Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500644
Title: Pembangunan model ramalan hakisan tanih menggunakan integrasi RUSLE dalam GIS dan radionuklid guguran
Authors: Noor Fadzilah Yusof (P95690)
Supervisor: Tukimat Lihan, Prof. Madya Dr.
Keywords: Hakisan tanah
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 22-Feb-2022
Description: Hakisan tanih merupakan masalah global yang mengakibatkan masalah alam sekitar seperti kehilangan tanih subur, kemerosotan kualiti air, dan pengurangan kapasiti takungan. Penyelidikan hakisan tanih dan hasil endapan sedimen memerlukan pemantauan yang intensif dan melibatkan kos tinggi. Pengukuran hakisan tanih dan sedimentasi memerlukan pendekatan yang ringkas, tepat dan menjimatkan dalam menganggar kadar hakisan tanih dan jumlah endapan sedimen. Matlamat kajian ini adalah untuk menganggar kadar hakisan tanih dan hasil endapan sedimen di lembangan Sungai Langat menggunakan integrasi model Semakan Semula Persamaan Kehilangan Tanih Universal (RUSLE) dalam sekitaran Sistem Maklumat Geografi (GIS), menilai potensi kaedah radionuklid guguran dalam menganggar kadar hakisan tanih dan hasil endapan sedimen di lembangan Sungai Langat dan membangunkan model ramalan terbaik untuk menganggar kadar hakisan tanih berdasarkan maklumat tempatan. Parameter RUSLE merangkumi faktor erosiviti hujan (R), keboleh hakisan tanih (K), panjang dan kecuraman cerun (LS), litupan tumbuhan (C) dan amalan pemuliharaan (P) ditindan lapis dalam sekitaran GIS bagi menganggar kadar hakisan tanih dan hasil endapan sedimen. Data sekunder merangkumi data hujan harian, data siri tanih, dan topografi menghasilkan faktor R, K dan LS. Manakala, faktor C dan P dihasilkan menggunakan imej Landsat 8. Kaedah pemodelan ini ditentusahkan menggunakan data pensampelan lapangan yang telah dijalankan bermula dari Februari hingga Julai 2019. Pengukuran radionuklid guguran melibatkan radionuklid 137Cs dan 210Pbex yang dianalisis menggunakan sistem spektrometri gama. Hasil kajian menunjukkan potensi kadar hakisan tanih berdasarkan model RUSLE ialah 67 tan/ha/tahun dengan hasil endapan sedimen sebanyak 43 tan/ha/tahun di lembangan Sungai Langat. Faktor LS (r = 0.48) dan C (r = 0.91) mempunyai korelasi positif dengan kadar hakisan tanih. Kadar hakisan bersih berdasarkan pengukuran 137Cs adalah 33 tan/ha/tahun dengan hasil endapan sedimen sebanyak 32 tan/ha/tahun. Manakala, pengukuran 210Pbex menghasilkan kadar hakisan bersih sebanyak 31 tan/ha/tahun dengan hasil endapan sedimen sebanyak 26 tan/ha/tahun. Nisbah hantaran sedimen bagi ketiga-tiga pengukuran masing-masing adalah 62%, 95%, dan 80%. Kadar hakisan berdasarkan model RUSLE adalah dua kali ganda daripada radionuklid guguran kerana radionuklid guguran menentukan kadar hakisan bersih, manakala model RUSLE menganggarkan hakisan kepingan dan ril. Hasil analisis radionuklid guguran menunjukkan bahawa guna tanah kelapa sawit menyumbang kepada kadar hakisan yang tinggi bagi kedua-dua radionuklid. Guna tanah hutan pula menyumbang kepada kadar hakisan terendah bagi radionuklid 210Pbex, manakala guna tanah kelapa sawit menyumbangkan kadar hakisan terendah bagi radionuklid 137Cs. Pembangunan model ramalan menggunakan Adaptive Neuro-Fuzzy Interface System (ANFIS) dijalankan berdasarkan kedua-dua kaedah (model RUSLE dan radionuklid guguran). Hasil kajian mendapati model ANFIS yang dibangunkan bagi radionuklid 210Pbex adalah lebih tepat (RMSE = 0.26, r2 = 0.95) berbanding model ANFIS berdasarkan radionuklid 137Cs (RMSE = 0.33, r2 = 0.81) dan parameter RUSLE (RMSE = 0.36, r2 = 0.44). Kesimpulannya, gabungan aplikasi kepintaran buatan dan pensampelan lapangan memberikan pemahaman lebih baik kepada hakisan tanih dan sedimentasi berdasarkan maklumat tempatan. Hasil daripada kajian ini berguna kepada pelan perancangan pengurusan yang lebih tepat dan komprehensif bagi menjamin kelestarian sumber tanih dan air di kawasan lembangan sungai.,Ph.D
Pages: 287
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_130641+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
4.54 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.