Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389412
Title: Pembangunan garis panduan intervensi kemahiran tulisan tangan untuk kanak-kanak
Authors: Mahfuzah Zainol (P101240)
Supervisor: Masne binti Kadar, Prof. Madya Dr.
Keywords: Intervention Study
Clinical Trial
Handwriting
Occupational Therapy
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 28-Dec-2022
Abstract: Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam kemahiran tulisan tangan (KTT) sering dirujuk untuk intervensi terapi cara kerja. Oleh itu, intervensi terapi cara kerja dalam KTT menggunakan pelbagai pendekatan gabungan seperti aktiviti berbentuk sensori, biomekanik, neuromotor, kognitif dan penggunaan alat bantuan. Walaubagaimanapun, ahli terapi cara kerja di Malaysia tidak mempunyai satu garis panduan mengikut piawai dalam pelaksanaan intervensi khusus untuk KTT. Kebanyakan dokumen garis panduan atau program KTT adalah dibangunkan di luar negara dan tidak bersandarkan kepada konsep budaya, kurikulum pendidikan dan capaian sumber yang terdapat di Malaysia. Sehubungan dengan itu, objektif penyelidikan ini adalah untuk membangunkan garis panduan intervensi KTT untuk kanak-kanak. Penyelidikan ini merupakan sebuah kajian pembangunan menggunakan pendekatan kajian penyelidikan reka bentuk dan pembangunan (PRP) yang mempunyai tiga fasa utama. Fasa pertama adalah fasa analisis keperluan yang menggunakan metodologi kualitatif, temu bual separa berstruktur. Fasa kedua kajian menggunakan kaedah perbincangan kumpulan berfokus dan indeks kesahan kandungan menggunakan borang Content Validity Index. Seterusnya, fasa ketiga terbahagi kepada dua fasa kecil iaitu fasa kebolehlaksanaan dan keberkesanan. Fasa kebolehlaksanaan menggunakan kaedah eksperimen pra dan pasca terhadap satu kumpulan rawatan. Fasa keberkesanan menggunakan kaedah eksperimen kluster kumpulan rawak terhadap dua kumpulan iaitu satu kumpulan rawatan dan satu kumpulan kawalan. Fasa ketiga ini menggunakan instrumen The Print Tool dan Test of Visual Perceptual Skills-4 untuk mengukur prestasi tulisan tangan persepsi visual. Hasil kajian fasa pertama mendapati sebuah garis panduan perlu dibangunkan untuk pelaksanaan aktiviti intervensi KTT yang lebih sistematik dan berkesan. Dapatan kajian fasa kedua mendapati pembangunan garis panduan ini telah dipersetujui dan disahkan oleh semua panel pakar kandungan yang terlibat. Nilai indeks kesahan kandungan menunjukkan penerimaan kesahan sangat baik hingga cemerlang (0.99 hingga 1.00) bagi setiap bahagian dalam garis panduan. Hasil kajian pada fasa ketiga mendapati garis panduan ini boleh dilaksanakan kepada kanak-kanak. Terdapat perbezaan yang signifikan dalam kemahiran menulis huruf kecil bagi prestasi tulisan tangan sebelum dan selepas menggunakan garis panduan terhadap sembilan orang kanak-kanak, t(8)=- 3.21, p=0.012 dan saiz kesan Cohen’s adalah besar, d=1.07. Hasil dapatan bagi keberkesanan mendapati bahawa GPIKTT berkesan untuk prestasi tulisan tangan, tetapi tidak berkesan untuk prestasi persepsi visual kanak-kanak. Dapatan kajian keberkesanan bagi prestasi tulisan tangan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi kesan interaksi ujian ANOVA dua hala tercampur iaitu kesan utama masa dalam kumpulan, (F(1,40)=26.21, p<0.001, np= 0.396), kesan utama dalam kumpulan (F(1,40)=12.98, p=0.001, np= 0.245), dan kesan interaksi antara masa dan kumpulan (F(1,40)=20.27, p<0.001, np= 0.336). Secara keseluruhan, pembangunan garis panduan ini telah membuktikan keberkesanan dalam meningkatkan prestasi tulisan tangan kanak-kanak. Kajian ini memberi implikasi terhadap teori, polisi, amalan profesional terhadap ahli terapi cara kerja, guru dan ibu bapa dalam menangani masalah KTT kanak-kanak di Malaysia
Pages: 295
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Health Sciences / Fakulti Sains Kesihatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Pembangunan garis panduan intervensi kemahiran tulisan tangan untuk kanak-kanak
  Restricted Access
Full-text5.44 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.