Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389671
Title: Kata sapaan dalam Bahasa Mendriq dari perspektif sosiolinguistik
Authors: Daing Zairi Ma'arof (P69637)
Supervisor: Chong Shin, Prof.Madya Dr.
Keywords: Sosiolinguistik
Etnografi
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 2-Feb-2023
Abstract: Masyarakat Orang Asli merupakan suatu entiti masyarakat Malaysia yang tersebar di seluruh negara di Semenanjung Malaysia. Kelantan merupakan salah satu negeri yang turut didiami oleh suku kaum masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada Negrito, Senoi, Mendriq dan juga Melayu Proto. Tesis ini merupakan kajian sosiolinguisitk yang bertujuan untuk menghuraikan bentuk dan penggunaan kata sapaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli Mendriq di Kampung Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan. Objektif yang hendak dicapai dalam kajian ini adalah untuk mengenal pasti bentuk- bentuk kata sapaan yang ada dalam komuniti Mendriq, menghasilkan Model Sistem Sapaan Orang Asli Mendriq yang komprehensif dan mengesahkan bahawa model- model sistem sapaan, seperti yang dibina oleh Ervin-Tripp (1986) dan Reniwati (2015) mempunyai kadar persamaan yang tinggi walaupun masyarakat pengguna bahasa adalah berbeza-beza. Justeru itu, seperti yang dinyatakan, teori yang digunakan untuk menganalisis data kajian ialah teori kata sapaan yang dikemukakan oleh Ervin-Tripp (1986). Analisis kajian juga dilengkapi dengan berpandukan model penggunaan sistem sapaan yang dikemukakan dalam kajian Reniwati (2015), berkenaan masyarakat Minangkabau. Dari segi metodologi, kajian ini melibatkan kajian lapangan dan pengumpulan data pula dijalankan melalui kaedah temu bual melalui teknik cakap dan pancing. Teknik ini menggunakan dua bentuk pertanyaan iaitu pertanyaan langsung dan pertanyaan berdasarkan rajah. Selain itu, pengkaji juga melakukan kajian kepustakaan untuk menyempurnakan kajian yang diperoleh melalui pembacaan daripada sumber bercetak dan sumber dalam talian. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pemilihan bentuk kata sapaan masyarakat orang Asli Mendriq adalah pelbagai mengikut situasi kebahasaan, iaitu situasi rasmi, separa rasmi, dan tidak rasmi. Terdapat ciri khas yang membentuk penggunaan kata sapaan dalam masyarakat orang Asli Mendriq seperti istilah kekerabatan, nama diri yang berupa nama pendek, timangan atau julukan selain bentuk bahasa lain yang mengikuti kata sapaan dan urutan unsur. Kajian ini juga mendapati bahawa komuniti ini memiliki bentuk kata sapaan yang bersifat tabu yang ada kaitan dengan unsur etnografi. Penggunaan kata sapaan tabu didapati tidak merujuk kepada manusia semata-mata tetapi juga merujuk kepada unsur lain. Oleh kerana sifat penggunaan kata sapaan tabu berlainan dengan sistem sapaan umum yang lain, iaitu mengambil unsur lain sebagai pengganti, kajian ini telah berjaya memodelkan penggunaan kata sapaan yang bersifat tabu dan mengembangkan model sistem sapaan Ervin-Tripp (1986) dan Reniwati (2015). Kajian ini memberikan implikasi dan sumbangan yang besar kepada bidang penyelidikan bahasa minoriti kerana segala data yang diperoleh turut merupakan usaha pendokumentasian bahasa minoriti Mendriq yang berada dalam ambang kepupusan. Menariknya, tesis ini juga boleh dijadikan rujukan kepada pengkaji bahasa lain yang ingin mengembangkan model sapaan tabu seperti yang telah dihasilkan oleh pengkaji.
Pages: 199
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Institute of The Malay World and Civilisation / Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Files in This Item:
There are no files associated with this item.


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.