Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/774805
Title: | Aktiviti fizikal dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan pelajar prasiswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. |
Authors: | Kamilah Muhammad Amir (P86107) |
Supervisor: | Rosnah Sutan, Prof. Madya. Dr. Azmi Mohd Tamil, Prof. Madya. Dr. |
Keywords: | Physical Fitness Exercise Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 21-Oct-2020 |
Abstract: | Aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dan bersifat protektif terhadap kesihatan mental. Prevalens penyakit tersebut semakin meningkat dan tren ini turut dilihat dalam kelompok dewasa muda. Aktiviti fizikal keseluruhan dipengaruhi oleh keaktifan fizikal berdasarkan domain khusus seperti aktiviti pekerjaan, perjalanan dan riadah serta intensitinya yang mana jika memenuhi saranan dapat memberikan manfaat kesihatan. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan prevalens aktiviti fizikal berdasarkan domain dan tahapnya serta faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan pelajar prasiswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Faktor yang dikaji meliputi ciri-ciri sosiodemografi, faktor berkaitan kesihatan dan faktor psikologi. Satu kajian irisan lintang telah dijalankan ke atas semua pelajar prasiswazah dari fakulti yang dipilih secara rawak berstrata di mana Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan pelajar jurusan perubatan, Fakulti Perubatan dijemput untuk menyertai kajian. Proses pengumpulan data telah dilakukan dari September hingga November 2018 secara atas talian dengan menggunakan gabungan borang soal selidik yang telah divalidasi iaitu GPAQ, MBSRQ-AS, Rosenberg Self Esteem Scale dan DASS 21 di samping soalan berkaitan sosiodemografi. Sejumlah 4,002 jemputan diemelkan dan 898 entri diterima, 718 sah untuk dianalisa. Min umur responden adalah 21 tahun (SP 1.87). Majoriti responden adalah perempuan (64.6%) warganegara (99.2%), bumiputera (74.0%), berstatus bujang (98.7%), mempunyai tajaan pengajian (72.1%), tidak mempunyai pekerjaan sambilan (91.1%) dan tidak merokok (96.2%). Prevalens keaktifan fizikal keseluruhan yang memenuhi saranan WHO (2012) dalam kalangan responden adalah sebanyak 82.2%. Dari segi domain khusus aktiviti fizikal dan tahapnya, 20.6% melaporkan kerja intensiti tinggi, 62.5% melaporkan kerja intensiti sederhana, 77.0% melaporkan aktiviti perjalanan, 53.3% melaporkan aktiviti riadah intensiti tinggi dan 60.6% melaporkan aktiviti riadah intensiti sederhana. Berdasarkan analisa bivariat dan multivariat, faktor yang berhubungkait dengan keaktifan fizikal keseluruhan berdasarkan ujian khi kuasa dua adalah faktor jantina (p=0.004) risiko gangguan pemakanan (p=0.027) dan kepedulian penampilan (p=0.042) manakala faktor peramal yang dapat mempengaruhi keaktifan tersebut adalah faktor jantina di mana lelaki lebih berkemungkinan aktif berbanding perempuan (nisbah ods terlaras (NOT)=1.985, 95% SK=1.275, 3.089), faktor kemurungan di mana pelajar tidak murung lebih berkemungkinan aktif (NOT=1.517, 95% SK=1.011, 2.276) dan faktor kepedulian penampilan di mana pelajar lebih peduli lebih berkemungkinan aktif (NOT=8.116, 95% SK=1.286, 51.237). Dari segi domain dan tahap, faktor peramal yang mempengaruhi aktiviti kerja intensiti tinggi adalah faktor bangsa, fakulti pengajian dan pekerjaan sambilan. Bagi aktiviti kerja intensiti sederhana pula, faktor peramalnya adalah faktor jantina dan bangsa. Faktor peramal aktiviti perjalanan pula adalah faktor umur dan fakulti pengajian. Faktor peramal aktiviti riadah intensiti tinggi adalah faktor jantina, status perkahwinan, pekerjaan sambilan dan kepuasan bahagian tubuh manakala untuk aktiviti riadah intensiti sederhana, faktor peramalnya adalah risiko gangguan pemakanan. Berdasarkan hasil kajian, faktor peramal yang mempengaruhi aktiviti fizikal akan berbeza berdasarkan domain dan tahapnya. Pendekatan ke arah meningkatkan aktiviti fizikal pelajar siswazah boleh dirancang dengan berpandukan maklumat prevalens dan faktor aktiviti fizikal yang lebih spesifik ini. |
Pages: | 231 |
Call Number: | WA20.5.K15a 2020 9HUKMPRA tesis |
Publisher: | UKM, Kuala Lumpur |
Appears in Collections: | Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
Aktiviti fizikal dan faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan pelajar prasiswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia.pdf Restricted Access | Full-text | 2.73 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.