Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/519709
Title: Penilaian ekologi terhadap ekosistem terumbu karang dalam persekitaran yang berubah : pendekatan ekosistem bagi mengurus Kepulauan Dangli, Langkawi dalam menghadapi tekanan persekitaran
Authors: Jamil Tajam (P75003)
Supervisor: Mazlin Mokhtar, Prof. Dato' Dr.
Keywords: Coral reef ecology -- Malaysia
Coral reef conservation -- Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 25-Jun-2022
Description: Pengurusan ekosistem terumbu karang di kepulauan Dangli, Langkawi UNESCO Global Geopark menghadapi cabaran termasuk dalam aspek penyelarasan di kalangan pihak berkepentingan dan kemerosotan habitat marin. Sebilangan besar ekosistem terumbu karang di kawasan kajian menghadapi tekanan dari pelbagai faktor pemacu (aktiviti penangkapan ikan, pembangunan pesisir yang kurang lestari, pelepasan sisa kumbahan, limpasan pertanian dan pelancongan) dan mengimplikasikan penurunan ke atas sumber perikanan yang berasaskan terumbu. Sehubungan dengan hal ini, lima objektif kajian telah dibangunkan bagi tujuan menangani permasalahan ini, antaranya i) mengenal pasti corak taburan fiziko-kimia permukaan air laut dan kadar sedimentasi, ii) menentukan taburan logam berat dan kadar pencemaran di dalam sedimen dasar iii) mencirikan permukaan dasar laut melalui pendekatan akustik, iv) mengenal pasti status biodiversiti dan kesihatan terumbu karang dan v) mengesyorkan pelan pembangunan pengurusan sumber perikanan di Kepulauan Dangli, Langkawi yang merangkumi aspek tadbir urus dan pendekatan ekosistem bagi memelihara dan memulihara serta mengurus ekosistem terumbu karang secara lestari. Pendekatan kualitatif dan kuantitatif digunakan dalam analisis kajian ini. Pensampelan data fiziko- kimia air laut (saliniti, suhu, DO, pH, NO3- dan PO4 3-) dan pengukuran kadar sedimentasi ke atas enam stesen telah dilaksanakan bermula pada September 2014 di perairan kepulauan Dangli secara spasial dan temporal. Sementara itu, pemantauan secara berterusan selama setahun bagi parameter fizikal air (saliniti, suhu, DO, pH dan turbiditi) telah dicerap dengan menggunakan AML-CTD Plus-X dan AQUAlogger 210TYPT10. Dalam mengenal pasti corak taburan dan analisis risiko ekologi terhadap pencemaran logam berat (As, Cd, Co, Cr, Cu, Fe, Pb dan Zn), sampel sedimen dasar telah dianalisis dengan menggunakan Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS). Selanjutnya, Acoustic Ground Discrimination System (AGDS) digunakan bagi memahami morfologi substrat ekosistem terumbu karang dan teknik Transek Video Karang (CVT) digunakan bagi tujuan pemerhatian biodiversiti dan status kesihatan terumbu karang sekitar kawasan kajian. Dalam aspek tadbir urus pula, pembangunan pelan pengurusan perikanan melalui pendekatan ekosistem (EAFM) telah dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Kedah bagi mentadbir dan mengurus sumber perikanan secara lestari. Hasil daripada kajian ke atas parameter fiziko-kimia, didapati kepekatan NO3 agak tinggi pada musim Monsun Timur Laut (NEM) dan menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap parameter saliniti (r = 0.358; p<0.05) dan suhu (r = -0.608; p<0.01). Berkemungkinan, kepekatan NO3-terkesan akibat fenomena julangan air yang berlaku ketika musim NEM. Taburan kadar sedimentasi dan turbiditi pula direkodkan agak tinggi pada musim Monsun Peralihan Pertama (FIM) dengan nilai cerapan 34.85±12.52 mg/cm2 /hari dan 17.33±12.78 FTU. Peningkatan ini disebabkan oleh pembangunan pesisir pantai yang kurang lestari mengakibatkan kesihatan ekosistem terumbu karang di kawasan kajian merosot. Merujuk kepada penilaian logam berat pula, didapati nilai Faktor Pengayaan (EF), Indeks Geo-akumulasi (Igeo), Faktor Kontaminasi (Cf) dan Darjah Kontaminasi (Cd) bagi logam berat Arsenik (As) di dalam sedimen adalah tinggi. Namun, Indeks Risiko Toksik (TRI) mengklasifikasikannya sebagai tiada risiko toksik (TRI<5) kepada mikroorganisma marin yang berada di sekitar kawasan kajian. Sementara itu, hasil daripada cerapan pendekatan akustik, keluasan litupan karang hidup bagi Pulau Dangli ialah 10,782 m2, diikuti dengan Pasir (10,633 m2) dan Gasing (7,593 m2).Selanjutnya, terdapat 13 famili karang yang merangkumi 25 genera berbeza telah dikenal pasti. Namun, status kesihatan adalah pada tahap sederhana. Hasil daripada kajian ini juga, kawasan kajian dapat dikategorikan dalam kumpulan kelas konservasi pertama (CC=1), yang mana didominasi oleh karang daripada kategori masif dan sub- masif yang rentan terhadap tekanan persekitaran yang berpunca daripada peningkatan kadar sedimentasi. Selanjutnya, sumbangan utama kajian ini adalah dalam aspek pengubahsuaian teori yang berkaitan dengan tingkah laku dan tujuan manusia dalam model yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam program EAFM. Daripada hasil kajian, persepsi tadbir urus yang baik (PTU) perlu memainkan peranan penting dalam mempengaruhi niat untuk mengambil bahagian (NMBEAFM) dan meningkatkan penyertaan program EAFM (PPEAFM). Sehubungan dengan ini, membina kepercayaan yang baik, menghayati budaya dan menghormati autonomi komuniti setempat adalah antara faktor utama dalam mempromosikan pengurusan lestari. Selain itu, peranan dan tanggungjawab pelbagai pihak dalam memelihara dan mengurus ekosistem terumbu karang di kawasan kajian dipercayai boleh dipertingkatkan melalui penyelarasan tugas yang efektif dan proaktif. Dengan ini, penglibatan daripada komuniti perikanan setempat dan pihak berkuasa tempatan dalam membuat keputusan amatlah penting dalam mengarusperdanakan pengurusan ekosistem terumbu karang secara mapan. Seterusnya, sumbangan yang kedua daripada kajian ini adalah membangunkan pelan EAFM yang lestari bagi menangani isu dan ancaman yang berlaku di kawasan kajian. Dalam pembangunan pelan EAFM, beberapa matlamat dan tindakan telah disusun bagi mempertingkatkan kesedaran, advokasi dan peningkatan keupayaan komuniti setempat serta agensi berkepentingan dalam menyokong dasar Jabatan Perikanan Malaysia dan Rancangan Tempatan Daerah menjadikan Langkawi Hijau dan Lestari 2030. Pembangunan EAFM ini juga menjadi strategi adaptasi dan pembangunan yang meningkatkan daya tahan ekosistem dan komuniti terhadap perubahan iklim melalui pemuliharaan, pemulihan dan pengelolaan ekosistem yang lestari. Bagi merealisasikan matlamat EAFM, pendekatan pelbagai helix antara akademia, agensi kerajaan, industri dan komuniti perlu diperkasa dalam memelihara dan mengurus ekosistem dengan lebih efektif. Di samping itu, EAFM juga adalah sebagai pelengkap kepada pendekatan bersepadu sedia ada seperti Geopark, IWRM, ICZM, ISWM dan SFM dalam mengatasi masalah dari kawasan tadahan hingga ke ekosistem terumbu karang dengan cara yang lebih holistik dan menyeluruh. Oleh yang demikian, pendekatan bersepadu berperanan penting dalam usaha menangani segala isu dan permasalahan yang kompleks, selain mengimbangi antara keperluan komuniti dan perkhidmatan ekosistem yang ditawarkan serta menyokong sasaran matlamat pembangunan mampan yang ke-14 (SDG-14). Dengan kata lain, EAFM adalah pendekatan bersepadu dan syumul ke arah pembangunan lestari untuk generasi yang akan datang.,Ph.D
Pages: 527
Call Number: QH77.M4J336 2022 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Institute for Environment and Development / Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI)



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.