Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500420
Title: Sensor optik dan biosensor amperometri untuk penentuan kapsaisin
Authors: Rosmawani Mohammad (P40973)
Supervisor: Musa Ahmad, Prof. Dr.
Keywords: Biosensor
Sensor optik
Chemical detectors
Issue Date: 14-Sep-2012
Description: Kapsaisin merupakan sebatian kimia semulajadi yang menentukan tahap kepedasan cili. Tahap kepedasan cili ditentukan oleh kepekatan kapsaisin. Penyelidikan ini memfokuskan pada pembangunan sensor kimia optik, biosensor optik dan amperometri untuk penentuan kapsaisin. Biosensor optik telah dibangunkan menggunakan dua lapisan filem yang melibatkan pemegunan 3-metil-2- benzotiazolinon hidrazon (MBTH) dalam filem hibrid sol-gel/butil akrilat dan peroksidase horseradish (HRP) dalam filem kitosan untuk pengesanan kepekatan kapsaisin. Tindak balas antara kapsaisin dan MBTH dikaji dengan kehadiran HRP dan hidrogen peroksida sebagai agen pengoksidaan. HRP memangkinkan tindak balas pengoksidaan berpasangan di antara MBTH dan kapsaisin, menghasilkan sebatian berwarna merah pewarna-azo pada pH 7 yang dapat diperhatikan pada panjang gelombang 505 nm menggunakan spektrofotometer ultra lembayung-nampak. Penentuan kepekatan kapsaisin mengunakan biosensor ini menghasilkan rangsangan linear dalam julat 0.2–4.0 mM (R2=0.986) dengan had pengesanan (LOD) 0.17 mM. Nilai sisihan piawai relatif (RSD) yang diperolehi bagi kebolehulangan biosensor adalah 5.57-6.33 %. Sensor kimia optik untuk penentuan kapsaisin juga telah dibangunkan berdasarkan pemegunan reagen Gibbs pada partikel nano silika secara jerapan fizikal. Perubahan warna bahan sensor daripada warna putih-kekelabuan kepada biru diperhatikan apabila didedahkan kepada kapsaisin dalam medium beralkali (pH 10). Perubahan warna diukur menggunakan spektrofotometer pantulan pada panjang gelombang 650 nm. Sensor kimia optik ini memberikan rangsangan linear kapsaisin dalam julat kepekatan 25.0-300.0 μM (R2=0.989), LOD 18.6 μM dan RSD kebolehulangan 2.5-5.3 %. Sebanyak dua biosensor amperometri telah dibangunkan dalam kajian ini. Biosensor amperometri pertama melibatkan pemegunan enzim HRP dan ferosena secara serentak dalam membran fotopoli(2- hidroksietil metakrilat). Manakala biosensor amperometri kedua dibangunkan berdasarkan pemegunan enzim HRP secara ikatan kovalen dan vinil ferosena secara jerapan fizikal pada mikrosfera akrilik. Kedua-dua biosensor menggunakan kronoamperometri pada keupayaan 0.22 V. Rangsangan biosensor optimum pada pH 7 menggunakan larutan penimbal fosfat. Biosensor berasaskan membran fotopoli(2- hidroksietil metakrilat) memberikan rangsangan linear dalam julat kepekatan kapsaisin 2.5–99.0 μM (R2=0.994), LOD 1.94 μM dan nilai RSD kebolehulangan dalam julat 6.4–9.9 %. Manakala biosensor berasaskan mikrosfera akrilik memberikan rangsangan linear bagi kapsaisin dalam julat kepekatan 0.75-24.94 uM (R2=0.993), LOD 0.39 uM dan RSD kebolehulangan 8.2 %. Semua sensor yang dibangunkan digunakan untuk penentuan kepekatan kapsaisin dalam sampel cili. Keputusan yang diperolehi menunjukkan bahawa sensor adalah boleh banding dengan kaedah piawai HPLC untuk analisis kapsaisin.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 229
Call Number: TP159.C46R679 2012 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_119540+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
806.68 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.