Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/773174
Title: Pembangunan peranti penyuap darah automatik, ditmof bagi penghasilan koloni aedes aegypti dan pengujian bahan penarik pengovipositan menggunakan Malaysian Mosquito Autocidal Trap (MYMAT)
Authors: Mohd Farihan Md.Yatim (P89426)
Supervisor: Aishah Hani Azil, Dr.
Nazarudin Safian, Dr.
Keywords: Culicidae
Dissertations, Academic -- Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Issue Date: 25-Aug-2020
Abstract: Penggunaan haiwan hidup untuk pemberian makanan darah kepada koloni nyamuk di makmal terbukti menelan kos yang tinggi, membebankan dan tidak beretika. Sebagai langkah alternatif, teknik pemberian darah secara buatan menggunakan peranti penyuap darah nyamuk telah dibangunkan. Selari dengan keperluan terkini, penghasilan sebuah peranti penyuap darah yang moden dan dilengkapi dengan teknologi terkini, efektif dan dengan harga yang berpatutan adalah diperlukan. Dalam kajian ini, sebuah peranti penyuap darah automatik telah dicipta dan tiga jenis membran sintetik berbeza telah diuji bersama peranti ini untuk memastikan proses pemberian makanan darah kepada nyamuk dapat dijalankan dengan optimum. Peranti yang dinamakan sebagai DITMOF (Digital Thermo Mosquito Blood Feeder) ini telah digunakan untuk penghasilan koloni Aedes aegypti dan seterusnya koloni ini digunakan dalam ujian bahan penarik bagi pengovipositan Ae. aegypti menggunakan MyMAT (Malaysian Mosquito Autocidal Trap). Penghasilan peranti DITMOF ini menggunakan komponen seperti alat kawalan digital (digital controller) dan alat pengesanan (sensor) bagi memastikan ketepatan suhu darah dikawal secara automatik. Tiga jenis membran yang diuji ialah pita Polytetrafluoroethylene (PTFE), Parafilm-M dan sarung sosej kolagen. Hasil keputusan menunjukkan penggunaan pita PTFE mencatatkan peratusan nyamuk menghisap darah tertinggi iaitu 95.00% ± 1.67 diikuti dengan Parafilm-M (72.00% ± 2.60) dan sarung sosej kolagen (71.50% ± 3.50). Perbezaan signifikan diantara pita PTFE berbanding Parafilm-M dan sarung sosej kolagen telah dicerap dengan nilai p bagi kedua-duanya adalah <0.000. Walau bagaimanapun, tiada perbezaan signifikan diperoleh diantara Parafilm-M dan sarung sosej kolagen dicatatkan (p=1.000). Bagi ujian bahan penarik pengovipositan Ae. aegypti pula, dua larutan berasaskan ammonia iaitu larutan gabungan 12.75 ppm ammonium + 1.20 ppm asid laktik atau singkatannya, AML (larutan 1) dan 2 ppm ammonium nitrat atau singkatannya AN (larutan 2) telah diuji terlebih dahulu bagi mengukur keberkesanan larutan dalam menarik pengovipositan Ae aegypti. Setelah ujian dijalankan, larutan AML telah terpilih untuk digunakan bersama 1 ppm asid kaproik dalam ujian bahan penarik di dalam MyMAT. Sebanyak empat jenis rawatan telah ditetapkan menggunakan kedua-dua bahan ini manakala lokasi penempatan bahan penarik dalam MyMAT adalah di gelung berpelekat dan bekas air. Hasil keputusan menunjukkan bagi rawatan 2 (AML di gelung berpelekat dan AK dalam bekas air) dan rawatan 3 (AK di kedua-dua gelung berpelekat dan bekas air), purata tangkapan nyamuk yang dicatatkan ialah 4.23 ± 0.39 dan 3.97 ± 0.44 berbanding kawalan (2.60 ± 0.29 dan 2.77 ± 0.28). Kedua-dua rawatan ini mencatatkan perbezaan yang signifikan berbanding kawalan dengan nilai p yang dicerap ialah 0.003 dan 0.045. Secara keseluruhan, penggunaan peranti penyuap darah di makmal dapat mengekalkan koloni nyamuk untuk tempoh masa yang lebih panjang dengan kos yang lebih menjimatkan. Selain itu, kombinasi MyMAT dengan bahan AML/AK atau AK sahaja berpotensi untuk dibuat kajian lanjut bagi implementasi di lapangan. Jika terbukti efektif, penggunaan perangkap MyMAT dengan bahan penarik ini dalam skala besar boleh dijalankan dalam membantu mengurangkan populasi vektor demam denggi.
Pages: 53
Call Number: QX20.M697p 2020 9HUKMPRA tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.