Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/390229
Title: Hubungan antara status pemakanan kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme (ASD) dengan status sosioekonomi, tingkah laku makan & strategi daya tindak: pendekatan kaedah campur
Authors: Tan Woan Yin (P103416)
Supervisor: Nur Hana Hamzaid, Dr.
Keywords: Nutritional Status
Autism Spectrum Disorder
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 21-Nov-2022
Abstract: Malpemakanan sering menjadi isu yang membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme (ASD). Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan ini termasuklah cabaran dalam membesarkan kanak kanak dengan ASD. Kajian ini bertujuan untuk menilai status pemakanan kanak-kanak ASD dan hubungannya dengan status sosioekonomi (SES) keluarga, tingkah laku makan, strategi daya tindak ibu bapa, serta meneroka pemahaman ibu bapa tentang kepentingan pemakanan untuk anak mereka. Reka bentuk kajian ini merupakan pendekatan kaedah campuran dengan menggunakan penjelasan turutan (sequential explanatory design) yang terdiri daripada dua fasa yang berbeza, iaitu fasa pertama – keratan rentas kuantitatif, dan diikuti dengan fasa kedua – temu bual secara semi struktur kualitatif. Kajian dijalankan di negeri Melaka menggunakan persampelan mudah dan subjek yang dikaji merupakan pelatih-pelatih dari lapan PDK dan satu NASOM. Data dikumpulkan menggunakan satu set soal selidik yang diisi sendiri oleh ibu bapa yang merangkumi maklumat sosiodemografi dan pengukuran antropometrik, rekod pengambilan makanan untuk tiga hari, soal selidik tahap tingkah laku makan (BAMBI), soal selidik strategi daya tindak (Brief COPE), dan temu bual secara semi struktur menggunakan soalan berbentuk terbuka secara atas talian. Dapatan kajian menunjukkan kadar prevalens untuk berat badan berlebihan dan obesiti adalah 42.4%, dan kurang berat badan adalah 18.6%. Kadar terbantut dalam kajian ini adalah 15.3%. Majoriti (76.3%) peserta terdiri daripada golongan SES rendah. Jumlah pengambilan tenaga, makronutrien protein dan lemak adalah mencukupi (≥100% RNI); kecuali bagi makronutrien karbohidrat di mana 57.6% kanak-kanak mengambil kurang daripada 50% RNI. Kanak-kanak kajian ini menunjukkan tahap tingkah laku makan yang lebih tinggi kepada domain pilihan terhad (min 25). Untuk strategi daya tindak, majoriti (99%) ibu bapa menggunakan strategi daya tindak berfokus masalah, dengan skor min 6.25 tertinggi pada subskala sokongan instrumental. Lima tema diperoleh bagi faktor tingkah laku makan: masalah pemakanan, gaya keibubapaan, punca fisiologi, kekurangan kawalan diri, dan kepuasan. Empat tema untuk kepentingan pemakanan sihat pula adalah: pengetahuan ibu bapa, kepentingan pertumbuhan, mengelakkan memilih makanan yang tidak sihat, dan pelbagai kesukaran untuk penyediaan makanan. Empat tema juga diperoleh bagi strategi daya tindak: sokongan ahli keluarga, sokongan maklumat, penggunaan perkhidmatan terapi, agama, kesedihan dan penerimaan. Hasil kajian menunjukkan tiada hubungan di antara status pemakanan kanak-kanak dengan SES keluarga. Kedua, terdapat korelasi positif di antara makronutrien lemak dengan BAMBI domain penolakan makanan (r = 0.27, p = 0.041). Ketiga, terdapat korelasi negatif di antara BMI dan Penerimaan (r = -0.30, p = 0.022). Keempat, terdapat juga korelasi negatif di antara BAMBI domain pilihan terhad dengan Agama (r = -0.30, p = 0.020); dan Perancangan (r = -0.29, p = 0.027). Hasil kualitatif menunjukkan strategi daya tindak ibu bapa dalam membantu tingkah laku makan kanak-kanak untuk mencapai pemakanan sihat. Kesimpulannya, pendekatan kaedah campuran daripada kajian ini memberikan hasil dapatan kajian tentang kepentingan strategi daya tindak ibu bapa dalam memperbaik status pemakanan dan tingkah laku kanak-kanak ASD. Kajian masa depan boleh menambah nilai strategi daya tindak ibu bapa sebagai salah satu intervensi dalam program pemakanan penyelidikan
Pages: 110
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.