Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/500241
Title: Corak struktur komuniti pokok hutan dipterokarpa tanah rendah berbeza jalur tektonik di Semenanjung Malaysia
Authors: Norazlinda Mohamad (P63262)
Supervisor: Mohd Nizam Mohd Said, Prof. Dr.
Keywords: Hutan dipterokarpa
Jalur tektonik
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 23-Jul-2019
Description: Tiga jalur tektonik utama di Semenanjung Malaysia umumnya dicirikan oleh batuan induk yang pelbagai, yang membawa kepada kepelbagaian ciri tanah, dan seterusnya menjadi salah satu faktor yang mencorakkan kepelbagaian spesies pokok di hutan tropika Semenanjung Malaysia. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengetahui ciri-ciri ekologi pokok di empat hutan dipterokarpa tanah rendah yang mewakili tiga jalur tektonik utama iaitu Hutan Simpan Bukit Panchor (HSBP), Pulau Pinang (Jalur Barat), Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan (HSHTT), Terengganu (Jalur Timur), Hutan Simpan Kenaboi (HSK), Negeri Sembilan (Jalur Tegah), dan Hutan Simpan Panti (HSP), Johor (Jalur Timur); selain melihat perkaitan corak taburan pokok terhadap faktor tanah. Plot-plot kajian telah ditubuhkan di hutan-hutan terpilih dan semua pokok berdiameter paras dada (DBH) 5 cm ke atas ditanda, direkod, dan dicamkan. Tanah lapisan atas (0-20 cm) juga disampel dan dianalisis bagi penentuan ciri fizikal dan kimia, selain melihat perkaitannya terhadap asosiasi komuniti pokok di hutan-hutan berkenaan. Hasil bancian telah merekodkan 4568 individu pokok yang terdiri daripada 73 famili, 241 genus, dan 749 spesies, iaitu HSP mencatatkan bilangan individu dan spesies tertinggi, dengan masing-masing berjumlah 1607 individu dan 429 spesies. Euphorbiaceae muncul sebagai famili terbesar secara keseluruhan dengan 24 genus dan 74 spesies selain mempunyai kepadatan tertinggi di semua kawasan hutan kajian. Keluasan pangkal pokok (BA) yang tertinggi pula direkodkan di HSHTT manakala, yang terendah dicatatkan di HSP. Seterusnya, jumlah biojisim yang dicatatkan adalah tinggi iaitu setiap kawasan hutan kajian mempunyai anggaran nilai biojisim melebihi 400 t/ha. Setiap kawasan kajian memperlihatkan kepelbagaian spesies pokok yang tinggi, selain mempamerkan kekayaan spesies yang tinggi apabila Indeks Kekayaan Margalef (R') yang dicatatkan berjulat 31.82-57.98. Ketika membandingkan kekayaan spesies pokok di setiap kawasan kajian juga, penyeragaman usaha persampelan melalui proses rarefaksi (rarefaction) telah dijalankan dan analisis rarefaksi memperlihatkan kekayaan spesies HSP yang lebih tinggi secara signifikan berbanding kawasan kajian yang lain. Selain itu, kesamaan komuniti yang sangat rendah antara hutan kajian menunjukkan kepelbagaian-β yang tinggi. Daripada segi keendemikan, 28 spesies (3.74%) didapati endemik, dan 128 spesies rekod baru didokumenkan. Bilangan spesies yang dianggap langka dengan saiz populasi yang kecil dan habitat yang terhad juga adalah tinggi (54.34%); begitu juga spesies yang dikategorikan berstatus terancam (EN) (10%). Bagi analisis tanah, tekstur berpasir (27-86%) mendominasi hutan-hutan yang dikaji,dan ordinasi daripada Analisis Kesepadanan Berkanonik (CCA) menunjukkan terdapat hubungkait faktor tanah (69.4% varians) terhadap taburan komuniti pokok bagi hutan-hutan kajian di ketiga-tiga jaluran tersebut. Secara keseluruhan, perbezaan ciri tanah disebabkan faktor geologi menunjukkan variasi corak taburan flora, dan variasi ini menggambarkan ciri hutan tropika dengan kekayaan, kepelbagaian, keendemikan, dan kelangkaan spesies pokok yang tinggi, selain kehadiran spesies yang memerlukan tindakan pemuliharaan yang sewajarnya.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Ph.D.
Pages: 401
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_112333+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
1.58 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.