Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/390008
Title: Hubungkait antara penilaian modulasi sensori oral, tingkah laku ketika makan, dan status berat badan dalam kalangan kanak-kanak dengan autisme di negeri terpilih di Semenanjung Malaysia
Authors: Maizatul Naqiah Zulkifli (P101983)
Supervisor: Nur Hana Bt Hamzaid, Dr.
Keywords: Autism Spectrum Disorder
Feeding Behavior
Universiti Kebangsaan Malaysia--Dissertations
Dissertations, Academic--Malaysia
Issue Date: 11-Feb-2023
Abstract: Kecelaruan tingkah laku ketika makan kanak-kanak dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dikaitkan dengan modulasi sensori sensitif yang menyumbang kepada pemilihan makanan terhad dan isu berat badan. Sehingga kini, terdapat kajian tempatan dijalankan di komuniti melibatkan tingkah laku ketika makan dan status berat badan, namun masalah sensori oral sensitif masih belum dikaji walaupun terdapat bukti saintifik yang mengaitkan tingkah laku ketika makan dan masalah sensori oral dalam kajian di luar negara. Objektif kajian adalah: (i) menentukan hubungan antara tingkah laku ketika makan dan modulasi sensori oral; (ii) faktorfaktor peramal yang menyumbang kepada kecelaruan tingkah laku ketika makan; (iii) menentukan status berat badan kanak-kanak dengan ASD; dan (iv) faktor-faktor peramal yang menyumbang kepada status berlebihan berat badan dan obesiti. Kajian hirisan lintang ini melibatkan 150 kanak-kanak dengan ASD berumur 3-11 tahun di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) dan pusat intervensi awal badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan melalui teknik persampelan kluster. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan signifikan antara kecelaruan tingkah laku ketika makan dan masalah modulasi sensori oral termasuk sub-domain pemilihan makanan terhad dan penolakan makanan kanakkanak dengan ASD (p < 0.05). Sebanyak 96% (n = 144) kanak-kanak dengan ASD berumur 3-11 tahun mempunyai kecelaruan tingkah laku ketika makan manakala lebih separuh daripada sampel kajian (53.3%) mempunyai masalah modulasi sensori oral. Selain itu, kombinasi faktor-faktor peramal iaitu modulasi sensori oral, umur, dan simptom ASD (sederhana dan teruk) menyumbang kepada 49.4% variasi dalam tingkah laku ketika waktu makan kanak-kanak dengan ASD, f (3, 145) = 47.12, p < 0.001. Kanak-kanak dengan ASD berumur 3-11 tahun di komuniti mempunyai prevalen obesiti sebanyak 20.0%, berat badan berlebihan 18.5% manakala 11.1% sampel kajian dalam kategori kurang berat badan. Terdapat ramalan pengurangan 14.5% kebarangkalian insiden berat badan berlebihan atau obesiti jika kanak-kanak dengan ASD mempunyai modulasi sensori oral sensitif. Kanak-kanak dengan ASD berumur 3-11 tahun di peringkat komuniti berisiko berhadapan dengan isu malpemakanan serta bersikap selektif terhadap pemilihan makanan disebabkan oleh masalah modulasi sensori oral. Maka, saringan antropometri secara berkala di lapangan komuniti adalah penting untuk dilaksanakan oleh profesional kesihatan berkaitan. Selain itu, profesional kesihatan disarankan untuk melakukan saringan pemakanan melibatkan tingkah laku ketika makan dan modulasi sensori oral kanakkanak dengan ASD menggunakan instrumen soal selidik yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi bagi mendapatkan dapatan yang jitu. Ini penting bagi perancangan intervensi yang bersesuaian pada masa hadapan melalui pendekatan multi-disiplin dalam pengurusan pemakanan dan kesihatan secara holistik untuk golongan ini
Pages: 157
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.