Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/457686
Title: | Kesan vanadium karbida ke atas sifat mekanikal dan fizikal komponen tungsten karbida melalui proses pengacuan suntikan mikro |
Authors: | Wong Yee Ning (P63098) |
Supervisor: | Norhamidi Muhamad, Prof. Dr. |
Keywords: | Tungsten carbide |
Issue Date: | 27-Mar-2018 |
Description: | Tungsten karbida (WC) terkenal dengan ciri kekerasan yang tinggi, ketahanan haus yang tinggi serta kekuatannyapada suhu tinggi. Walau bagaimanapun, nilai kekerasan WC yang tinggi menyebabkannya sukar untuk menjalani proses pemesinan terutama semasa penghasilan produk berbentuk kompleks dan bersaiz kecil. Proses pengacuan suntikan serbuk mikro (μPIM) berkeupayaan meningkatkan pengeluaran komponen secara pukalbagi bahan berasaskan logam, seramik dan karbida. Pertumbuhan ira berlaku secara besar-besaran semasa pensinteran fasa cecair dan kekerasan tungsten karbida berkadar songsang dengan saiz iranya. Pertumbuhan ira pada peringkat awal proses pensinteran sangat menjejaskan kekerasan produk. Kaedah yang paling berkesan dalam mengawal pertumbuhan saiz ira adalah melalui penambahan bahan perencat pertumbuhan ira. Antara bahan perencat pertumbuhan ira, vanadium karbida (VC) merupakan bahan perencat yang paling berkesan disebabkan keterlarutan dan mobiliti yang tinggi dalam fasa kobalt pada suhu yang agak rendah. Kajian ini bertujuan mengkaji kesan penambahan VC sebagai bahan perencat pertumbuhan ira ke atas saiz ira dan mikrostruktur yang dihasilkan dengan kaedah μPIM. Kandungan VC yang paling sesuai ditambah ditentukan agar pembentukan liang yang akan menyebabkan kerapuhan tidak akan berlaku. Tungsten karbida, kobalt, vanadium karbida dengan nisbah komposisi WC-10%Co-nVC, di mana (n=0wt%, 0.4wt%, 0.8 wt% and 1.2 wt%) akan dikisar bersama etanol dalam bekas WC pada halaju putaran 100 rpm.Selepas pengisaran, serbuk campuran akan dikeringkan dalam oven vakum pada suhu 100 °C selama 24 jam. Serbuk WC-10%Co-nVC akan dicampur dengan bahan pengikat dan disuntik ke dalam acuan bagi menghasilkan jasad hijau. Bahan pengikat dikeluarkan dari jasad hijau proses penyahikatan dua peringkat iaitu dimulai dengan penyahikatan larutan dan diikuti penyahikatan terma. Jasad perang akan disinter dalam relau vakum pada suhu 1370-1450°C dengan masa pegangan selama 3 minit. Ketumpatan spesimen akan ditentukan dengan kaedah Archimedes. Kekerasan sampel ditentukan dengan penguji Vickers manakala kekuatan lentur jasad diukur dengan Instron 5567. Morfologi dan analisis sampel taburan elemen dikaji dengan mikroskop imbasan elektron pancaran medan (FESEM) dan spektroskopi tenaga penyebar (EDS). Pembelauan sinar-X digunakan untuk mengkaji fasa sampel yang disintesiskan. Jasad sinter menunjukkan pengecutan linear sebanyak 22% berbanding dengan jasad hijau disebabkan penyingkiran lompangan antara zarah serbuk dan seterusnya membawa kepada penumpatan dan pengecutan komponen. Jasad sinter dengan penambahan 0.4%VC, sinter pada suhu 1410oC mencatatkan nilai kekerasan dan kekuatan lentur tertinggi iaitu masing-masing pada 1973HV dan 2470MPa. Ketumpatan jasad sinter komposisi ini menunjukkan 95.2% dan purata saiz ira 519±27 nm.Kajian ini berjaya menentukan 0.4wt% VC sebagai komposisi yang paling sesuai ditambahkan bagi merencatkan pertumbuhan ira pada masa yang sama meningkatkan sifat mekanikal semasa proses pensinteran. Oleh itu, penambahan bahan perencat pertumbuhan ira harus dikawal dalam julat tertentu agar mencapai sifat-sifat mekanikal karbida terekat yang optimum.,Sarjana Sains |
Pages: | 142 |
Call Number: | TA480.T9W636 2018 3 tesis |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Engineering and Built Environment / Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_101400+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 9.7 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.