Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/782852
Title: Model persamaan struktur bagi penentuan tingkahlaku terhadap pencegahan denggi dalam kalangan penduduk Kinta, Perak
Authors: Noraini Abdul Ghafar (P59332)
Supervisor: Shamsul Azhar Shah, Prof. Dr.
Noor Hassim Ismail, Prof. Dr.
Keywords: Dengue -- prevention & control
Health Knowledge, Attitudes, Practice
Issue Date: 29-Jun-2016
Abstract: Demam denggi merupakan salah satu penyakit bawaan vektor terpenting di Malaysia dan sentiasa menunjukkan peningkatan kes saban tahun. Usaha untuk menurunkan kes demam denggi memerlukan kerjasama bersepadu termasuk dari masyarakat sekeliling. Faktor tingkahlaku individu atau masyarakat dilihat penting di dalam pencegahan denggi. Maka kajian ini dijalankan, dengan tujuan untuk menerbitkan Model Persamaan Struktur yang dapat menentukan faktor yang mempengaruhi tingkahlaku terhadap pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat di Kinta, Perak. Di samping itu, ia bertujuan menentukan prevalens tingkahlaku positif dan negatif terhadap pencegahan denggi dalam kalangan populasi tersebut. Di samping itu, kajian ini bertujuan menentusahkan borang soal selidik bagi menentukan kebolehpercayaan dan kesahannya supaya dapat dijadikan alat pengukur bagi faktor yang mempengaruhi tingkahlaku masyarakat terhadap pencegahan denggi. Kajian ini dijalankan di Kinta, Perak Darul Ridzuan, bermula Oktober 2011 hingga Jun 2013. Kajian irisan lintang ini melibatkan 327 responden bagi kajian rintis, dan 1350 responden bagi kajian lapangan. Analisa univariabel dan multivaribel bagi faktor sosiodemografi dan sosioekonomi dijalankan menggunakan perisian Statistical Packages for Social Studies (SPSS), manakala Model Persamaan Struktur diterbitkan menggunakan perisian Analysis of Moment Structure (AMOS). Hasilnya, suatu model persamaan struktur dapat diterbitkan yang mana dapat menerangkan faktor berkaitan tingkahlaku dalam pencegahan denggi dan menjawab objektif serta hipotesis kajian. Kajian ini juga berjaya menghasilkan dan menentusahkan satu instrumen yang dapat mengukur faktor yang mempengaruhi tingkahlaku seseorang individu dalam pencegahan denggi melalui analisa penerokaan faktor dan disahkan unidimensi, kebolehpercayaan, dan kesahannya melalui analisa pengesahan faktor. Prevalens tingkahlaku positif dan prevalens tingkahlaku negatif terhadap pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat di daerah Kinta juga dapat ditentukan, dan faktor risiko yang berkaitan dengan tingkahlaku positif dan negatif terhadap pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat di daerah Kinta dapat dikaji. Prevalens tingkahlaku positif dan negatif terhadap pencegahan denggi dalam kalangan masyarakat Kinta masing-masing adalah 57 peratus dan 43 peratus. Mengikut hierarki susunan faktor mengikut sumbangan peratusan varians tertinggi, faktor utama yang menentukan tingkahlaku seseorang terhadap pencegahan denggi adalah amalan perubatan yang baik bagi demam denggi (95 peratus), diikuti motivasi bagi mengamalkan amalan yang dapat mencegah denggi (49 peratus), tanggapan halangan yang menghalang dari amalan pencegahan denggi (33 peratus), tanggapan faedah dari amalan yang dapat mencegah denggi (32 peratus), tanggapan keterukan denggi (23 peratus), kesedaran terhadap tanggungjawab mencegah denggi (12 peratus), ketakutan terhadap bahaya demam denggi (7 peratus), kerjasama dalam amalan pencegahan denggi (4 peratus), dan tanggapan kerentanan diri terhadap denggi (2 peratus). Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa faktor psikososial dan faktor di bawah Model Kepercayaan Kesihatan merupakan faktor yang menentukan tingkahlaku individu terhadap pencegahan denggi. Di samping itu, faktor psikososial turut mengantarakan hubungan pengetahuan berkenaan denggi dan tingkahlaku terhadap pencegahan denggi. Program pencegahan dan pengawalan denggi haruslah mengintegrasikan faktor-faktor ini ke dalam program tersebut selain menyalurkan informasi berkenaan denggi kepada masyarakat.
Notes: Tesis ini tidak ada "Perakuan Doktor Falsafah"
Pages: 201
Call Number: WA20.5.N822m 2016 9HUKM tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/782852
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Model persamaan struktur bagi penentuan tingkahlaku.pdf
  Restricted Access
Partial1.3 MBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.