Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/777805
Title: | Pendekatan analisis data fungsian dalam menganalisis data biomekanik semasa ayunan kettlebel Amerika dan Rusia |
Authors: | Muhammad Athif Mat Zin (P83871) |
Supervisor: | Azmin Sham Rambely, Prof. Madya Dr. Noratiqah Mohd Ariff, Prof. Madya Dr. Aziz Jemain, Prof. Dr. Nur Riza Mohd Suradi, Dr. Zamira Hasanah Zamzuri, Dr. Mohd. Radzani Abdul Razak, Dr. |
Keywords: | Biomechanics Kettlebells Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 16-Aug-2023 |
Abstract: | Persoalan sama ada ayunan kettlebel Amerika merupakan teknik ayunan kettlebel yang lebih baik daripada ayunan kettlebel Rusia atau sebaliknya masih menjadi perdebatan dalam kalangan pengamal bidang kecergasan. Perbandingan kesan kedua-dua teknik ayunan kettlebel ini dari aspek Biomekanik perlu diberi perhatian agar manfaat yang sebenar dapat diperoleh. Namun, kajian perbandingan ayunan kettlebel Amerika dan Rusia masih kurang dilaporkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan membandingkan data kinematik dan kinetik sendi pinggiran bawah badan (SPBB), iaitu pinggul, lutut dan buku lali semasa ayunan kettlebel Amerika (AKA), ayunan kettlebel Rusia dua-tangan (AKRDT), ayunan kettlebel Rusia satu-tangan (kanan) (AKRSTKA) dan ayunan kettlebel Rusia satu-tangan (kiri) (AKRSTKI) menggunakan pendekatan analisis data fungsian (ADF). Kesan penggunaan pendaftaran lengkung terhadap data kinematik dan kinetik SPBB semasa ayunan kettlebel dan keberkesanannya dalam mengurangkan variasi fasa antara subjek dan intrasubjek turut dikaji. Seramai 20 orang subjek lelaki dengan min SP umur, berat dan ketinggian masing-masing 21 1 tahun, 69 7.5 kg dan 1.72 0.07 m terlibat dalam kajian ini. Subjek melakukan AKA, AKRDT, AKRSTKA dan AKRSTKI dengan beban kettlebel 16 kg. Pergerakan bawah badan subjek dirakam dengan menggunakan tiga buah kamera inframerah Vicon Nexus dengan kelajuan 100 Hz dan data diproses menggunakan sistem Vicon Nexus. Tatacara ADF yang dilakukan terhadap sudut dan momen SPBB ialah pelicinan, pendaftaran lengkung dan ujian-t pilih atur fungsian. Tiga kaedah pendaftaran lengkung iaitu pendaftaran petanda, pendaftaran selanjar (tambahan) dan pendaftaran selanjar (alternatif) telah diaplikasikan bagi menjajarkan fasa lengkung. Ujian-t pilih atur fungsian dilakukan bagi mengenal pasti perbezaan sudut, halaju sudut, pecutan sudut dan momen SPBB antara sendi kaki kanan dan kaki kiri dan antara dua jenis ayunan kettlebel yang berbeza. Pendaftaran selanjar (tambahan) merupakan kaedah pendaftaran lengkung yang terbaik dalam mengurangkan variasi fasa antara subjek dan intrasubjek bagi sudut, halaju sudut, pecutan sudut dan momen SPBB. Oleh itu, lengkung min pendaftaran selanjar (tambahan) dicadangkan untuk dijadikan sebagai panduan kepada kajian lanjutan bagi membandingkan pola sudut, halaju sudut, pecutan sudut dan momen SPBB yang mewakili pergerakan sebenar bagi satu kitaran ayunan kettlebel. Hasil perbandingan antara sendi kanan dan sendi kiri mendapati ayunan kettlebel dwisisi seperti AKA dan AKRDT menghasilkan pergerakan fleksi sendi pinggul kanan dan pinggul kiri yang simetri manakala ayunan kettlebel ekasisi seperti AKRSTKA dan AKRSTKI menghasilkan pergerakan fleksi sendi pinggul pada bahagian kontralateral yang lebih tinggi berbanding bahagian ipsilateral. Ayunan kettlebel dwisisi dan ekasisi menghasilkan pergerakan fleksi sendi lutut yang simetri. AKA, AKRDT dan AKRSTKI menghasilkan pergerakan fleksi dorsi sendi buku lali kiri yang lebih tinggi berbanding buku lali kanan. Hasil perbandingan antara AKA dan AKRDT dan antara AKA dan AKRSTKA mendapati AKA menghasilkan pergerakan fleksi bagi kebanyakan sendi yang lebih tinggi berbanding AKRDT dan AKRSTKA. Keperluan mekanikal pergerakan mengengsel di pinggul yang diperlukan bagi mengayunkan kettlebel hingga ke paras atas kepala semasa AKA adalah lebih tinggi berbanding mengayunkan kettlebel hingga ke paras bahu semasa AKRDT dan AKRSTKA. Puncak sudut fleksi lutut merupakan yang tertinggi dilaporkan, diikuti dengan puncak sudut fleksi pinggul dan puncak sudut fleksi dorsi buku lali sebagai yang terendah bagi semua jenis ayunan kettlebel yang dikaji. Pergerakan mengengsel di pinggul semasa ayunan kettlebel membawa kepada pergerakan fleksi yang lebih pada sendi pinggul bagi menjana daya yang mencukupi bagi mengayunkan kettlebel hingga mencapai peristiwa puncak ayunan. Sendi lutut pula berperanan dalam menampung daya yang terhasil selepas peristiwa persediaan ayunan ke bawah dan momentum yang terjana setelah peristiwa puncak ayunan. Sendi buku lali pula berperanan dalam menstabilkan pergerakan bawah badan sepanjang satu kitaran ayunan kettlebel. Puncak momen ekstensi pinggul merupakan yang tertinggi dilaporkan, diikuti dengan puncak momen ekstensi lutut dan puncak momen fleksi plantar buku lali sebagai yang terendah bagi semua jenis ayunan kettlebel yang dikaji. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sendi pinggul merupakan penyumbang utama dalam ayunan kettlebel dan teknik mengengsel di pinggul bagi mengayunkan kettlebel telah digunakan dalam kajian ini. Walaupun AKA berbeza dengan AKRDT, AKRSTKA dan AKRSTKI semasa akhir fasa ayunan ke atas, namun ayunan kettlebel Amerika dan Rusia menggunakan teknik mengengsel di pinggul bagi mengayunkan kettlebel ke atas. Kajian ini boleh dijadikan rujukan kepada penyelidik Biomekanik dalam mengaplikasikan pendekatan ADF dalam analisis data Biomekanik serta panduan bagi ahli fisioterapi dan atlet untuk mengaplikasikan ayunan kettlebel dalam program rehabilitasi dan latihan senaman bebanan. |
Notes: | Tesis ini tidak ada "Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah" |
Pages: | 411 |
Call Number: | QH513.M8348 2023 tesis |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
Pendekatan analisis data fungsian dalam menganalisis data biomekanik semasa ayunan kettlebel Amerika dan Rusia.pdf Restricted Access | Partial | 1.04 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.