Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784149| Title: | Penyaringan polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) dalam alel A1 dan A2 beta-kasein pada lembu tenusu di Malaysia serta kesan susu terhadap tikus Sprague Dawley |
| Authors: | Nurhafizatul Ain Baharim (P103428) |
| Supervisor: | Nadiatur Akmar Zulkifli, Dr. Arnida Hani Teh, Dr. |
| Keywords: | Nucleotides Casein Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
| Issue Date: | 22-Jan-2025 |
| Abstract: | Susu yang mengandungi varian A1 di dalam gen beta-kasein didapati berkait rapat dengan beberapa penyakit kronik seperti penyakit diabetes melitus jenis-1 (DM-1), penyakit jantung koronari (CHD), autisme dan skizofrenia. Kajian lepas mendapati penghidap penyakit autisme dan skizofrenia menghasilkan beta-casormofin 7 (BCM 7), iaitu sejenis opioid yang dilihat mempunyai struktur yang sama seperti morfin dan ini terhasil apabila usus mencerna beta-kasein A1. Objektif pertama kajian ini adalah untuk menyaring polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) dalam alel A1 dan A2 beta kasein pada baka lembu tenusu dari tiga buah negeri di Malaysia. Selepas saringan dilakukan, kajian diteruskan dengan objektif kedua kajian iaitu mengira frekuensi alel dan frekuensi genotip varian beta-kasein A1 dan A2 bagi kesemua lembu yang disaring. Objektif ketiga kajian ini adalah untuk menentukan kesan susu A1A1, A1A2 dan A2A2 terhadap 10 parameter biokimia pada tikus Sprague Dawley. Sampel darah lembu telah diambil dari tiga buah negeri iaitu di Johor (n=69), Pahang (n=250) dan Melaka (n=40). Kesemua sampel darah diekstrak dengan menggunakan DNeasy Blood and Tissue Kit (Qiagen, Hilden, Germany) untuk mendapatkan DNA dan diikuti dengan amplifikasi PCR pada ekson 7 gen beta-kasein. Produk PCR telah dijujuk dan dijajar untuk menyaring varian beta-kasein A1 dan A2 dengan menggunakan perisian BioEdit Sequence Alignment Edition 7.1.3.0, perisian Sequencher dan MEGA 7. SNP dari kesemua sampel telah berjaya disaring di mana ladang di Johor mempunyai genotip A1A2 paling tinggi manakala di negeri Pahang dan Melaka mempunyai A2A2 paling tinggi. Frekuensi alel bagi kesemua negeri telah berjaya disaring di mana frekuensi alel A1 ialah 0.478 dan alel A2 ialah 0.522 bagi negeri Johor. Di Pahang pula, frekuensi alel A1 dan A2 adalah 0.306 dan 0.694. Frekuensi alel A1 di negeri Melaka pula adalah 0.275 manakala alel A2 adalah 0.725. Di negeri Johor, frekuensi genotip A1A1 adalah 0.246, A1A2 adalah 0.464 dan A2A2 adalah 0.290. Manakala di Pahang pula frekuensi genotip A1A1 adalah 0.112, A1A2 adalah 0.388 dan A2A2 adalah 0.500. Frekuensi genotip A1A1, A1A2 dan A2A2 di Melaka adalah 0.050, 0.450 dan 0.500. Susu telah diambil dari setiap kumpulan genotip (A1A1, A1A2 dan A2A2) untuk diberi minum kepada 32 ekor tikus Sprague Dawley dalam tempoh 42 hari. Sepanjang kajian dilakukan, berat badan tikus ditimbang tiga kali seminggu, pengambilan makanan diukur seminggu sekali manakala minuman ditimbang setiap hari. Selepas 42 hari kajian dilakukan, tikus telah dimatikan dan organ diambil untuk ditimbang. Sampel darah telah dihantar ke Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU), UPM bagi menganalisis 10 parameter biokimia. Hasil dari ujian biokimia menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan (p<0.05) pada empat parameter iaitu paras kolestrol, LDL, kreatinina dan urea. Namun tiada perbezaan yang signifikan (p>0.05) antara kesemua kumpulan bagi paras HDL, TGL, ALP, ALT dan AST. Berat badan tikus, pengambilan makanan dan minuman serta berat organ antara kumpulan kawalan dan rawatan turut menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan (p>0.05). Justeru, kajian ini telah berjaya menyaring SNP dalam alel A1 dan A2 beta-kasein serta mengira frekuensi alel dan genotip bagi kesemua sampel namun pengambilan susu yang mengandungi varian A1 tidak memberikan kesan yang negatif terhadap kesemua tikus yang diuji. Kajian lanjutan boleh dilakukan dengan memberikan kasein varian A1 dan A2 yang dihidrolisat supaya dapat melihat kesan yang lebih ketara. |
| Pages: | 104 |
| Call Number: | QP625.N89.N837 2025 tesis |
| Publisher: | UKM, Bangi |
| URI: | https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/784149 |
| Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
| File | Description | Size | Format | |
|---|---|---|---|---|
| Penyaringan polimorfisme nukleotida tunggal SNP dalam alel a1 dan a2 beta kasein pada lembu tenusu di Malaysia serta kesan susu terhadap tikus sprague dawley.pdf Restricted Access | Full-text | 1.33 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.