Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/772299
Title: Hubungan antara amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran, budaya organisasi dan prestasi koperasi: keupayaan inovasi sebagai pengantaraan
Authors: Gurcharanjit Singh Veer Singh (P102554)
Supervisor: Zizah Che Senik, Prof. Madya Dr.
Mohd Hizam Hanafiah, Prof. Madya Dr.
Roshayati Abdul Hamid, Dr.
Keywords: Pengurusan strategik
Pengurusan organisasi
Inovasi
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 12-Dec-2022
Abstract: Faktor pengurusan, khususnya pengurusan strategik, orientasi pasaran dan budaya organisasi memainkan peranan penting dalam menjamin aspek pengurusan organisasi yang berkesan, sekali gus dapat merangsang peningkatan prestasi koperasi. Walaupun begitu, perangkaan sektor koperasi terkini menunjukkan bahawa koperasi di Malaysia masih belum berjaya mencapai sasaran 10 peratus sumbangan sektor koperasi terhadap KDNK negara. Berdasarkan Teori Berasaskan Sumber dan Teori Keupayaan Dinamik, kelemahan ini dapat diatasi melalui mekanisme keupayaan inovasi yang merupakan salah satu elemen utama bagi memperoleh kelebihan daya saing dalam persekitaran yang serba dinamik pada hari ini. Keupayaan inovasi turut berperanan sebagai suatu mekanisme penting dalam memperkasakan lagi aspek pengurusan dalam entiti koperasi yang secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi koperasi. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji (a) hubungan antara amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran dan budaya organisasi dengan prestasi koperasi (b) hubungan antara amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran dan budaya organisasi dengan keupayaan inovasi (c) hubungan di antara keupayaan inovasi dan prestasi koperasi, serta (d) peranan pengantaraan keupayaan inovasi terhadap hubungan antara amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran dan budaya organisasi dengan prestasi koperasi. Kerangka kajian yang telah dibangunkan diuji melalui kaedah kuantitatif. Sampel kajian terdiri daripada 183 entiti koperasi di negeri Selangor dan Perak, iaitu dengan kadar maklum balas sebanyak 36.6 peratus, manakala teknik pensampelan rawak berstrata diaplikasikan bagi tujuan kutipan data dalam kajian ini. Analisis PLS-SEM menunjukkan bahawa amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran, budaya organisasi dan keupayaan inovasi mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan prestasi koperasi. Hasil analisis yang sama turut ditemui dalam pengujian hubungan antara amalan pengurusan strategik dan budaya organisasi dengan keupayaan inovasi. Namun demikian, orientasi pasaran tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan keupayaan inovasi. Dalam pengujian kesan pengantaraan pula, dapatan menunjukkan bahawa keupayaan inovasi berperanan sebagai pengantara dalam hubungan antara amalan pengurusan strategik dan budaya organisasi dengan prestasi koperasi. Sebaliknya, keupayaan inovasi didapati tidak memberikan sebarang kesan pengantaraan dalam hubungan di antara orientasi pasaran dan prestasi koperasi. Justeru secara teoritikal, kajian ini menyumbang kepada dua bidang ilmu iaitu bidang pengurusan strategik dan keupayaan dinamik yang didasari oleh Teori Berasaskan Sumber dan Teori Keupayaan Dinamik dengan menyediakan pengetahuan tambahan tentang bagaimana entiti koperasi berupaya meningkatkan prestasi mereka. Kajian ini juga membuktikan keupayaan inovasi sebagai suatu mekanisme dinamik yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang hubungan amalan pengurusan strategik dan budaya organisasi dengan prestasi koperasi. Dari perspektif yang praktikal pula, kajian ini menyediakan panduan penting serta pengetahuan tambahan kepada Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan pihak berkuasa koperasi tentang peri pentingnya mengoptimumkan penggunaan sumber dan keupayaan yang ada melalui pelaksanaan amalan pengurusan strategik, orientasi pasaran dan budaya organisasi yang berkesan demi meningkatkan prestasi koperasi. Di samping itu, koperasi dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menerusi keupayaan inovasi untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Kajian pada masa akan datang dicadangkan untuk memfokus kepada fungsi koperasi tertentu seperti koperasi perindustrian dan perbankan, di samping melibatkan faktor pengurusan lain seperti pengurusan kewangan, sumber manusia dan penggabungan strategik bagi mendapatkan hasil kajian yang lebih spesifik. Kajian juga boleh melibatkan pengujian kesan penyederhanaan. Bagi kaedah kutipan data pula, kajian akan datang boleh menggunakan gabungan beberapa medium kutipan data, selain melibatkan lebih banyak negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Pages: 306
Call Number: HD31.S566 2022 tesis
Appears in Collections:Faculty of Economy and Management / Fakulti Ekonomi dan Pengurusan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.