Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/390014
Title: Kesan Madu Tualang Berbanding Madu Koktel Terhadap Perubahan Fisiologi, Psikoseksual dan Keselamatan Dalam Kalangan Wanita Pascamenopaus
Authors: Siti Zubaidah Ab Wahab
Supervisor: Norazlina Mohamed, Prof Dr.
Noorlaili Mohd Tohit @ Mohd Tauhid, Prof Madya Dr.
Nik Hazlina Nik Hussain, Prof. Dr.
Rahimah Zakaria, Prof Madya Dr.
Keywords: Honey
Menopause
Academic Dissertations as Topic
Antioxidants -- therapeutic use
Issue Date: 2020
Abstract: Terdapat banyak kajian yang menyiasat nilai perubatan madu dan produk sarang lebah. Walau bagaimanapun, setakat ini masih tiada data tentang kesan jangka panjang madu atau / dan produk sarang lebah seperti jeli raja dan roti lebah terhadap perubahan fisiologi, perubahan psikoseksual dan keselamatan dalam kalangan wanita pascamenopaus. Oleh itu, satu kajian klinikal rabun dwi-pihak terawak yang membandingkan 20 g/sehari madu Tualang (MT) berbanding 20 g /sehari madu koktel (MK) (campuran MT, roti lebah, dan jeli raja) selama 12 bulan dalam kalangan wanita pascamenopaus berumur 45 - 65 tahun telah dijalankan. Parameter fisiologi termasuk parameter kardiovaskular (tekanan darah sistolik, tekanan darah diastolik, aras glukosa puasa, profil lipid puasa dan ukuran antropometri), profil hormon, densitometri tulang dan biopenanda tekanan oksidatif (status antioksidan total, malondialdehida dan lipoprotein ketumpatan rendah yang teroksida). Sementara itu, perubahan psikoseksual dinilai dengan menggunakan dua borang soal selidik iaitu Soal Selidik Kesihatan Wanita dan Indeks Fungsi Seksual Wanita. Untuk profil keselamatan, fungsi ginjal dan fungsi hati diukur. Semua parameter diukur pra-intervensi (baseline), bulan ke-6 dan bulan ke-12 intervensi; kecuali untuk biopenanda tekanan oksidatif yang diukur pra intervensi dan bulan ke-12 intervensi; dan tekanan darah yang diukur pra-intervensi, bulan ke-3, bulan ke-6, bulan ke-9 dan bulan ke-12 intervensi. Bagi analisis data, ujian berulang analisis varians dan ujian berulang analisis kovarians dilakukan menggunakan perisian statistik untuk sains sosial (SPSS) versi 22.0. Seramai 100 orang subjek telah berjaya dirawak ke dalam kedua-dua kumpulan. Min umur subjek adalah 58 tahun dengan min durasi menopaus selama 8 tahun. Secara umumnya subjek kajian ini mengalami menopaus pada usia 49.6 tahun Terdapat penurunan yang signifikan pada tekanan darah diastolik daripada 76.48 mmHg pra-intervensi kepada 72.23 mmHg pada bulan ke-12 intervensi (F-statistik = 2.55, nilai-p = 0.047) dalam kumpulan MT berbanding dengan kumpulan MK. Terdapat juga penurunan yang signifikan pada aras glukosa puasa daripada 6.08 mmol /L pra-intervensi kepada 5.67 mmol/L pada bulan ke-12 intervensi (F-statistik = 4.03, nilai-p = 0.021) dalam kumpulan MT berbanding dengan kumpulan MK. Bagi profil hormon, terdapat peningkatan yang signifikan pada aras estradiol daripada 38.03 pmol/L pra-intervensi kepada 43.52 pmol/L pada bulan ke-12 intervensi (F-statistik = 3.21, nilai-p = 0.045) dalam kumpulan MK berbanding dengan kumpulan MT. Sementara itu, dalam Indeks Fungsi Seksual Wanita, terdapat peningkatan yang signifikan dalam skor keseluruhan daripada 25.45 pra-intervensi kepada 27.35 pada bulan ke-12 intervensi (F-statistik = 4.49, nilai-p = 0.016) dalam kumpulan MK berbanding dengan kumpulan MT; dengan peningkatan skor yang signifikan dalam tiga domain iaitu domain pelinciran, orgasma dan kepuasan. Bagi parameter lain, tidak terdapat perbezaan yang signifikan ditemukan antara kedua-dua kumpulan pada bulan ke-12 intervensi kajian. Kesimpulannya, subjek yang menerima MK menunjukkan kesan peningkatan pada aras estradiol dan skor parameter psikoseksual yang lebih tinggi berbanding MT. Walau bagaimanapun, pengambilan MT telah menunjukkan kesan yang lebih baik dalam menurunkan tekanan darah diastolik dan aras glukosa puasa berbanding MK.
Pages: 318
Publisher: Fakulti Perubatan, UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
SITI ZUBAIDAH BINTI AB WAHAB-LATEST.pdf
  Restricted Access
8.82 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.