0.25 - 0.5 mg/mL). CH-Arg-OA juga menunjukkan kesan gangguan membran yang agresif terhadap bakteria. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kitosan terbitan perlu difungsikan dengan kedua-dua molekul kationik dan hirofobik untuk penghasilan aktiviti antibakteria yang poten dan selektif. Data tersebut membawa kepada kajian yang seterusnya untuk mengkaji keseimbangan nisbah rantaian molekul kationik-hidrofobik pada kitosan di dalam penghasilan aktiviti antibakteria yang optimum dengan kadar ketoksikan yang minimum. Oleh itu, terbitan kitosan amfifilik yang difungsikan dengan kepelbagaian nisbah rantaian sisi arginina dan asid oleik telah disintesis untuk mengkaji hubungan struktur-aktiviti antibakteria dan ketoksikan. Seterusnya, asai kebolehtelapan membran luaran menggunakan prob pendarflour dilakukan bagi menilai kebolehtelapan terbitan kitosan terhadap membran luaran bakteria secara kuantitatif. Terbitan kitosan amfifilik yang difungsikan dengan rantaian sisi arginina yang lebih tinggi (CH-Arg80-OA20) menunjukkan peningkatan aktiviti antibakteria. CH-Arg80-OA20 menunjukkan keboletelapan yang efektif terhadap membran luaran bakteria, dengan peningkatan yang selari dengan kepekatan sebatian. CH-Arg80-OA20 juga menunjukkan kesan toksik yang minima terhadap sel mamalia dan tidak menyebabkan hemolisis terhadap sel eritrosit. Keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan strategi pengubahsuaian kimia pada kitosan dengan konjugasi bersama arginina dan asid oleik adalah efektif di dalam usaha ke arah pembangunan generasi antibiotik baharu yang bertindak secara mekanisme membranolitik, sama seperti yang ditunjukkan oleh PAM. Kami menjangkakan bahawa struktur amfifilik molekul dengan kadar kompenen kationik yang lebih tumpat berbanding molekul hidrofobik beserta saiz partikel yang kecil dapat dijadikan asas untuk pembangunan geenrasi baharu antibakteria yang berasaskan polimer.,Ijazah Sarjana
Pages: 114
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Pharmacy / Fakulti Farmasi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_123697+Source01+Source010.PDF
  Restricted Access
2.44 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.