Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389837
Title: Kesan Kemopencegah Piper Betle (Sirih) Terhadap Kanser Kolon Teraruh Obesiti Dengan Azoksimetana (AOM) Dalam Tikus Sprague Dawley
Authors: Nur Hazirah Roslan
Supervisor: Suzana Makpol, Prof. Dr.
Yasmin Anum Mohd Yusof, Prof. Dr.
Wan Zurinah Wan Ngah, Prof. Dato' Dr.
Keywords: Colonic Neoplasms
Piper betle
Academic Dissertations as Topic
Issue Date: 2019
Abstract: Menurut laporan Malaysian Cancer Registry (2016), kanser kolon dilaporkan sebagai kanser tertinggi di kalangan lelaki (16.9%) dan kedua tertinggi di kalangan wanita (10.7%) di Malaysia. Kanser kolon sering dikaitkan secara langsung dengan obesiti, justeru, menjadikan obesiti sebagai salah satu risiko dalam kanser kolon. Terdapat beberapa komponen fitokimia dalam makanan semulajadi yang boleh bertindak sebagai agen kemopencegah yang ideal. Sirih atau Piper betle (PB) telah dilaporkan mempunyai sifat anti-kanser dan antioksidan. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti sama ada diet tinggi lemak dapat meningkatkan insiden kanser kolon dan samada PB mempunyai kesan kemopencegah pada tikus teraruh kanser kolon dengan azoksimetana (AOM). Tujuh puluh dua ekor tikus jantan Sprague Dawley berusia tiga minggu, dibahagikan kepada dua kumpulan besar; diet normal dan diet tinggi lemak (high fat diet, HFD). Kedua-dua kumpulan ini kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan: kawalan, Piper betle (PB) (150 mg/mL), azoksimetana (AOM), AOM + PB. AOM disuntik melalui intraperitoneum (i.p) sekali seminggu selama 2 minggu pada minggu ke-12 dengan dos 15 mg/kg. Selepas 24 minggu, semua tikus dibunuh dan darah dan tisu dikumpulkan. Ujian biokimia berikut dilakukan ke atas serum: profil lipid, leptin dan penanda inflamasi: interlukin 6 (IL-6), interlukin 12 (IL-12), faktor nekrosis tumor alfa (TNF-α) dan faktor nuklear kappa-B (NFκB) Pembentukan foci krip aberan (ACF), prekursor kanser kolon, dilihat melalui pewarnaan metilena biru manakala Ki67 dan beta katenin (protein yang diekspreskan pada peringkat awal kanser kolon) melalui pewarnaan imunohistokimia pada tisu. Tiada perubahan berat badan yang signifikan dilihat dalam semua kumpulan tikus tetapi terdapat perubahan yang ketara dalam profil lipid. Kolesterol keseluruhan, lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida (TG) meningkat secara signifikan (p<0.05) dalam kumpulan HFD apabila dibandingkan dengan kumpulan diet normal. Dalam kumpulan HFD, rawatan dengan PB menurunkan aras kolesterol keseluruhan, LDL dan TG (p<0.05) tetapi meningkatkan aras lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) apabila dibandingkan dengan kumpulan kawalan masing-masing. Aras serum leptin, IL-6, IL-12, TNF-α dan NFκB meningkat dengan ketara (p <0.05) dalam kumpulan AOM bagi kedua-dua kumpulan diet normal dan HFD tetapi menurun dengan ketara (p <0.05) apabila dirawat dengan PB. Perubahan dalam aras leptin dan penanda inflamasi didapati lebih tinggi dalam kumpulan HFD berbanding dengan kumpulan diet normal. Keputusan ACF menunjukkan pembentukannya lebih banyak pada kolon melintang dan menurun berbanding dengan kolon menaik dalam semua kumpulan kanser (AOM). PB mengurangkan pembentukan ACF dalam kumpulan HFD secara signifikan (p<0.05), manakala tiada perubahan dalam kumpulan diet normal. Ki67 dan beta katenin diekspreskan dengan tinggi dalam kumpulan AOM diet normal dan HFD (p<0.05) tetapi rawatan dengan PB merencatkan ekpresi kedua-dua protein apabila dibandingkan dengan kumpulan kanser (AOM) kawalan. Kesimpulannya, PB mempunyai kesan hipolipidemia dalam tikus HFD dan juga kesan kemopencegah pada peringkat awal kanser kolon pada tikus.
Pages: 135
Call Number: QU20.N9741k 2019 9HUKMPRA tesis
Publisher: Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
NUR HAZIRAH BINTI ROSLAN.pdf
  Restricted Access
4.82 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.