Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389836
Title: Kesan Pegaga (Centella Asiatica) ke Atas Tekanan Darah dan Jantung Dalam Model Tikus Yang Didedahkan Kepada N(G)- Nitro-L-Arginin Metil Ester (L-NAME) Secara Kronik
Authors: Mohd Khairulanwar Bunaim, Dr.
Supervisor: Norliza Muhammad, Prof. Madya Dr.
Kamisah Yusof, Prof. Madya Dr.
Keywords: Centella
Plants, Medicinal
Dissertations, Academic as Topic
Issue Date: 2021
Abstract: Penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan punca nombor satu berlakunya kematian di dunia dengan hipertensi antara penyumbang utama faktor risiko kepada penyakit ini. Centella asiatica, juga dikenali sebagai pegaga tergolong dalam keluarga tumbuhan Apiaceae (Umbelliferae) dan banyak terdapat di Asia Tenggara, India dan China. Tumbuhan ini mempunyai kandungan triterpenoid dan flavonoid yang tinggi yang berperanan sebagai anti-oksidan. Komponen bioaktif ini juga terlibat dalam sistem renin-angiotensin-aldosteron (RAAS), iaitu satu sistem hormon yang penting dalam regulasi tekanan darah. Di dalam kajian ini, kesan ekstrak C. asiatica terhadap tekanan darah dan jantung pada model tikus hipertensi telah diselidik. Hipertensi telah diaruh dengan menggunakan N(G)-nitro-L-arginin metil ester (L-NAME) yang diberi secara oral. Tiga puluh ekor tikus Sprague-Dawley jantan dibahagikan kepada lima kumpulan. Kumpulan 2, 4 dan 5 diberikan L-NAME (40 mg/kg, secara oral) selama 8 minggu. Kumpulan 4 dan 5 masing-masing turut menerima ekstrak C. asiatica (500 mg/kg, secara oral) dan Captopril (5 mg/kg, secara oral) manakala kumpulan 1 dan 3 pula masing-masing menerima air deionisasi dan ekstrak C. asiatica. Tekanan darah sistolik (SBP) diukur sebelum kajian bermula, pada minggu keempat dan minggu kelapan. Nitrik oksida (NO) pada serum diukur sebelum dan selepas kajian, manakala aras peroksidasi lipid pada jantung dan aorta, aktiviti enzim penukar angiotensin (ACE) pada jantung dan aras peptida natriuretik otak (BNP) pada serum diukur pada akhir kajian. Selepas lapan minggu, terdapat peningkatan yang signifikan pada SBP, dan juga pada kerosakan tisu jantung, yang dinilai berdasarkan peningkatan aras BNP pada serum dalam kumpulan L-NAME berbanding kumpulan kawalan (p < 0.05). Kumpulan L-NAME ini juga telah menunjukkan penurunan aras NO pada serum, peningkatan produk peroksidasi lipid pada jantung dan aorta serta pertambahan aktiviti ACE pada jantung secara signifikan (p < 0.05) pada akhir kajian. Walau bagaimanapun, ekstrak C. asiatica atau Captopril telah menghalang peningkatan SBP dan penurunan aras NO pada serum yang disebabkan oleh L-NAME (p < 0.05). Selain itu, ekstrak C. asiatica atau Captopril ini turut menghalang pertambahan produk peroksidasi lipid pada jantung dan aorta, serta menyekat peningkatan aras ACE pada jantung dan aras BNP pada serum selepas tamat kajian (p < 0.05). Kesimpulannya, ekstrak C. asiatica mampu menghalang pembentukan hipertensi dan kerosakan jantung yang dirangsang oleh L-NAME dan kesan positif ini setanding dengan Captopril. Penemuan ini mungkin berkait-rapat dengan kandungan anti-oksidan yang tinggi yang dimiliki oleh C. asiatica, yang berperanan memulihkan NO pada aras yang normal dan merencatkan aktiviti ACE pada jantung
Pages: 83
Call Number: QV20.5.M697k 2021 9HUKMPRA tesis
Publisher: Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Dr Mohd Khairul Anwar Bunaim.pdf
  Restricted Access
1.48 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.