Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784835
Title: Pilihan dan peralihan bahasa diaspora masyarakat Banjar di mukim Bagan Serai daerah Kerian, Perak
Authors: Mohd khaidir Abdul Wahab
Supervisor: Chong Shin, Prof Madya Dr.
Karim Harun, Prof Madya Dr.
Keywords: bahasa pilihan
sosiolinguistik masyarakat banjar
Universiti Kebangsaan Malaysia-- Dissertation
Dissertations Academic-- Malaysia
Bahasa Banjar
Bagan Serai
Issue Date: 8-May-2026
Abstract: Masyarakat Banjar diaspora di mukim Bagan Serai berada dalam ekologi linguistik yang rencam, dicirikan oleh kewujudan dan interaksi pelbagai bahasa, termasuk bahasa Banjar, bahasa Melayu standard dan dialek Melayu Kedah. Dalam konteks perubahan mobiliti, pendidikan dan interaksi sosial yang pelbagai, timbul persoalan tentang kedudukan semasa bahasa Banjar sebagai alat komunikasi dan penanda identiti. Kajian ini meneliti pilihan bahasa dalam kalangan masyarakat Banjar diaspora di mukim Bagan Serai, Kerian, Perak menggunakan kerangka pilihan bahasa dan domain Fishman (1972) serta Skala Gangguan antara Generasi Bergred Diperluas (Expanded Graded Intergenerational Disruption Scale atau EGIDS) oleh Lewis dan Simons (2010). Dari segi reka bentuk, kajian ini menggunakan pendekatan exploratory sequential mixed methods yang menggabungkan kaedah kualitatif dan kuantitatif secara berperingkat. Fasa kualitatif melibatkan rakaman tidak sedar yang dilaksanakan dalam tiga pusingan merentasi enam domain, iaitu keluarga, persahabatan, jual beli, pekerjaan, pendidikan dan keagamaan. Selain itu, kajian ini melibatkan temu bual separa berstruktur serta analisis kandungan untuk memperkukuh dapatan kualitatif. Fasa kuantitatif pula dilaksanakan melalui kaedah soal selidik bagi menilai dan mengesahkan pola dapatan yang diperoleh daripada fasa kualitatif. Triangulasi data menunjukkan bahawa bahasa Melayu standard dan dialek Melayu Kedah mendominasi domain rasmi dan awam, manakala bahasa Banjar masih kekal terutama dalam interaksi sesama etnik dan amalan tradisi. Namun begitu, fungsi bahasa Banjar ini mengecil dan lebih bersifat simbolik, terutama dalam kalangan generasi muda. Peralihan ini dipengaruhi antaranya oleh jurang generasi dan transmisi keluarga yang lemah, perkahwinan campur, norma institusi pendidikan dan pekerjaan yang menuntut bahasa Melayu, akomodasi linguistik untuk keberkesanan komunikasi serta persepsi prestij dan praktikaliti terhadap bahasa dominan. Berdasarkan penilaian EGIDS, kedudukan bahasa Banjar di mukim ini terletak antara Tahap 7–8a (beralih–hampir pupus). Usaha pemulihan wajar ditumpukan pada penggunaan di rumah (domain keluarga), sokongan pendidikan tidak formal di madrasah, masjid dan sekolah setempat, serta dokumentasi bahan lisan secara teratur. Tanpa langkah terancang, bahasa Banjar terdedah kepada risiko merosot ke tahap lebih kritikal; dengan kerjasama keluarga, institusi setempat dan dasar pada peringkat daerah, bahasa ini masih berpotensi untuk kembali menjadi medium komunikasi harian. UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Pages: 437
Publisher: UKM Bangi
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784835
Appears in Collections:Institute of The Malay World and Civilisation / Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
P129839 Full Thesis Mohd Khaidir Abdul Wahab [TESISPTSL] borang baru.pdfFull text265.03 MBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.