Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/777970
Title: Kecekapan pengurusan dana wakaf tunai melalui teknologi maklumat & komunikasi, teknologi kewangan dan pengurusan risiko enterprais
Authors: Nurul Hidayah Md Razali (P92224)
Supervisor: Rubayah Yakob, Prof. Madya Dr.
Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah, Prof. Madya Dr.
Roziana Baharin, Dr.
Keywords: Waqf
Business enterprises
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 17-Jan-2024
Abstract: Pengurusan dana wakaf tunai di institusi wakaf di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang cekap amat penting bagi memobilisasikan lagi harta wakaf pada masa hadapan demi kemaslahatan ummah dan negara. Namun, keterbatasan penggunaan teknologi ICT dan FinTech disebabkan oleh jumlah peruntukan yang terhad bagi membangunkan sistem atau prasarana menjadikan kutipan dana wakaf tunai perlahan dan semakin memberi tekanan kepada masalah pembiayaan projek pembangunan wakaf dan pengembangan pelaburan dana wakaf. Selain itu, risiko yang dihadapi oleh institusi wakaf yang semakin pelbagai dan dinamik meletakkan pengurusan dana wakaf tunai semakin mencabar dan boleh menyebabkan berlakunya kepincangan. Ini telah mendorong kepada kajian ini untuk mengenalpasti pendekatan holistik ERM bagi mengatasi kelemahan ini. Menerusi pengaplikasian ICT dan FinTech, dan pelaksanaan ERM boleh memantapkan keupayaan pengoperasian lantas menambah baik tahap kecekapan pengurusan dana wakaf tunai. Oleh itu, kajian ini mengukur kecekapan pengurusan dana wakaf tunai melalui ICT dan FinTech, dan ERM di institusi wakaf. Tempoh kajian adalah 8 tahun iaitu bermula dari tahun 2014 hingga 2021. Kajian ini menggunakan teknik Analisis Penyampulan Data (APD) Dua Peringkat. Pada peringkat pertama, skor kecekapan dikira menggunakan APD Dinamik. Dalam analisis peringkat pertama, dua model APD Dinamik dilaksanakan. Model pertama tidak mengambil kira sumber input ICT dan FinTech, manakala model kedua mengambil kira sumber input tersebut. Skor kecekapan yang diperoleh pada peringkat pertama dibandingkan bagi menjawab objektif kajian. Pada analisis peringkat kedua, analisis Tobit panel dilaksanakan. Pemboleh ubah bersandar merupakan skor kecekapan yang diperoleh daripada analisis peringkat pertama. Sementara, pemboleh tidak bersandar terdiri dari ERM. Pemboleh ubah kawalan juga dimasukkan dalam analisis Tobit panel iaitu pengkorporatan dan geran kerajaan bagi memastikan kesan yang signifikan terhadap pengaruh ERM ke atas kecekapan pengurusan dana wakaf tunai. Penemuan utama kajian ini membuktikan kesan positif menerusi pengaplikasian sumber input ICT dan FinTech kepada kecekapan pengurusan dana wakaf tunai dalam kalangan institusi wakaf. Malahan, dapatan ini juga menyokong Teori Kepadanan Teknologi-tugas kerana kesan penggunaan teknologi sebagai sumber input berupaya memberi kesan terhadap pencapaian prestasi dengan lebih baik dan cekap. Kajian ini juga mendapati ERM memberi kesan positif dan signifikan terhadap kecekapan pengurusan dana wakaf tunai di institusi wakaf. Dapatan yang diperoleh ini sekaligus menyokong Teori Berasaskan Sumber. Sebagai sumber organisasi, ERM berupaya meningkatkan perolehan dana dan seterusnya prestasi sesebuah organisasi. Secara kolektifnya, kajian ini juga dirasakan menyumbang kepada Teori Kecekapan di mana input yang lebih bersifat dalaman bersama-sama sumber luaran memberi pengaruh kepada kecekapan organisasi. Lebih dari itu, sumber luaran (iaitu ERM) mempunyai pengaruh yang lebih kuat jika institusi tidak mempunyai sumber input yang tertentu (iaitu ICT dan FinTech), berbanding sebaliknya. Dapatan kajian ini juga memberikan input berguna kepada institusi wakaf dalam mengaplikasikan ICT dan FinTech secara berterusan dan lebih meluas agar persekitaran digital yang diintegerasikan lebih berinovasi dan dipercayai. Di samping itu, penekanan ERM dalam pengoperasian membantu institusi wakaf untuk menformulasi hala tuju dan menyediakan satu rangka kerja pemulihan perkhidmatan yang meningkatkan lagi pengurusan dana wakaf tunai dengan lebih lebih cekap, holistik dan lestari.
Pages: 359
Call Number: BP170.25.N8377 2024 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Economy and Management / Fakulti Ekonomi dan Pengurusan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.