Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/780094
Title: Pengoptimuman parameter pengekstrakan antosianin dan analisis kandungan antosianin daripada kaliks dan hampas kaliks reselle (Hibiscus Sabdariffa L.)
Authors: Nurul Nadiah Abu Bakar (P108481)
Supervisor: Rozida Mohd Khalid, Dr.
Jalifah Latip, Prof. Madya Dr.
Keywords: Anthocyanins
Plant extracts
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 10-Mar-2023
Abstract: Roselle (Hibiscus sabdariffa L.) merupakan sejenis tanaman herba yang disenaraikan sebagai pertanian bernilai tinggi di bawah Dasar Agromakanan Negara. Roselle ditanam secara komersil untuk mendapatkan manfaat dari kaliksnya. Kaliks roselle mempunyai warna ungu-kemerahan yang kaya dengan sebatian yang dikenali sebagai antosianin yang bertindak sebagai antioksidan poten. Walaubagaimanapun, antosianin juga mungkin terdapat pada hampas kaliks. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengoptimumkan keadaan pengekstrakan antosianin bagi mencapai kandungan antosianin yang tinggi dan seterusnya mengaplikasikan keadaan optimum tersebut untuk mengektrak antosianin dari hampas kaliks roselle. Seterusnya, kandungan antosianin utama serta profil kimia kedua-dua ekstrak kaliks dan hampas kaliks roselle akan dikenalpasti dan dibandingkan. Untuk tujuan ini, kaliks dan hampas kaliks roselle akan diekstrak menggunakan kaedah pengekstrakan berbantukan ultrabunyi (UAE) dan pengoptimuman parameter pengekstrakan dijalankan menggunakan kaedah rangsangan permukaan (RSM) dengan reka bentuk komposit berpusatkan muka (FCCCD). Kepekatan etanol dan masa pengekstrakan dipilih sebagai parameter untuk tujuan pengoptimuman dan jumlah kandungan antosianin ditentukan berdasarkan kaedah pembezaan pH. Antosianin utama iaitu delfinidin-3-sambubiosida dan sianidin-3-sambubiosida dalam kaliks dan hampas kaliks dikenalpasti, dikuantifikasi dan dibandingkan dengan menggunakan instrumen kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC). Kehadiran dua antosianin utama tersebut disahkan dan perbandingan profil kimia kedua-dua ekstrak dilakukan menggunakan kromatografi cecair spektrometri jisim (LC-MS). Jumlah kandungan fenolik (TPC) dan jumlah kandungan flavonoid (TFC) bagi ekstrak kaliks dan hampas kaliks roselle turut ditentukan dan dibandingkan. Hasil kajian mendapati jumlah kandungan antosianin (TAC) tertinggi diperoleh melalui kaliks roselle iaitu sebanyak 5.277 mg C3G/g BK berbanding hampas kaliks 3.011 mg C3G/g BK dengan keadaan optimum kepekatan etanol 70% (v/v) dan masa pengekstrakan 35 minit. Hampas kaliks juga mengandungi TPC dan TFC yang signifikan iaitu masing-masing sebanyak 30.090 mg GAE/g dan 8.819 mg KUE/g berbanding kaliks 32.67 mg QAE/g dan 11.34 mg KUE/g. Diantara kedua-dua antosianin major, didapati kandungan delfinidin-3-sambubiosida lebih tinggi berbanding kandungan sianidin-3-sambubiosida di dalam kedua-dua ekstrak kaliks dan hampas kaliks. Kebanyakan jangkaan sebatian kimia yang hadir dalam kedua-dua ekstrak juga adalah sama terutamanya sebatian kelas fenolik dan flavonoid. Oleh itu, didapati hampas kaliks roselle berpotensi sebagai sumber antosianin alternatif dan sebatian fenolik dan flavonoid masih boleh diperoleh daripada hampas kaliks selain daripada kaliks untuk diaplikasikan dalam pelbagai industri.
Notes: Tesis ini tidak ada "Perakuan Tesis Sarjana / Doktor Falsafah"
Pages: 114
Call Number: QK898.A55.N837 2023 tesis
Publisher: UKM, Bangi
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/780094
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.