Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784937
Title: Meneroka tingkah laku pencegahan terhadap plasmodium knowlesi malaria dalam kalangan masyarakat luar bandar di Perak: pendekatan penyelidikan berasaskan komuniti
Authors: Shahrul Azhar Md Hanif
Keywords: Malaria -- prevention & control
Plasmodium knowlesi
Health Behavior
Community-Based Participatory Research
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 18-Sep-2026
Abstract: Malaria Plasmodium knowlesi (P. knowlesi) kekal sebagai cabaran kesihatan awam di kawasan luar bandar Malaysia, khususnya dalam komuniti yang kehidupan dan pekerjaannya bertindih dengan habitat vektor serta perumah semula jadi. Walaupun pelbagai langkah kawalan dan maklumat pencegahan telah tersedia, amalan pencegahan masih tidak konsisten. Kajian ini bertujuan meneroka persepsi dan kefahaman komuniti terhadap malaria P. knowlesi dan langkah pencegahannya, cabaran yang dihadapi, serta faktor pemudah cara dan halangan yang mempengaruhi tingkah laku pencegahan dalam kalangan komuniti luar bandar di Muallim dan Batang Padang, Perak. Kajian menggunakan pendekatan Penyelidikan Berasaskan Penglibatan Komuniti (CBPR) dan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa 1 menggunakan Teknik Kumpulan Nominal (NGT) melibatkan 10 pakar tempatan untuk mengenal pasti dan menentukan keutamaan faktor kontekstual yang mempengaruhi pencegahan malaria. Dapatan NGT digunakan bersama triad epidemiologi dan Integrated Behaviour Model (IBM) untuk membentuk lensa penerokaan bagi pembangunan protokol kajian kualitatif. Fasa 2 melibatkan sembilan perbincangan kumpulan berfokus, 13 temu bual mendalam dan 24 sesi pemerhatian lapangan. Data dianalisis menggunakan analisis tematik refleksif dengan mengintegrasikan dapatan daripada ketiga-tiga sumber data. Dapatan menunjukkan bahawa tingkah laku pencegahan terbentuk melalui interaksi antara pemaknaan risiko, keupayaan untuk bertindak dan konteks pendedahan dalam kehidupan harian. Pengetahuan dan pengalaman membentuk persepsi risiko, namun pengetahuan dan niat sahaja tidak semestinya menghasilkan amalan pencegahan yang konsisten. Cabaran utama merangkumi normalisasi pendedahan, persaingan antara pencegahan dengan tuntutan kehidupan dan pekerjaan serta dinamika sosial komuniti. Halangan melibatkan kekangan individu, kesesuaian langkah perlindungan, keadaan kediaman dan persekitaran, pendedahan pekerjaan serta keterbatasan sokongan sistem. Sebaliknya, pengalaman peribadi, sokongan keluarga dan jaringan komuniti, kepimpinan tempatan, penglibatan organisasi dan sokongan program kesihatan bertindak sebagai pemudah cara. Kajian ini menegaskan bahawa strategi pencegahan malaria ini perlu disesuaikan kepada konteks komuniti, lokaliti, pekerjaan, rutin kehidupan dan profil pendedahan. Pendekatan CBPR pula memperkukuh penglibatan pihak kesihatan daerah, pemimpin tempatan dan komuniti dalam mengenal pasti keutamaan serta memahami dapatan mengikut konteks setempat. Integrasi CBPR, NGT, IBM dan triad epidemiologi menyediakan asas kontekstual untuk pembangunan intervensi perubahan tingkah laku yang lebih terarah, praktikal dan mampan bagi menyokong pencegahan malaria P. knowlesi di Malaysia.
Notes: e-tesis
Pages: 258
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784937
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.