Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784737
Title: Pemahaman tentang kesan vesikel ekstrasel yang telah diaruh kemoterapi terhadap sel imun manusia
Authors: Nur' Syahada Ab. Razak
Supervisor: Nadiah Abu, Dr.
Nurul Syakima Abdul Mutalib, Dr.
Mohamad Aimanuddin Moktar, Dr.
Keywords: Biochemistry
Research
Academic Dissertations as Topic
Issue Date: 23-Aug-2021
Abstract: Kanser usus adalah sejenis kanser yang berlaku di bahagian usus dan rektum manusia dan merupakan antara kanser yang paling lazim dihidapi oleh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia. Seiring dengan pembedahan, kemoterapi menjadi pilihan para doktor dalam merawat pesakit kanser usus. Antara ubat kemoterapi yang diberikan adalah ubat berasaskan platinum seperti oxaliplatin yang diperakui sebagai piawai rawatan kanser usus di seluruh dunia termasuk Malaysia. Agen genotoksik ini mempunyai kesan sitotoksik secara langsung kepada sel kanser seperti mengubah DNA, menghalang pembahagian dan pertumbuhan sel serta mampu mendorong kematian sel imunogenik (ICD). Selain itu, ubat kemoterapi ini juga mampu mengubah homeostasis di dalam badan manusia dan memberi kesan kepada sistem imun. Namun, kita masih belum memahami secara sepenuhnya hubung kait antara ubat kemoterapi dengan persekitaran mikro tumor terutamanya terhadap sel imun. Umum telah diketahui, sel – sel manusia boleh merembes keluar vesikel ekstrasel (EV) yang bersaiz nano sebagai medium berkomunikasi antara sel. Entiti ini juga mampu mengubah dan memberikan tindak balas terhadap sel - sel dalam persekitaran mikro tumor. Oleh itu, di dalam kajian ini, kami cuba untuk memahami kesan EV yang telah diaruh oleh kemoterapi terhadap sel imun manusia, terutamanya sel limfosit T CD8+. Morfologi, ukuran dan kadar limpahan EV diperinci menggunakan beberapa kaedah seperti pemblotan western, ELISA dan mikroskopi elektron mengikut saranan International Society of Extracellular Vesicles (ISEV). EV telah diasingkan daripada 20 sampel serum pesakit kanser usus yang menjalani rawatan kemoterapi berasaskan oxaliplatin juga daripada 22 sampel serum pesakit kanser usus yang tidak menjalani sebarang terapi (EV pra kemoterapi). Kesan fungsian EV disiasat secara in vitro menggunakan asai ko-kultur antara EV dan sel T CD8+ serta sel Jurkat. Selain itu, kami juga telah memprofilkan sitokin yang dirembeskan serta menentukan pengekspresan gen - gen berkaitan tindak balas imun. Kajian ini mendedahkan bahawa ukuran dan kadar limpahan EV adalah sedikit berbeza pasca-kemoterapi berbanding pra-kemoterapi tetapi mempunyai morfologi yang sama. Tambahan pula, sel T CD8+ dan sel Jurkat yang dikultur bersama EV pasca-kemoterapi tergencat dalam fasa S langsung mengakibatkan penurunan peratusan sel yang memasuki fasa G2/M. Kadar apoptosis sel T CD8+ dan sel Jurkat juga meningkat disebabkan oleh EV pasca-kemoterapi berbanding dikultur bersama EV yang tidak diaruh kemoterapi. Selain itu, gen – gen utama berkaitan dengan sitokin dan kematian sel imun seperti IL-2, sFasL dan Granzyme B diekspresikan lebih tinggi dalam sel T yang telah dikultur bersama EV diaruh kemoterapi. Profil sitokin yang dilepaskan oleh sel – sel imun setelah rangsangan oleh EV pra- dan pasca-kemoterapi juga diekspresikan berbeza - beza seperti IFN-ƴ dan IL-17. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini menunjukkan bahawa EV yang telah diaruh kemoterapi mampu memberi kesan terhadap fungsi sel limfosit berbanding EV yang tidak diaruh kemoterapi.
Pages: 146
Call Number: QU20.N9741p 2021 9HUKMPRA tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784737
Appears in Collections:UKM Medical Molecular Biology Institute / Institut Perubatan Molekul (UMBI)

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Pemahaman tentang kesan vesikel ekstrasel yang telah diaruh kemoterapi terhadap sel imun manusia.pdfFull-text2.19 MBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.