Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500394
Title: Kepelbagaian dan kelimpahan spesies, kitar hidup, jangka hayat dan kesan tarikan kumbang Nitidulidae (Ccleoptera: Nitidulidae) ke atas ketinggian dan peringkat buah sawit yang diinfestasi
Authors: Nor Atikah Abdul Rahim (P84026)
Supervisor: Salmah Yaakop, Prof. Madya Dr.
Keywords: Beetles
Nitidulidae
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 20-Jan-2020
Description: Kumbang Nitidulidae merupakan spesies kumbang yang sering dijumpai di Malaysia dan di negara tropika yang lain. Walaubagaimanapun, tidak terdapat kajian tentang kumbang ini di Malaysia meskipun ia didapati dominan di kawasan ladang sawit. Sehingga kini status kumbang ini di Malaysia masih belum dapat dikenal pasti. Objektif kajian ini adalah untuk 1) mengukur kepelbagaian dan kelimpahan kumbang Nitidulidae di lima ladang sawit terpilih di Semenanjung Malaysia, 2) menentukan status spesies kumbang Nitidulidae melalui kaedah molekul 3) mengkaji kesan kepada warna badan, kitar hidup dan jangka hayat kumbang Nitidulidae di dua keadaan CO2 yang berbeza iaitu Bilik Pengkulturan (RR) dan Open Roof Ventilation Greenhouse System (ORVS), dan 4) mengenal pasti tarikan kumbang Nitidulidae ke atas ketinggian perangkap dan jenis umpan serta peringkat buah yang diinfestasi. Sebanyak 911 individu kumbang Nitidulidae telah berjaya direkodkan di kelima-lima kawasan kajian. Kawasan-kawasan kajian tersebut adalah Felda Lui Muda (FLM), Felda Kerteh 4 (FKT), Felda Gunung Besout (FBT), Felda Chini (FCH) dan Ladang Zamrud (LDZ). Jumlah individu yang paling tinggi direkodkan di FLM (408 individu) manakala yang paling rendah direkodkan di FCH (86 individu). Indeks kepelbagaian (H') mencatatkan nilai yang tertinggi di FBT (H'=1.641) manakala Indeks kesamarataan (E') dan Nilai kekayaan (R') pula mencatatkan nilai tertinggi di LDZ (E'=0.906) dan FKT (R'=1.05). Bilangan individu dan bilangan spesies berkorelasi positif yang signifikan dengan suhu (p<0.05). Kesemua tujuh spesies yang telah melalui pengecaman morfologi telah dibarkodkan iaitu Carpophilus sp. 1, Carpophilus hemipterus, Carpophilus maculatus, Carpophilus marginellus, Carpophilus mutilatus dan Carpophilus nepos. Kepelbagaian dan kelimpahan spesies kumbang Nitidulidae telah dapat dikenal pasti dan disahkan berdasarkan data molekul dan didepositkan di dalam GenBank. Carpophilus mutilatus dipilih untuk diletakkan di RR dan ORVS untuk mengenal pasti perubahan morfologi (warna badan), kitar hidup dan jangka hayat pada dua keadaan CO2 yang berbeza. Tiada perbezaan warna diperhatikan dan bilangan individu F1 dan F2 pada setiap peringkat perkembangan di RR dan ORVS tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan (p>0.05). Hasil daripada pendedahan CO2 yang lebih tinggi daripada ambien didapati memberikan kesan yang pantas terhadap kitar hidup dan jangka hayat C. mutilatus. Sejumlah 360 buah di atas tandan yang dipetik dan diperiksa tidak menunjukkan simptom serangan kumbang Nitidulidae. Manakala 287 individu kumbang dewasa dan 309 individu larva dijumpai di dalam buah jatuh yang berada di permukaan tanah. Tiga perangkap umpan iaitu kurma, sawit dan umpan fermentasi telah diletakkan pada tiga ketinggian 0m, 1.5m dan 2.5m. Jumlah individu yang paling tinggi direkodkan untuk perangkap umpan fermentasi adalah pada ketinggian 0m iaitu sebanyak 773 individu. Analisis ANOVA menunjukkan perbezaan kelimpahan individu pada jenis umpan dan ketinggian yang berbeza adalah signifikan (F 2.20= 3.612, p< 0.05). Pemilihan pemakanan dan ketinggian perangkap membantu dalam mengenal pasti kemampuan penerbangan kumbang Nitidulidae dan menyumbang kepada penilaian status kumbang Nitidulidae. Hasil dari kajian ini adalah rekod yang pertama tentang kumbang Nitidulidae di Malaysia dan merupakan data awal yang merangkumi maklumat asas bagi menyumbang kepada penentuan status kumbang ini terutamanya di ladang sawit di Malaysia untuk membantu di dalam Pengurusan Serangga Perosak Bersepadu (IPM).,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Ph.D.
Pages: 153
Call Number: QL596.C9N637 2019 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_117751+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
864.22 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.