Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/778450
Title: Kesan ADDX, aditif minyak masak terhadap hipertensi aruhan minyak sayuran yang dipanaskan berulang kali dalam model tikus
Authors: Siti Hawa Nordin, Dr. (P75395)
Supervisor: Kamsiah Jaarin, Prof. Dr.
Kamisah Yusof, Prof. Madya. Dr.
Keywords: Antihypertensive Agents -- therapeutic use
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 10-Feb-2017
Abstract: Pengambilan berpanjangan minyak sayuran yang dipanaskan berulang kali boleh meningkatkan tekanan darah dan menggalakkan aterosklerosis seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Peningkatan tekanan darah adalah disebabkan oleh disfungsi endotelium, peningkatan reaktiviti vaskular dan ketidakseimbangan antara faktor vasorelaksasi dan vasokonstriksi. Kajian ini bertujuan untuk menentukan kesan ADDX yang kaya polifenol ke atas hipertensi aruhan minyak sawit yang dipanaskan berulang kali pada tikus. Tikus Sprague Dawley jantan dewasa (n = 56) dibahagikan kepada tujuh kumpulan: kumpulan kawalan yang diberi diet biasa dan kumpulan-kumpulan lain yang diberi diet yang diperkaya dengan 15% berat/berat sama ada minyak sawit segar (FPO), minyak sawit yang dipanaskan lima kali (5HPO) atau minyak sawit yang dipanaskan sepuluh kali (10HPO) tanpa ADDX atau dengan suplementasi ADDX (FPO+ADDX, 5HPO+ADDX, 10HPO+ADDX). ADDX diberi dalam diet dengan nisbah dos 1:10 (ADDX: minyak masak). Darah tikus diambil sebelum dan selepas 16 minggu tempoh kajian. Suplementasi ADDX mengurangkan tekanan darah sistolik seawal 8 minggu. Ia juga menurunkan aras bahan reaktif asid tiobarbiturik (TBARS), tromboksan plasma serta enzim penukar angiotensin-1 (ACE1) serum dalam kumpulan 5HPO+ADDX berbanding 5HPO. Perubahan ini tidak terdapat pada kumpulan 10HPO+ADDX. Aras nitrik oksida (NO) plasma kumpulan 5HPO+ADDX didapati meningkat secara signifikan berbanding 5HPO. Kesan yang sama tidak dilihat pada kumpulan 10HPO+ADDX. Aras hem oksigenase-1 (HO-1) serum kumpulan 5HPO+ADDX dan 10HPO+ADDX didapati meningkat secara signifikan berbanding kumpulan 5HPO dan 10HPO. ADDX tidak memberi kesan yang signifikan ke atas aras prostasiklin plasma dalam kesemua kumpulan. 5HPO dan 10HPO meningkatkan tindak balas vasokonstriksi terhadap fenilefrin manakala mengurangkan tindak balas vasorelaksasi terhadap asetilkolin dan natrium nitroprusida. Tindak balas vasokonstriksi terhadap fenilefrin berkurang secara signifikan dalam kumpulan 5HPO+ADDX berbanding 5HPO tetapi tidak dalam kumpulan 10HPO+ADDX berbanding 10HPO. ADDX sebaliknya tidak memberi kesan ke atas tindak balas vasorelaksasi terhadap asetilkolin dan natrium nitroprusida bagi kesemua kumpulan. 5HPO dan 10HPO meningkatkan ketebalan dan luas permukaan intima media serta meningkatkan tegangan lilitan dinding aorta. Perubahan histomorfometri ini adalah lebih rendah secara signifikan pada kumpulan 5HPO+ADDX berbanding 5HPO tetapi tidak dalam kumpulan 10HPO+ADDX berbanding 10HPO. Hasil kajian ini menyarankan bahawa suplementasi ADDX mencegah peningkatan tekanan darah akibat pengambilan 5HPO. Mekanisme tindakan ADDX dalam mencegah peningkatan tekanan darah aruhan minyak masak yang dipanaskan berulang kali berkemungkinan melalui penurunan pada reaktiviti vaskular, tekanan oksidatif, tromboksan dan ACE1 serta peningkatan pada NO dan HO-1. ADDX juga mengurangkan perubahan histomorfometri aorta yang disebabkan oleh hipertensi aruhan minyak masak yang dipanaskan berulang kali.
Notes: e-tesis
Pages: 34
Call Number: QV20.5.S622k 2017 9HUKMPRA tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
URI: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/778450
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Kesan ADDX, aditif minyak masak terhadap hipertensi aruhan minyak sayuran yang dipanaskan berulang kali dalam model tikus.pdf
  Restricted Access
Partial617.01 kBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.